Pengikut

Ahad, Jun 26, 2011

APABILA orang bersalah bergembira dengan hukumannya.


BARU saja saya mengadiri satu forum mengenai akidah dan kehidupan. Antara yang menarik ialah cerita seorang panel mengenai pelaksanaan hukuman hudud di Masjid Qisas Jeddah, Arab Saudi.  Katanya sebelum dilaksanakan hukuman mati dengan memancung pesalah, sudah tersedia lapan buah ambulan.  Dia pun pelik, kerana yang dihukum seorang dan mengapa terdapat lapan buah ambulan?


Rupa-rupanya, sebaik sahaja  hukuman pancung dijalankan, orang ramai menjadi gerun sehingga ada yang pengsan apabila melihat hukuman itu dilaksanakan.  Barulah orang yang pertama kali  (dari Malaysia) faham lapan ambulan itu sebenarnya untuk mereka yang tidak terdaya melihat dahsyatnya hukuman Allah di muka bumi ini.  Orang yang berfikir mudah memahami mengapa Allah memberi hukuman bunuh seperti itu dan disaksikan oleh orang ramai.

Jelasnya hukuman terhadap pesalah mestilah suatu yang memberi ‘kerugian besar’ kepada pesalah khasnya dari sudut fizikalnya.  Hukuman juga mestilah mendatangkan rasa sesal kepada yang menerima hukuman.  Hukuman juga mestilah mendatangkan kegerunan kepada yang mengetahui adanya hukuman itu supaya mereka insaf dan berjaga-jaga agar tidak menerima hukuman berkenaan.

Di Malaysia keadaan pelik berlaku.  Semua terbalik daripada falsafah hukuman sebagaimana yang dikehendaki oleh orang-orang yang beriman.  Tiga orang kaya didenda dengan jumlah wang yang bagi mereka hanya duit untuk minum kopi sekeluarga!  Apalah ertinya denda RM1000.00 kepada orang yang mempunyai wang simpanan RM10 juta (misalnya).  Ada akhbar pula berjaya merakam foto mereka yang gembira dan menunjukkan tanda ‘bagus’ setelah hukuman denda wang itu mereka bayar.

Saya teringat satu ceramah seorang ustaz lama dahulu mengenai tindakan kadi menghukum seorang Khalifah pada zaman kerajaan Abasiyyah.  Si Khalifah telah bersetubuh pada siang hari bulan Ramadan dan bertanya kepada kadi mengenai hukuman yang mesti baginda terima.  Lalu kadi terus mengatakan yang baginda mesti berpuasa dua bulan berturut-turut.  Setelah itu, orang pun bertanya kepada kadi berkenaan kerana berdasarkan hokum Islam kes seperti yang dilakukan oleh Khalifah mestilah didahului dengan tawaran memerdekakan seorang hamba.  Jika tidak mampu barulah berpuasa dua bulan, dan akhirnya memberi makan 60 orang miskin jika tidak upaya berpuasa.

Kadi memberitahu bahawa Khalifah dengan mudah boleh membebaskan seorang hamba dengan kedudukan dan hartanya.  Oleh itu hukuman yang sesuai kepada Khalifah supaya menjadi pengajaran atas keterlanjurannya ialah puasa dua bulan berturut-turut.

Sabtu, Jun 25, 2011

KITA faham agama atas pemahaman guru agama


BERDASARKAN pengalaman dan pemerhatian, semua orang memang belajar agama dengan berguru.  Berguru secara formal itu betul, tetapi tidak lama.  Seperti orang belajar di sekolah, akhirnya banyak pelajaran  dan kemahiran diterima di luar sekolah.  Hal ini kerana tempoh orang bersekolah itu singkat berbanding usianya sehingga mati.


Sama ada belajar agama di sekolah atau di luar sekolah, pemahaman agama kita sudah disediakan arah tujunya.  Ada kumpulan yang mendakwa pelajaran agama di sekolah kerajaan tidak cukup, maka mereka membuat sekolah agama sendiri.  Ada yang mengatakan guru agama berkenaan tidak mengajarkan Islam yang ‘kaffah’ maka mereka akan melantik guru agama yang dikatakan sesuai dengan kehendaknya.  Keadaan-keadaan ini juga menyumbang kepada pemilihan tempat belajar dan orang-orang yang boleh didengar ceramahnya.

Orang-orang yang ada kuasa juga telah menentukan siapa yang sepatutnya membicarakan agama.  Kalau tauliah diperlukan atas alasan mengawal penceramah agama, betul itu dilakukan.  Apa yang dinamakan pengawalan penceramah sebenarnya mestilah penceramah yang sesuai dengan pemahamannya sahaja.  Dengan itu penceramah agama dalam wilayah kekuasaannya adalah mereka yang memenuhi kehendak pemahamannya.  Akhirnya, masyarakat dalam wilayah kekuasaannya mempunyai pemahaman yang sama seperti kehendak orang-orang yang berkuasa tadi.

Oleh itu, pemahaman seseorang terhadap Islam sebenarnya dipengaruhi oleh bentuk pemahaman guru-gurunya.  Kalau guru agamanya cenderung kepada aliran sufi, lebih kepada pembersihan jiwa mana pelajar-pelajarnya (baca juga masyarakat dewasa) lebih berpandangan sedemikian.  Jika gurunya mengecam pemikiran orang yang mengaitkan Islam dengan politik, maka khalayaknya juga akan berpendirian sama.

Jika guru agamanya cenderung membahas Islam dari sudut politik, maka khalayaknya juga akan berfahaman bahawa Islam itu sangat dikait dengan politik.  Kalau guru agamanya orang kampung yang tidak ada pemahaman yang luas mengenai perniagaan, maka khalayaknya juga tidak berjaya memahami kaitan Islam dengan perniagaan.

Ada guru agama cenderung mengajar agama secara bandingan dengan mengatakan pihak sana salah. Akhirnya pelajar-pelajarnya juga mempunyai kaedah belajar agama dengan cara menyalahkan pihak yang tidak disetujuinya.  Di mana-mana juga jika mereka bercakap hal agama, isunya ialah pihak di sebelah sana salah atau sesat.

Sebenarnya sumber Islam sama, iaitu al-Quran dan sunah.  Pemahaman seseorang guru agama terhadap dua sumber itulah yang menyebabkan berlakunya perbedaan memahami apa itu Islam.  Orang awam selalunya hanya mengikuti apa yang disampaikan oleh guru-guru agama.  Maka berkembanglah pemahaman seseorang guru agama berkenaan.

Dalam budaya Melayu, guru agama merupakan insan  penting.  Status sosialnya tinggi dalam masyarakat.  Guru agama yang tidak ada ijazah pun akan dihormati dan diterima pandangannya dalam hal agama oleh orang-orang yang ada ijazah dalam kerjaya mereka.  Agama itu memang suci, maka orang yang menyampaikan ajaran agama juga mendapat tempias kesucian itu.  Tamabahan pula orang Melayu tidak faham bahasa Arab, maka penerimaan yang sangat tinggi terhadap guru agama yang selalunya dipercayai boleh memahami bahasa Arab.  Bahasa Arab adalah jalan penting untuk memahami dua sumber asal iaitu al-Quran dan Sunah.

Ahad, Jun 19, 2011

BERDOALAH dengan penuh rayuan dan cemas


SEKARANG bulan Jun belum ada pihak sekolah menganjurkan solat hajat supaya pelajar-pelajar lulus cemerlang dalam peperiksaan.  Selalunya dalam tempoh dua minggu sebelum musim peperiksaan sebenar, itulah waktunya yang mereka anggap sangat sesuai berdoa melalui solat sunat hajat.  Tulisan ini bukan hendak menyetujui solat hajat atau menolaknya.

Semua orang punya keinginan atau cita-cita.  Sebagai muslim semua percaya bahawa hanya Allah sahaja yang berhak menunaikan atau tidak memberikan apa yang diharapkan.  Maka itulah orang berdoa.  Kebanyakan orang lebih percaya doa dalam bahasa Arab yang tidak diketahui maknanya adalah lebih mustajab.  Oleh kerana doa adalah ibadah khusus antara hamba terhadap Tuhannya, maka tentulah lebih afdal jika doa itu diucapkan dalam bahasa yang asal iaitu Bahasa Arab.  Namun hubungan istimewa antara Allah dan hamba-Nya, lafaz doa masih dibenarkan dalam bahasa yang sangat difahami oleh pelafaz.

Untuk apa berdoa? Jawabnya supaya permintaan terhadap Allah dikabulkan.  Bagaimana berdoa  supaya dikabulkan? Jawabnya, orang yang berdoa mengetahui apa yang diminta dan meminta kepada Tuhan Yang Maha dalam segala-galanya dengan penuh harap dan cemas.  Berdoa penuh harap dan rasa cemas jika permintaannya tidak ditunaikan oleh Allah tidak banyak dilakukan oleh antara kita yang berharap hajatnya dimakbulkan.  Doa-doa yang banyak dilakukan dilafazkan dalam suasana meriah, terbuka, dan diaminkan oleh orang lain yang dalam keadaan santai dan bersahaja.

Maksud firman Allah dalam surah al-Anbiya: 90 “Kami telah memperkenankan doanya, dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung.  Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas.  Dan mereka adalah orang-orang yang khusuk kepada Kami.”

Firman Allah itu berkaitan dengan permintaan Nabi Zakaria yang isterinya mandul.  Begitu baginda berdoa dengan penuh harap dan cemas, Allah mengkabulkan permintaannya.  Permintaan Nabi Zakaria diperkenankan oleh Allah sedangkan mengikut hukum akal, isteri Nabi Zakaria itu tidak mungkin boleh melahirkan anak.  Nabi Zakaria merupakan orang yang cepat (bersegera) dalam melakukan kerja-kerja yang baik dan sentiasa khusuk (reda/ikhlas) kepada Allah.

Oleh itu jika pihak murid-murid atau pelajar mahu Allah menunaikan harapannya agar mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang, dia boleh melalui pengalaman seorang nabi. 

Pertama, dia hendaklah sentiasa bersegera melakukan kerja-kerja yang baik dalam kehidupan sehari-hari.  Misalnya jika ada sampah yang perlu dibuang, dia tidak perlu bertanya kepada orang lain ‘tugas siapa membuang sampah hari ini?’  Baginya itulah kesempatan melakukan kerja kebajikan.

Kedua, semua kerja kebajikan itu dia lakukan dengan ikhlas dan reda.  Ikhlas bermakna dia melakukan kerja bukan mengharap penghargaan (walau sedikit) daripada pihak lain, dan apa keadaan kerja yang dilakukan itu dia pasti reda.  Reda terhadap kerja itu bermakna dirinya tidak menyesali perbuatan itu, sebaliknya gembira kerana berjaya bekerja semata-mata kerana Allah.

Ketiga, apabila dia berdoa kepada Allah agar dia dapat belajar dengan baik dan mendapat keputusan cemerlang (misalnya 4 Prinsipal A dalam STPM), dia berdoa dengan perlahan, penuh rayuan kepada Allah.  Doa yang penuh mengharap dan dia sendiri akan rasa cemas jika harapannya tidak tercapai. 

Maksud surah al-Araf ayat 55 dan 56.: "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut.  Sungguh Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.  

"Dan janganlah kamu berbuat kerusakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik.  Berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut dan penuh harap.  Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang-orang yang berbuat kebaikan."

Kesimpulannya, doa adalah hubungan istimewa seseorang terhadap Allah. Maka gunakanlah keistimewaan ini yang mudah tanpa modal upah kepada sesiapa atau membelanja makan seseorang.  Jangan meletak harapan tinggi melalui doa yang dilakukan bersempena solat hajat yang nampak mewah dan megah, kerana sebaik-baik permintaan hamba kepada Tuhan sebagaimana yang dicatat dalam al-quran. Doa dilakukan secara sendirian dalam suasana hening.  Sila rujuk ayat-ayat di atas.

Rabu, Jun 15, 2011

JIKA Tony Blair belajar Islam di kampung

LAPORAN dari kota London mengatakan mantan Perdana Menteri Britain kini membaca al-Quran saban hari.  Blair seorang penganut Kristian Katolik, tetapi bersikap terbuka dalam agama.  Selain (mungkin) pengaruh adik iparnya yang sudah menjadi muslim, dia membaca al-Quran kerana kehendaknya sendiri.  Hasilnya, Blair mengatakan Islam merupakan agama yang indah.  Tanggapan Blair bahawa Islam agama yang indah memang hasil pembacaan al-Quran. 

Orang Melayu di Malaysia sangat pelik dan curiga dengan Blair yang membaca al-Quran.  Dalam kepala orang melayu (yang berfikiran ortodok), orang Islam di Britain tidak betul kerana membenarkan orang kafir memegang naskhah al-quran dan membacanya.  Atau orang-orang Melayu tidak percaya berita Blair membaca al-Quran sebab diyakini Blair bukan tahu bahasa Arab atau tahu membaca tulisan Arab.  Majoriti orang Melayu yakin orang kafir tidak boleh memegang al-Quran.  Kalau itu berlaku kesalahan diletak di bahu orang Islam yang membenarkan orang kafir seperti Blair memegang al-Quran.  Orang Melayu juga percaya apa yang dinamakan membaca al-Quran ialah seperti mereka yang membaca dalam bahasa Arab sekalipun tidak tahu maknanya.  Mereka berfikir, karutlah Blair boleh membaca al-Quran.

Semasa saya remaja-muda telah dibawa ke majlis usrah yang di dalamnya ada pembacaan al-quran dan terjemahannya dalam bahasa Melayu. Kumpulan saya semua orang Melayu yang buta bahasa Arab, sebab itulah terpaksa membaca terjemahan dalam Bahasa Melayu.  Rakan senior mengatakan orang Islam mesti memahami al-Quran supaya boleh mengamalkan ajarannya.  Itulah titik tolak proses pemahaman saya mengenai al-Quran.  Pada saya, membaca al-Quran mestilah untuk mengetahui kandungannya, bukan untuk menikmati melodi atau keindahan laras bahasanya.

Saya yakin Tony Blair itu membaca terjemahan al-Quran dalam bahasa yang dia sangat faham mungkin Bahasa Inggeris.  Kerna Blair faham kandungan al-Quran, maka dia faham Islam agama yang indah.  Islam itu mesti didasarkan pada al-Quran, bukan pendapat akal orang yang diberi gelar ulama atau ustaz.  Saya tinggal di kampung, kalau rajin duduk dalam majlis ilmu agama di masjid semua guru agama yang mengajar agara tidak meletakkan al-Quran di hadapan.  Terus terang, dengan mudah mereka mengeluarkan pendapat yang dikatakan agama Islam walhal bukan daripada al-Quran.  Lihat saja kalau belajar fikah, babi yang haram dimakan berdasarkan al-Quran sudah merebak kepada banyak hukum. Proses samak yang hadis nabi ajarkan hanya untuk jilatan anjing pada bejana yang basah sudah menimbulkan hukum samak kepada kesan tapak kaki anjing, kesan daging babi pada kuali, garpu dan macam-macam.  


Istilah bersih tidak cukup untuk mengesahkan pakaian yang dibawa solat, mesti ada istilah suci. Maka dihukum tidak suci pula jika mencampur pakaian dalam dengan pakaian harian dalam mesin basuh.  Ustaz mengatakan, kena basuh atau jirus dengan air dahulu baru masukkan dalam mesin basuh.  Rendam saja tidak boleh, mesti dijirus atau dilalui air yang mengalir.  Kalau berwuduk dalam air bertakung mesti pasti dua kolah, kalau tak sampai dua kolah percikan air wuduk tidak boleh masuk semula dalam takungan air itu.  Kalau diguna juga air itu untuk berwuduk, wuduknya tidak sah, solatnya jadi tidak sah, jadi berdosa, jadi masuk neraka!  Adakah Tony Blair merasakan indahnya Islam yang saya kena terima di kampung?

Kalau belajar akidah Islam di kampung saya mesti berdasarkan Sifat 20.  Mujur tidak ada ustaz di kampung yang berfatwa: Siapa tidak belajar  tauhid menggunakan Sifat 20, maka dia kafir!  Mujur, mujur!  Kini saya bayangkan Tony Blair duduk bersama saya belajar akidah di kampung.  Saya pasti Blair akan pening apabila guru membuka kitab kuning Sifat 20, dimulakan dengan sifat Allah ada lawan tiada.  Mendengar lawan tuli.  Di London Blair memahami tauhid dalam al-Quran sangat mudah bahawa Allah adalah Tuhan yang berkuasa segala-salanya. Nak menjadi muslim kena beriman dan menunaikan kerja-kerja ibadah sebagai pembuktian keimanan. Cukup begitu dan dia rasa Islam itu mudah dan Indah.

Apabila Blair belajar di kampung saya, dia bukan saja pelik cara ustaz membaca kitab kuning abad ke-17dan 18, malah dia pening apabila orang-orang Islam hanya duduk buat-buat faham walhal mereka tidak faham satu benda pun.  Tapi kerna hormat sangat terhadap guru agama, macam haram nak tanya atau meminta diubah kitab yang sesesuai dengan zaman IT, zaman generasi X dan Y.

Jika Blair faham Islam yang indah sebabnya kerana dia polos, tidak dipengaruhi benda-benda pelik dalam adat yang difahami sebagai agama pula.  Malangnya di kampung-kampung, jika kita membaca terjemahan al-Quran, akan ditegur supaya menghadap ustaz, tidak boleh membaca al-Quran begitu-begitu saja.  Begitulah keramat dan sucinya al-Quran di kampung-kampung yang sudah beratus-ratus tahun menerima Islam.  Di London, sesiapa saja boleh membuka dan membaca al-Quran.  Jika ada orang kampung bersikap seperti orang London yang terbuka terhadap al-Quran, orang kampung akan menjadi pelik sebab pemahaman agamanya tidak sama dengan pemahaman nenek-moyangnya.  Eloklah Blair dan rakan-rakannya jangan belajar agama di kampung saya.

Selasa, Jun 14, 2011

MENCARI jaminan syurga Allah


KESENANGAN hidup dengan mengakui sudah beriman kepada Allah dan rasul-Nya sering menyebabkan kita lupa bahawa hidup ini masih ujian daripada Allah.  Ucapan-ucapan mudah juga kerap didengar ‘menjadi muslim, kelak satu jaminan akan mendapat syurga Allah’.  Ada lagi pemahaman iaitu ‘sekalipun muslim berdosa, dan dimasukkan ke dalam neraka…akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga’ sudah lama didengar.  Ayat-ayat indah ini seperti memberi jaminan bahawa syurga itu sudah sedia menanti manusia muslim di akhirat sana.


Tidak dinafikan kerna alam akhirat itu merupakan perkara ghaib yang tidak terjangkau oleh akal kita sekarang menyebabkan tidak banyak huraian mengenainya.  Kerna menganggap ada jaminan syurga kepada yang melafazkan ‘laa ila ha illallah’ menyebabkan satu pemahaman mudah dalam kalangan masyarakat muslim mengenai kedudukan mereka di akhirat kelak.

Adakah sudah melafazkan syahadah ‘tiada Tuhan selain Allah’ juga bererti sudah terselamat daripada disesatkan oleh syaitan?  Tidak dinafikan bahawa pemahaman yang mudah bahawa cukup mengakui sebagai muslim atau telah melafazkan  ‘tiada Tuhan selain Allah’ bakal dihadiahkan keindahan syurga merupakan satu angan-angan indah yang diberikan oleh syaitan.

Allah bertanya dalam al-Quran (al-Baqarah: 214) “Adakah kamu mengira akan dimasukkan ke dalam syurga, padalah belum datang percubaan kepadamu seperti (yang dialami) oleh orang-orang terdahulu.  Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai cubaan) sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata ‘bilakah pertolongan Allah akan datang?’.  Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” 

Ayat berkenaan cukup menggambarkan bahawa syurga Allah itu bukan suatu yang bisa didapat dengan jalan santai-santai sekalipun sudah mengucapkan kesaksian tiada Tuhan selain Allah.  Kalaulah cukup dengan melafazkan ‘laa ila ha illallah’ menyebabkan Allah akan memasukkan manusia ke dalam syurga, tidaklah orang yang terdahulu itu sanggup menempuh penderitaan semata-mata mengharap keredaan Allah.  Bayangkan saja pergantungan mereka terhadap Allah sehingga seolah-olah bertanya ‘bila Allah mahu tolong kita, sudah tidak tahan lagi!’

Dalam perang Khandak kaum muslimin mendapat cubaan yang dahsyat daripada Allah sehingga dirakam keresahan hati mereka dalam al-Quran. Al-Ahzab:10 “….dan kamu berprasangka yang bukan-bukan terhadap Allah.”

Surah ali-Imran: 142 “Adakah kamu mengira akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.”

Tidak syak lagi bahawa kehidupan ini merupakan penapisan untuk ditentukan siapa yang akan dimasukkan ke dalam syurga.  Eloklah direnung kembali bagaimana kita menjalani kehidupan sebagai muslim yang sangat berharap hadiah syurga Allah itu.  Orang zaman dahulu juga sangat berharap hadiah syurga Allah itu.

Kalau kita tidak diuji dengan peperangan yang menjadi garis pemisah antara beriman atau kufur terhadap Allah, tidak malukah dengan kekalahan diri apabila mendengar azan tetapi masih berdiam diri tidak ke masjid?

Itu belum dihitung betapa bakhil atau kedekutnya hendak membelanjakan harta ke jalan kebajikan seperti membayar zakat, sedekah atau menyumbangkan seringgit dua untuk dana orang ramai.

Yang lain, betapa kita malas dan sangat berkira-kira untuk menyumbang tenaga secara percuma dalam kerja kebajikan, bergotong-royong atau bekerja sehingga bercucuran keringat sedangkan tidak mendapat habuan apa-apa kecuali sedikit air daripada orang.  Kehidupan mewah menyebabkan diri akan cepat melarikan diri daripada menyumbang khidmat bakti atas alasan penat, ada sedikit penyakit kaki, hendak menghantar anak ke sekolah dan pelbagai sebab, akhirnya tidak ada tenaga yang disumbangkan untuk awam secara percuma.  Tidak ada setitik peluh menitik ke bumi sedangkan kita bercita-cita untuk menjadi penghuni syurga itu.

Di balik itu, kita begitu sanggup berpenat-penat untuk mencari kekayaan keluarga, atau beraktiviti untuk kepentingan diri dan lingkungan kerjaya besarnya.

Eloklah kita malu apabila membaca kisah hidup orang zaman dahulu yang sanggup menjual kehidupan semata-mata mahu mencari jaminan Allah.  Patut banget Allah memberi hadiah syurga kepada orang dahulu yang diuji dengan berat, dan agaknya patut banget Allah tidak memandang doa kita sekarang ini.  Betapa malunya diri.

wallahuaklam

Rabu, Jun 08, 2011

CARA musuh melemahkan muslim


DALAM sejarah negara ada penentang British bernama Haji Abdul Rahman Limbong  di Terengganu.  Jika nama-nama ketua penentang British seperti Datuk Bahaman, Mat kilau, Abdul Said, Datuk Maharaja Lela, Mat Salleh dan Rentap merupakan pembesar yang kehilangan hak-hak politik dan ekonomi akibat dasar penjajahan British, Haji Abdul Rahman Limbong bukan seperti mereka.  Haji Abdul Rahman Limbong ialah guru agama yang membangkitkan rakyat menentang British kerana berpendapat cara British menodai hak kehidupan orang-orang Islam.


British cekap mengkaji asas penentangan orang-orang Terengganu di Kuala Brang pada tahun 1927.  Setelah berjaya mengalahkan pergerakan yang diketuai oleh guru agama itu, British tidak menghukum bunuh Haji Abdul Rahman Limbong seperti yang dilakukan terhadap Datuk Maharaja Lela (Perak) dan Tok Janggut di Kelantan.  British dilihat oleh orang Melayu ‘memuliakan’ Haji Abdul Rahman Limbong apabila penjajah itu menghantar guru agama itu bersama keluarganya belajar dan menetap di Makkah. 

Cara British ‘menghukum’ Haji Abdul Rahman Limbong dengan ayat ‘belajar dan bermukim di Makkah’ telah menyejukkan orang Melayu walaupun mereka kehilangan ketua dan guru agama yang dikasihi.  Begitulah caranya orang yang bijak menipu orang yang lemah pemikiran.

Hari ini orang Melayu pun mudah ‘sejuk’ apabila ada pihak yang selama ini tidak berminat pada Islam tiba-tiba menampakkan kecenderungan terhadap Islam.  Pada zahirnya baik, tetapi  patutlah orang Melayu/Islam berwaspada.  Orang-orang bukan Islam cepat faham bagaimana hendak meredakan keresahan orang Islam.  Cukuplah mereka membuat kunjungan ke masjid, memberi bantuan sekolah agama atau menaikkan elaun guru-guru agama.

Misalnya, jika sebuah kerajaan bukan Islam memberi geran khas berjuta-juta ringgit kepada sekolah agama dan pusat tahfiz sehingga banyaklah anak-anak orang Islam belajar di sekolah-sekolah itu, pada zahirnya baik kepada orang Islam. Namun di balik itu, akhirnya orang  Islam lebih banyak mahir pelajaran agama (yang diertikan sebagai amalan ibadah khusus) sedangkan orang-orang bukan Islam terus menguasai kemahiran dalam sains, teknologi, teknikal, ikhtisas dan sebagainya. Orang Islam hidup nampak kuat beribadah tetapi miskin kemahiran dan selok-belok kehidupan di dunia.  Pada waktu yang sama para pemimpin bukan Islam terus memuji mengenai ‘kedamaian dan ketertiban’ masyarakat Islam. Atas nama ‘kebebasan beragama’ tidak ada daripada mereka memeluk Islam, walhal mereka memuji keindahan suasana masyarakat Islam!

Banyak sangat peringatan Allah mengenai kaum yang tidak beriman sebagai musuh yang tidak ada penamatnya terhadap umat Islam.  Kalau mereka gagal mengalahkan umat Islam secara keras, dipilihnya cara halus. Tidak boleh dikalahkan dalam bidang politik, dikalahkan melalui ekonomi.  Syaitan ada banyak idea untuk mereka demi menjadikan muslim tewas, lemah iman dan akhirnya menjadi seperti mereka jua.

Ahad, Jun 05, 2011

TANPA sedar, bertuhankan manusia


YAKIN bukan saya seorang pernah mendengar cerita mengenai ujian kepada anak-anak yang belajar agama. Dikatakan seorang guru akan memilih calon menantu daripada sekian banyak para pelajar puteranya. Kemudian Sang Guru memberikan setiap orang pelajarnya seekor ayam dan sebilah pisau. Pesannya lagi kepad anak-anak yang telah dididik mengenai akidah ialah agar pergi menyembelih ayam itu di tempat yang tidak dilihat oleh sesiapa.

Maka semua pelajar itu mencari tempat yang diyakini tidak dilihat oleh sesiapa dan berjaya menyembelih ayam itu menurut kaedah Islam. Setelah berkumpul dan mahu menanti keputusan siapakah yang akan dipilih sebagai menantu Sang Guru, semua menanti kedatangan seorang rakannya lagi. Akhirnya dia muncul tetapi ayam di tangannya masih hidup dan dirinya pula kelihatan lemah kerna penat.
Mengapa kau masih tidak menyembelih ayam itu?” Tanya Sang Guru kehairanan.
Pelajar lelaki itu menggelengkan kepala, kemudian memberitahu, “Ke mana pun saya menyelinap untuk menyembelih ayam ini, ada saja yang melihatku.”
Pelajar-pelajar lain tertawa melihat ‘kebodohan’ seorang rakannya. Sang Guru masih rasa hairan. “Siapa yang senantiasa mengintip kau?”
Allah!”

Ayat akidah yang sangat berkaitan dengan mesej di atas ialah surah al-Fajr ayat 14: Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasimu. Dan surah Ghafir ayat 19: Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.

Yang menarik untuk difahami daripada cerita itu ialah dalam kehidupan biasa manusia muslim jarang senantiasa meletakkan Allah sebagai keutamaan. Demikian juga pelajar-pelajar agama yang sudah diajar mengenai akidah, bahawa Allah senantiasa melihat perlakuan manusia di mana pun mereka berada.

Kedua, pelajar-pelajar agama yang asal tujuannya mahu lebih menjadi hamba Tuhan berbanding rakan-rakan yang lebih mendalami kemahiran hidup lain, juga masih tewas dengan tipu muslihat syaitan. Pelajar-pelajar akidah itu seperti tiada bedanya dengan pelajar yang mengkaji matematik atau sains.

Di atas mungkin hanya cerita sastera, tetapi banyak pengalaman yang sama berlangsung. Saya pernah belajar bersama para ustaz dan ustazah selama setahun untuk mengambil Diploma Pendidikan. Mereka semua ada ijazah agama dan sebagiannya sangat mahir berbahasa Arab. Dalam perbualan biasa dengan menggunakan bahasa Melayu, mauduk perbincangan mereka tidak banyak bedanya dengan mereka yang tidak punya ijazah agama. Kemudian dalam dewan peperiksaan, mereka yang ada ijazah agama juga diawasi sebagaimana pelajar lain yang bukan digelar ustaz. Malah ada kalanya, ada antara mereka yang cuba menipu dalam peperiksaan dengan bertanya rakan sebelahnya.

Teorinya orang yang belajar agama tentulah ketaqwaannya kepada Allah lebih berbanding yang belajar kemahiran lain. Sepatutnya, golongan agama inilah yang paling merasa diintip oleh Allah setiap waktu, sehingga dalam peperiksaan mereka pasti tidak akan menipu atau meniru daripada mana-mana sumber.

Jika begitu situasinya dalam pemelajaran, tidak banyak bedanya dalam pekerjaan. Akhirnya kita lebih takutkan pegawai atasan, ketua jabatan, majikan, bos atau sesiapa yang lebih berkuasa ke atas kita. Kita cenderung bekerja secara bersahaja, tetapi tampak bersungguh-sungguh apabila apa penyelia, ketua jabatan atau bos yang melihat atau sengaja melihat cara kerja kita. Keadaan ini jelas menggambarkan ketakutan kita kepada manusia lebih berbanding terhadap Allah, walhal dalam diri sering mengakui bahawa Allah sahajalah tempat kita meletakkan harapan dan matlamat.

Mungkin inilah antara sebab banyak kegagalan muslim dalam bidang kehidupan. Kesungguhan kita bekerja hanya apabila ada pemantauan manusia lain, sedangkan sepatutnya setiap saat bekerja mesti dalam kesungguhan kerna diperhatikan oleh Allah. Opps, buka hanya diperhatikan, malah akan dipertanggungjawakan nanti di akhirat sana. Bisa dirujuk al-Quran surah al-Isra’ ayat 36.

Oleh kerna keupayaan manusia memantau amat terhad, maka kesungguhan kita bekerja juga terhad. Banyak kerja yang longgar dan selekeh kerna kurang dipantau. Keselekehan kerja itulah yang banyak menyumbang kegagalan banyak bidang di dunia. Kaum lain sekalipun bukan Islam, mereka ada etika yang baik iaitu kerja dengan rajin dan cemerlang kerana kepuasan, secara tidak langsung menjamin kecemerlangan bidang yang diceburi.

Timbul persoalan: Apakah sebenarnya kepuasan yang kita inginkan sebagai muslim?

Khamis, Jun 02, 2011

"LIHATLAH dosa-dosaku....."


PENGAKUAN dirinya yang dahulu seorang munafik tertera sebagai tajuk utama akhbar tabloid.  Pernah seorang yang terkenal menulis sebuah buku mendedahkan pengalaman buruk atau amalan yang menyalahi Islam.  Walaupun secara zahirnya dapat difahami bahawa mereka yang mendedahkan perbuatan-perbuatan dosa atau maksiat kepada Allah sebagai tanda mereka menyesali perbuatan berkenaan, tetapi sebenarnya ada piihan yang jauh lebih baik bagi seseorang yang bertaubat meneruskan kehidupannya yang indah.  Sekalipun seseorang berhasrat untuk berdakwah kepada orang lain supaya tidak menjadi pelaku maksiat, tidaklah sehingga mendedahkan perbuatan dosanya pada masa lampau.

 foto hiasan

Untuk apa mendedahkan aib sendiri, sekalipun bertujuan supaya orang lain tidak menjadi sepertinya?  Dengan pendedahan yang secara meluas, jumlah orang yang mengetahui dirinya dahulu seorang yang ‘munafik’ atau ‘kaki maksiat’ telah bertambah dengan begitu banyak.  Jika dahulu yang mengetahui perilaku salahnya hanya segelintir manusia, kini jumlahnya menjadi jutaan orang.  Adakah ini satu cara yang dikehendaki oleh Islam?

Elok diperhatikan maksud firman Allah dalam al-Quran surah An-Nisa’ ayat 148-149:  “Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya (pengaduan dalam mahkamah).  Allah maha mendengar lagi maha mengatahui.  Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya atau memaafkan kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah maha pemaaf lagi maha berkuasa.”

Cukuplah seseorang yang menyesali perbuatan lampau itu bertaubat dengan bertekad tidak melakukannya semula dan membenci perbuatan itu.  Dengan merahsiakan perbuatan dosanya pada masa lampau yang bertahun-tahun itu, dia dapat meneruskan kehidupan sebagai muslim dengan aman tanpa menjadikan dirinya bahan cerita orang ramai.  Oleh itu masyarakat juga ‘terkawal’ daripada mendapat bahan cerita baru sesama mereka sewaktu berbual-bual. Dengan itu pintu-pintu umpat atau penggunjingan dalam masyarakat dapat dikurangkan.

ILMU kebal dengan keris?


foto hiasan
BUDAYA sastera masyarakat Melayu mesti tahu cerita Hang Tuah dan empat sahabatnya pada zaman keagungan Melaka dahulu.  Sekalipun ada yang mendebatkan kesahihan cerita Hang Tuah, tetapi itu tidak menghalang kisah Hang Tuah daripada diajarkan di sekolah-sekolah.  Berdasarkan Hikayat Hang Tuah, antara siri pengembaraan Hang Tuan ialah pahlawan Melaka itu mengiringi Sultan Melaka ke Tanah Jawa. Di sana tiba-tiba ada pendekar Jawa bernama Taming Sari yang mengamuk, namun berjaya dibunuh oleh Hang Tuah.  Betara Majapahit kemudian menghadiahkan keris yang asalnya dimiliki Taming Sari dihadiahkan pula kepada Hang Tuah.  Sejak itu nama keris yang dipegang oleh Hang Tuah ialah keris Taming Sari.

Baru-baru ini  keris Taming Sari dipamerkan di Perak sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Perak.  Menurut jurucakap pameran, keris Taming Sari merupakan salah satu alat kebesaran Kesultanan Perak yang dipercayai memang asalnya adalah keris Laksamana Hang Tuah itu.

Umat Islam boleh saja menyimpan apa juga barang atas nama kenang-kenangan atau warisan nenek moyang.  Yang menjadi masalah kepada akidah muslim ialah apabila diercayai keris Taming Sari itu boleh membuatkan orang kebal dan keris itu dapat memberi petunjuk mengenai kejadian di Perak pada masa depan!

Kepercayaan itu memang tidak menjejaskan pembangunan fizikal negeri atau menyebabkan kemerosotan eksport barangan ke luar negara, tetapi sudah cukup untuk menjadikan ‘syirik’ atau merosakkan akidah sehingga menjerumuskan seseorang muslim ke lembah kesesatan. Kesesatan itu sama seperti kesesatan akidah yang berlaku pada zaman Arab Jahiliyah dahulu.  Orang Arab Jahiliyah percayakan Allah sebagai Tuhan, tetapi mereka juga percaya benda-benda lain mempunyai kuasa atau dapat meramalkan sesuatu perkara yang akan datang.  Jika Nabi Muhammad boleh bertolak ansur mengenai kepercayaan karut itu, pasti baginda tidak dilawan sedemkian rupa.  Apabila akidah Islam menetapkan hanya wajib percaya dan mengabdi kepada Allah, itulah antara sebab baginda dilawan oleh masyarakatnya.

Maksud firman Allah dalam al-Quran surah Al-Ma’idah ayat 3: “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan (haiwan) yang disembelih bukan kerna Allah, yang  tercekik, dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, yang diterkam binatang buas kecuali kamu sempat menyembelihnya, dan (diharamkan) yang disembelih untuk berhala.  Dan (diharamkan) mengundi nasib dengan anak panah. Itu adalah kefasikan….(hingga akhir ayat).”