PENGALAMAN menziarahi orang sakit. Ada pengajaran
besar untuk yang masih muda dan sihat, agar dapat merancang masa depan, atau
masa yang mungkin tidak sihat kelak.
Pesakit satu.
Dia seorang lelaki berusia 52 tahun, masih bujang dan
tinggal berdua dengan seorang adik lelakinya yang juga masih bujang. Mereka empat beradik sudah tidak punya ibu bapa.
Seorang adik perempuannya telah berkahwin dan mengikuti suaminya. Saya menziarahinya bersama beberapa orang mantan teman sekolah pesakit. Daripada perbualan
mereka dapatlah maklumat-maklumat berkenaan diri pesakit.
Apa yang berlaku? Pesakit ini terlantar saja di
kasur seorang diri di rumah. Adiknya
hanya menguruskan si abang yang sakit pada waktu pagi sebelum keluar bekerja
yang sore hari atau malam baru pulang.
Maka setiap pagi, diurus yang wajib saja seperti memberi sarapan yang
boleh dimakan abangnya dan menggantikan lampin dewasanya. Keadaan rumah agak tidak terurus dengan ada
bau kurang enak. Lalat pula banyak di ruang tempat pesakit terbaring.
Saya mendengar mantan teman-teman sekolahnya dahulu
mencadangkan agar dia berbincang dengan adiknya untuk mencari seorang pembantu
peribadi, meladeni dirinya yang terlantar sakit dan mengemas rumah. Maklumatnya, pesakit punya wang simpanan
puluhan ribu ringgit. Rupa-rupanya si pesakit dan adiknya ada masalah
komunikasi, yang menyukarkan sebarang keputusan penting. Jadinya, begitulah dia terlantar, sampai
kapan?
Pesakit dua.
Dia lelaki berusia 55 tahun menderita sakit kanser.
Telah berbulan-bulan terlantar. Yang terakhir ini deritanya semakin kuat. Dia
sudah tidak berupaya menyedut air minumnya sendiri. Isteri atau anaknya membuat
semburan air ke dalam mulut untuk menghilangkan dahaganya. Tidak ada suara apa,
hanya bahasa isyarat tangan kiri.
Mudah bicara, pesakit ini ekonominya cukup makan.
Hidup menyewa rumah kecil sederhana yang di bagian depan rumahnya dijadikan
bengkel membaiki motorsikal. Isteri dan
anak lelaki remajanya menjadikan bengkel itu sebagai sumber sara hidup. Jangan tanya berapa puluh ribu ringgit dalam
akaun peribadinya.
Begitu kehidupan keluarga ini, si pesakit dilayan
sangat baik dan sempurna oleh isteri dan anak-anaknya. Isteri tetap
memanggilnya “Ada apa Yang.., Yang nak apa?”
panggilan yang manja tentunya semenjak mereka bergelar suami isteri
dahulu. Meskipun rumahnya kecil tidak
ada perabot bagus-bagus, tetapi seekor lalat pun tidak ada berterbangan di sisi
pesakit. Tidak ada bau kurang enak
walaupun ada luka pesakit di kedua-dua kakinya.
Begitulah kisah keluarga orang sakit. Daripada dua kisah itu, kehidupan masa senyum
dan tawa akan membawa kesan pada jaman hidup meratap hiba. Beruntunglah kehidupan pesakit kedua yang
sederhana hidup tetapi kekal bahagia dan tabah pada saat orang memerhati
hidupnya dengan air mata.
Kepada Allah dipanjatkan doa untuk kedua-duanya. Semoga kekal beriman dan bersabar dengan ujian Allah.