Pengikut

Selasa, Mei 29, 2012

KASIHAN terhadap Ustaz fathul Bari dan ustaz-ustaz Pas


SETIAP kali berlaku konsert yang dilibati oleh sekian banyak orang Melayu, maka nama Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya menjadi sebutan.  Sekian banyak akan bertanya atau menyindir Ustaz fathul Bari mengenai peranannya dalam parti Melayu, Umno.  Bagi mereka ‘ Ustaz Fathul Bari sudah bersekongkol dalam program maksiat, atau paling tidak dikira bersubahat kerana berada dalam Umno yang didakwa kilang maksiat’.  Berderetan pula yang mengatakan ‘ini manhaj duit dan politik’, ‘ulama angguk’ dan macam-macam lagi.  Mengapa nama Ustaz Fathul Bari? Jawabnya, dia ahli agama yang masuk Umno untuk  berdakwah kepada jalan al-Quran dan sunah nabi.

Saya bukan hanya kasihan kepada Ustaz Fathul Bari, malah kepada sekian banyak lagi orang yang kelihatan begitu menjaga agama (malah banyak yang bergelar ustaz, macam Ustaz Fathul Bari)  yang kedudukannya sama seperti ustaz muda itu.  Dengan menuduh Ustaz Fathul Bari bersekongkol atau dalam manhaj maksiat, bermakna sekian banyak ustaz juga dikira bersekongkol dalam manhaj maksiat sekalipun mereka bukan ahli Umno, malah ahli Pas yang sangat alim dan warak!

Ustaz Fathul Bari masuk Umno, tetapi mudah kita menemui 50 ustaz ahli Pas bekerja dalam kerajaan khasnya Kementerian Pelajaran sebagai guru agama. Kalau  kita tanya kepada 50 ustaz Pas yang  makan gaji dengan kementerian Pelajaran (kena baca sistem pelajaran ideologi Melayu Umno!), mereka akan jawab, “kerja ikhlas kerana Allah, tidak melakukan atau reda apa-apa program maksiat dalam kerajaan.”  Insya Allah kalau kita tanya Ustaz Fathul Bari, itu juga jawabannya.  Sebab itu apabila saya kasihan apabila Ustaz Fathul Bari disumpah seranah, dicaci-maki dan disindir-sindir, maka kasihan saya berpanjangan kepada sekian banyak ustaz ahli Pas yang mencari rezeki dalam Kementerian yang diterajui oleh Menteri bermentaliti Umno (?).

Sekarang kita bandingkan peranan Ustaz Fathul Bari dengan 50 ustaz Pas berkenaan dan 50 ahli Umno biasa.  Ustaz Fathul Bari dan 50 ustaz ahli Pas yang makan gaji dengan KPM cukup besar peranannya, berbanding dengan 50 ahli Umno yang sekadar menunggu masa mengundi Umno-BN lima tahun sekali.  Kepada 50 ahli Umno itu, terpulanglah kepada pemimpin hendak bekerja setakat mana, dan apa yang mahu dilakukan.  Tugasnya hanya menyokongnya dalam pilihan raya  supaya pemimpin melaksanakan tugas-tugas yang dijanjikannya. 

Bagi Ustaz Fathul Bari, dia berdakwah  dalam Umno.  Bagi 50 ahli Pas dalam KPM mereka melaksanakan dasar dan keputusan yang dibuat oleh jemaah Menteri yang dikuasai oleh Umno-BN.  Melaksanakan dasar Jemaah Menteri Umno-BN bermakna mendukung atau menjayakan misi serta falsafah Umno-BN.  Jika 50 ustaz Pas dalam KPM itu mensabotaj atau ingkar kerja, maka akan mula kelihatan rosak pelaksanaan dasar Umno-BN.  Jika ada 500 ahli Pas yang sangat membenci Umno bekerja dalam mana-mana kementerian kerajaan persekutuan, bermakna mereka sedang menggerakan dasar Umno-BN.  Jelas peranan sekian banyak ahli Pas yang membenci Umno dalam organisasi kerajaan,  sedang menjayakannya….bukan seperti 50 ahli Umno yang hanya duduk dan lihat. 

Sebab itulah apabila dihukum salah Ustaz Fathul Bari dalam Umno, kasihanilah sekian banyak ahli Pas yang ikhlas mencari rezeki dalam kerajaan yang diketuai oleh Umno-BN.  Saya yakin mereka tidak akan tuang kerja disebabkan tidak mahu melaksanakan agenda Umno-BN kerana faham erti gaji buta dan dosanya.  Jadi mereka bekerja dan tidak akan melakukan amal mungkar.  Tidakkah pendirian mereka sama dengan Ustaz Fathul Bari itu?

Moga-moga sesiapa yang ikhlas kerana Allah akan dipelihara oleh-Nya dalam apa juga perkara.  Kepada yang sakit hati dan menabur fitnah, terpulanglah kepada mereka sendiri sebab antara yang cukup tegar membuat  tuduhan dan mempengaruhi orang lain, bukan orang yang cuai solatnya. Mereka yang gemar membuat persepsi atau andaian buruk (pukul borong saja) adalah orang yang sangat mahu khusuk dalam solatnya. Ada juga yang sangat mencintai solat malam dan puasa di luar Ramadan.  Moga-moga akhirnya dia sedar apa yang difikirkan  dan dilakukan itu.

Jumaat, Mei 25, 2012

BENARKAH dia faham Islam?


TIDAK ada sesiapa yang cintakan Islam akan marah dengan pengakuan seorang bukan Islam bahawa dia sudah memahami Islam.  Malah dalam sistem yang dinamakan demokrasi, perkara seorang bukan Islam menyatakan faham Islam adalah lumrah.  Namun apabila kenyataan yang dia faham Islam diungkap dengan nada menyindir sesuatu pihak, adakah benar dia jujur mengatakan faham Islam atau hanya menggunakan perkataan Islam untuk dijadikan modal menjaja dirinya?

Sebenarnya, apabila beliau menyatakan sudah faham Islam semua orang ternanti-nanti apakah yang telah difahaminya.  Malangnya, sejak beliau membuat pengakuan sudah memahami Islam berbanding zaman ‘kejahilan’nya pada masa lampau, tidak ada mana-mana media yang memaparkan hasil temubual dengan tokoh berkenaan. 

Apabila seseorang bukan Islam yang asalnya tidak faham Islam  kemudian menyatakan faham Islam, ini merupakan satu berita.  Berita ialah satu kejutan daripada biasa.  Malangnya berita itu terus dilepaskan begitu saja.  Tidak ada majalah atau akhbar dalam internet pun yang melebarkan maklumat kefahamannya terhadap Islam.

Benarkah beliau sudah faham Islam atau hanya melelong Islam untuk mencari sokongan politik orang Islam?  Malang benar jika beliau juga sudah berani melambung-lambung Islam untuk berpolitik.  Begitulah apabila Islam dipolitikkan, maka orang lain juga mengambil bahagian.

Harap pandangan saya salah dan ada yang membuktikan bahawa beliau memang sudah faham Islam dan menjadi sebagian kebanggaan kita bersama.

Jumaat, Mei 18, 2012

APA Allah ajar ketika berlaku perceraian?


DALAM akhbar, jika ada berita cerai-berai perkahwinan tentulah dalam dunia artis.  Bukan hanya golongan artis yang dikira gagal perkahwinan, tetapi pasaran berita artis bercerai sangat luas.  Jika yang bercerai orang desa, tak menjadi berita apa-apa.  Jadi, apa cerita mereka bercerai?

Kebanyakan orang bercerai kerana bermasalah yang tidak boleh diselesaikan bersama.  Ada yang sudah berminggu-minggu atau berbulan tidak tinggal serumah, kemudian si suami melafazkan cerai kepada isterinya.  Ada yang berulang-alik ke mahkamah syariah untuk meminta kebenaran mahkamah, demi perceraian.  Dalam drama pun  kerap dipaparkan babak cerai-berai perkahwinan.  Maka kalau orang mahu bercerai, ikutlah apa yang diceritakan dalam akhbar atau drama TV.  Apa itu? Kalau dicerai, si suami akan menghalau mantan isterinya dari rumah, atau menghantar mantan isterinya itu ke rumah ibu bapanya.  Itu dikira paling lembut.  Apakah perkiraan edah bagi isteri?  Tak tahu!

Sekalipun wajib berkursus untuk mendirikan rumah-tangga, cara-cara bercerai yang diajarkan dalam Islam kurang diajarkan.  Mood kursus ialah mahu kahwin dan bahagia, maka penganjur kursus pun tak mahu memasukkan bab cerai.  Bisnis akan rugi, sebab tiada pelanggan lagi.  Islam mengizinkan perceraian, bukan  mengutuknya.  Kerna itu Allah ajarkan muslim menjalani proses perceraian yang adil dan nyaman.  Kaedah wahyu bukan seperti yang difahami oleh orang Barat atau mereka yang mengutamakan hawa nafsu.

Lihat bagaimana Allah mengajar kepada Nabi s.a.w. ketika berlaku perceraian.  Sekalipun suami isteri sudah bercerai, namun si suami masih wajib menanggung kehidupan mantan isterinya termasuk tidak membenarkan keluar rumah, selama dalam edah.  Apabila berlaku perceraian, emosi dalam gawat dan marah!  Itu runtunan hawa nafsu, bukan akal dan iman.  Allah menuntun manusia ke jalan iman dan takwa, maka diperintahkah suami isteri itu masih tinggal dalam rumah yang asal, namun ditemani oleh ahli keluarga yang lain.  Mereka menjadi perantara dalam apa keadaan pun.  Suami isteri dalam edah cerai tidur berasingan, selama tiga bulan atau waktu edah isteri.  Selama edah itu, apakah perasaan marah terus membara yang tak kunjung padam? Tidak, marah hanya seketika, yang fitrah adalah ketenangan.  Selama jiwa tenang itulah suami dan isteri akan lapang berfikir mengenai nasib perkahwinan yang dibina.  Hal anak-anak, harta sepencarian dan maruah dua keluarga.  Mereka juga akan kenang-mengenang zaman ketawa bahagia, apakah sekarang sudah tidak bisa ketawa lagi?  Lama kelamaan, amarah sirna dan cinta kembali mengambil tempat. Maka rujuklah kembali suami isteri.

Adakah jika sudah bercerai  dan tinggal berasingan, maka rasa cinta akan menggantikan amarah?  Mungkin saja lebih gawat dengan batu api penghasut sebelah suami dan isteri.

Maksud firman Allah: “Wahai nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) edahnya dan hitunglah waktu edah itu, serta bertakwalah kamu kepada Allah Tuhanmu.  Jangan kamu keluarkan mereka dari rumahnya dan jangan (diizinkan) keluar kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang jelas.  Itulah hukum-hakam Allah, dan sesiapa melanggar hukum-hakam Allah maka sungguh dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri.  Kamu tidak mengetahui barangkali setelah itu Allah mengadakan suatu ketentuan yang baru. (65:1)

Maksud firman Allah: Maka apabila mereka telah  mendekati akhir edahnya, maka rujuklah (kembali kepada) mereka dengan baik atau lepaskan mereka dengan baik, dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil antara kamu, dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerna Allah.  Demikianlah pengajaran itu diberikan kepada kepad aorang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.  Sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan  membuka jalan keluar baginya. (65:2)

Menurut Anas bin Malik r.a., ayat 1 surah at-Talaq diturunkan apabila Rasulullah s.a.w. menceraikan isterinya, Hafsah.  Maka Hafsah pun pulang kepada keluarganya.  Maka turunlah ayat itu yang memerintahkan Rasulullah memberi nafkah kepada Habsah sampai habis edahnya.  Kemudian malaikat Jibril memberitahu Rasulullah agar baginda merujuk kembali kepada Habsah kerna Hafsah termasuk wanita ahli puasa dan solat malam. (riwayat Ibnu Abi Hatim).

Sungguh, kerja meneladani sunah nabi merupakan kerja rumit, hanya dilakukan oleh insan yang menyerah diri kepada Allah dan rasul-Nya.  Namun di sanalah Allah memberi jalan hidup bahagia, sementara yang melupakan sunah nabinya tersasar daripada jalan bahagia.

Ahad, Mei 13, 2012

WASIAT Imam Ahmad untuk puteranya



Oleh Ustaz Muhtar

Suatu hari, Abdullah Putra Imam Ahmad berkata kepada sang ayah ,”Wahai ayah berikanlah wasiat untukku”. Imam Ahmad berpesan,
يَا بُنَيَّ انْوِ الْخَيْرَ فَإِنَّكَ لَا تَزَالُ بِخَيْرٍ مَا نَوَيْتَ الْخَيْرَ
”Wahai putraku,milikilah niat yang baik! Sungguh,dirimu akan selalu dalam kebaikan selama engkau memiliki niatan yang baik”

Ibnu Muflih berkata,”Wasiat yang agung dan bijaksana. Sangat mudah bagi yang ditanya, begitu ringan untuk dipahami dan dikerjakan oleh yang bertanya. Yang mampu mengerjakan wasiat ini akan selalu mendapat limpahan pahala, jika wasiat itu selalu di jaga. Wasiat ini berlaku pada seluruh amalan hati yang diperintahkan oleh Syari’at. Baik terkait dengan khaliq atau dengan makhluk dan
Ia akan memperoleh pahala atas niatnya tersebut. Aku tidak menemukan perbedaan pendapat tentang hal ini”.

As Syaikh Taqiyudin menjelaskan dalam kitabul Iman,”Keinginan untuk mengucapkan kata-kata yang baik atau keinginan untuk mengerjakan perbuatan
baik,akan tercatat sebagai satu kebaikan.Apabila benar-benar ia ucapkan atau ia kerjakan,akan dicatat untuknya sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali lipat. Hal ini telah dijelaskan dalam Hadits Al Hamm (keinginan hamba) yang terkenal itu”

Konsekuensi wasiat diatas adalah meninggalkan amalan hati yang tercela secara Syari’at. Barangsiapa yang mengerjakan amalan hati yang buruk, maka ia tidak berada dalam perlindungan dan penjagaan Allah. Bahkan ia terjatuh dalam keadaan yang dikhawatirkan adanya keburukan dan hukuman.

Wasiat ini juga menjelaskan adanya hukuman karena amalan hati yang buruk. Sesuai  dengan nasehat Imam Ahmad yang akan datang, sebelum Pasal Mempelajari Al Qur’an dan pernyataan beliau,”Jika engkau menginginkan hal-hal yang engkau senangi tetap Allah berikan, bersabarlah untuk melaksanakan hal-hal yang disenangi oleh Allah”

Adapun seorang yang tidak memiliki niat baik ataupun buruk, hal ini tidak mungkin terjadi pada orang yang masih berakal. Karena,niat baik kadang-kadang wajib dimiliki. Alangkah indahnya wasiat Imam Ahmad ini  dan sangat mengena di hati dan bermanfaat.

Kita memohon kepada Allah agar kita dan saudara-saudara kaum muslimin mampu mengamalkannya. Agar kita mendapat taufik untuk mengerjakan hal-hal yang dicintai dan diridhoi oleh Nya. Seperti inilah wasiat ulama’ kaum muslimin. Semoga Allah meridhoi mereka semua.Wallahu ta’ala a’lam.

Referensi : Adab Syar’iyyah 1/139

Sabtu, Mei 12, 2012

SYI'AH dan nikah mut'ahnya


KEPADA sebagian warga muslim Malaysia, Syiah belum dianggap sebagai satu agama yang berbeda dengan Islam, malah mudah saja mendengar bahawa Syiah hanyalah perbedaan mazhab sebagaimana adanya mazhab Syafie dan Hanbali dalam hal-hal fikah.  Mereka tidak mendalami ilmu untuk akhirnya menemukan bahawa Syiah sudah terkeluar habis daripada Islam dan bisa disebut satu agama lain. 

Syiah adalah satu agama politik, sangat berasaskan kepada hak-hak kekhalifahan setelah kewafatan Rasulullah, sehingga mereka mengkafirkan sahabat-sahabat yang agung seperti Saidina Abu Bakr, Saidina Umar, Saidina  Usman, Muawiyah termasuk Saidatina A’isyah.  Malah mereka menuduh Saidina Abu Bakr dan Saidina Umar  merancang pembunuhan puteri Rasulullah, Fatimah binti Muhammad Rasulullah s.a.w. Didakwa pula A’isyah seorang penzina!  Itu belum termasuk kaum Syiah mengatakan para imam mereka (Imam 12) jauh lebih mulia berbanding para nabi.  Hal ini disahkan oleh seorang jurucakap Syiah Melayu dalam dialog antaranya dengan ustaz-ustaz yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak, awal tahun 2012 ini.

Allah telah reda terhadap para sahabat sebagaimana yang dirakam dalam ayat 18 surah al-Fath (maksudnya), “Sesungguhnya Allah telah reda terhadap orang-orang mukmin yang ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka dengan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat.”  Ayat ini pengiktirafan kepada para sahabat ketika mereka bersumpah setia kepada Rasulullah s.s.w. dalam Bait ar-Ridhwan sebelum berlakunya Perjanjian Hudaibiyah.  Namun kaum Syiah telah terang-terang melawan firman Allah.

Nikah mut’ah adalah pernikahan yang ditentukan bayarannya untuk satu-satu tempoh tertentu.  Sebagai contoh, Musavi bernikah dengan Hejayah untuk tempoh setahun dengan bayaran RM1,000.  Selepas tempoh setahun, secara automatik pernikahan (perkahwinan) mereka batal dan tidak ada apa-apa ikatan.

Berikut adalah kajian Syeikh Salim bin Ies al-Halili dalam kitab “Mausu’ah al-Manahisy Syar’iyyah fi Syahihis Sunah an-Nabawiyah” mengenai kebejatan akhlak kaum Syiah.

Nikah Mut’ah sudah diharamkan oleh Rasulullah s.a.w. secara mutlak berdasarkan hadis berikut yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib, bahawa Rasulullah melarang nikah Mut'ah pada perang Khaibar dan melarang memakan daging keldai  peliharaan.  Diriwayatkan dari ar-Rabi' bin Sabrah al-Juhani, dari ayahnya, bahwa  Rasulullah  melarang nikah mut'ah. Rasulullah bcrsabda (maksudnya),  "Ketahuilah, sesungguhnya nikah mut'ah itu haram mulai sekarang  sampai hari Kiamat. Barangsiapa yang telah memberikan sesuatu (yakni upah), maka janganlah ia mengambilnya kembali."'

Perhatikan bagaimana pendirian kaum Syiah sehingga hari ini mengenai nikah mut’ah itu
Pertama: Mereka jadikan sebagai rukun iman, mereka menyebutkan bahawa  Ja'far ash-Shadiq mengatakan: "Bukan termasuk golongan kami orang yang tidak mengimani adanya raj'ah dan tidak menghalalkan nikah mut'ah."
(Silakan lihat  Man Laa Yahduruhu al-Faqih (11/148), Wasaail Syiah (IV/438)  dan Tafsir ash-Shaafi (1/347).)

Kedua: Mereka beranggapan bahwa nikah mut'ah merupakan pengganti dari minuman yang memabukkan. Mereka meriwayatkan dari Muhammad bin Muslim dari Abu Ja'far bahwa ia berkata: "Sesungguhnya Allah telah menyayangi kamu dengan menjadikan nikah mut'ah sebagai pengganti bagi kamu dari minuman keras."
(Ar-Raudhah minal Kaafi (halaman 151) dan Wasaail Syi'ah (XIV/438).)

Ketiga: Dan menjanjikan pahala yang sangat besar bagi pelakunya sehingga mereka berkeyakinan bahwa barangsiapa yang melakukan nikah mut'ah empat kali, maka derajatnya (kedudukannya) seperti Rasulullah. Lalu mereka menisbatkan kedustaan ini kepada Rasulullah. Mereka menyebutkan riwayat palsu (Hadis palsu): "Barangsiapa melakukan nikah mut'ah sekali maka derajatnya seperti derajatal-Husein- Barangsiapa melakukan nikah mut'ah dua kali, maka derajatnya seperti derajat al-Hasan. Barangsiapa melakukan nikah mut'ah tiga kali, maka derajatnya seperti derajat 'Ali. Dan barangsiapa melakukan nikah mut'ah empat kali, maka derajatnya seperti derajatku."
(Manhajus Shaadiqin tulisan Fathulllah al-Kaasyaani, halaman 356.)

Diriwayatkan dari al-Hasan bin Zharif, ia berkata: Aku menulis surat kepada Abu Muhammad "Aku telah meninggalkan nikah mut'ah selama tiga puluh tahun kemudian bangkit lagi gairahku untuk melakukannya. Ada seorang wanita di kampungku yang menurut kabarnya sangat cantik. Lalu hatiku tertarik kepadanya. Kamun wanita itu seorang pelacur yang menerima pria-pria hidung belang. Maka aku pun membencinya. Kemudian aku katakan: "Para imam mengatakan nikah mut'ahlah dengan wanita pelacur karena engkau akan mengeluarkannya daripada yang haram kepada yang halal."
Aku menulis surat kepada Abu Muhammad untuk meminta pertimbangan kepadanya dalam masalah mut'ah ini, aku bertanya: "Bolchkah aku nikah mut'ah setelah tahun-tahun ini?" Ia menulis surat jawaban: Sesungguhnya engkau sedang menghidupkan Sunnah dan mematikan bid'ah. Engkau boleh melakukannya."
(kitab Kasyful Gbummab, halaman 307)

Bahkan mereka membolehkan pinjam-meminjam faraj (kemaluan wanita- maaf), wal iyaadzu billah. Hal ini disebutkan dalam buku-buku pegangan mereka, antaranya adalah yang diriwayatkan dari al-Hasan al-'Aththar, ia berkata: "Aku bertanya kepada Abu 'Abdillah tentang pinjam meminjam faraj (kemaluan wanita), ia menjawab: "Tidak mengapa (boleh saja)." Aku bertanya lagi: "Bagaimana kalau hamil dan melahirkan anak?" Ia bertanya: "Anak itu milik si peminjam kecuali bila ada perjanjian sebelumnya."
(Wasaail Syi'ah (VH7540), Furuu'al-Kaafi (11/48), al-Istibshaar (IH/141) dan at-Tahdiib (11/185).


Rabu, Mei 09, 2012

AHLI Sunah dituduh literalis


Oleh: Fathul Bari Mat Jahaya

LABEL dan gelaran buruk merupakan satu dari senjata ampuh yang digunakan oleh Barat dan medianya kepada ajaran Islam. Justeru saban waktu, saban zaman muncul bermacam-macam sandaran buruk dilekatkan kepada ajaran Islam yang murni. Ada yang disebutkan sebagai militan ekstremis, konservatif, radikal dan sebagainya.  Jika sesebuah tindakan itu dilihat sebagai memihak kepada pihak Barat, maka disandang istilah yang sedikit lunak seperti progresif (Greg Barton), pragmatik, dan sederhana. Namun belum pernah sekalipun kita terdengar media khususnya dari Barat menyebutkan bahawa inilah ajaran Islam yang sebenar!


Selain menjadi senjata yang paling ampuh, label juga adalah sebuah pertahanan yang amat mapan. Selalunya dek kerana sudah kering hujah atau mati akal, maka dengan gegabah mereka memetik sandaran itu dan ini, lalu memberikan label-label buruk kepada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangannya. Hal ini tidak sahaja berlaku di kalangan media, sebaliknya juga wujud di kalangan segelintir golongan yang menyandang gelar ahli akademik mahupun ilmuwan agama. Mutakhir ini seperti muncul konfrontasi dingin di kalangan agamawan baik yang bergelar ustaz hinggalah kepada mereka yang menyarung jubah doktor dan professor.

Ada yang menuduh si polan sesat, ada yang didakwa Islam liberal, juga ada yang ditohmah membawa ajaran plural (persamaan agama). Salah satu dari tuduhan yang sering di dengungkan kepada golongan yang mahu berpegang teguh hadis Nabi, khususnya dalam bab interaksi dengan pemerintah ialah tuduhan sebagai literalis. Atau dalam istilah klasiknya disebut sebagai zahiri, merujuk kepada golongan yang memahami nas al-Quran dan sunah secara zahir.

Situasi sulit yang timbul ialah apabila ada kelompok-kelompok manusia yang mendahulukan akal dan rasional lebih dari dalil ketika berhujah. Mereka menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai sokongan, manakala akal dan rasional dijadikan dasar.  Ini sikap yang bertentangan dengan akidah ahlus sunnah wal jamaah, yang menjadikan al-Quran dan sunah sebagai dasar, manakala akal dan rasional sebagai sokongan. Kita perlu menyesuaikan rasional dan pemahaman mengikut al-Quran dan sunah, bukan sebaliknya.

Golongan seperti ini seringkali berhujah dengan realiti. Asal sahaja berhujah, dalil mereka realiti, begitulah seterusnya. Walhal mereka sering tertipu dengan realiti.  Tuduhan literalis sangat berkait-rapat dengan teks dan konteks sesuatu dalil. Golongan yang dituduh literalis sering dikatakan hanya memahami teks tanpa mendalami konteksnya. Ironi lagi memeningkan ialah apabila golongan yang menuduh ini menggunakan dalil salah teks apatah lagi konteksnya, sebagai contoh hadis jiran digunakan untuk interaksi dengan pemerintah. Juga menggunakan alasan ijtihad Khalifah Umar al-Khattab untuk tidak melaksanakan perintah al-Quran membahagi harta rampasan perang kepada tentera.

Sekali lagi mereka beralaskan teks dan kontekstual. Walhal golongan ini yang salah konteks. Khalifah Umar al-Khattab bertindak atas kefahamannya menyeluruh terhadap nas Kitab dan sunah. Bahkan beliau termasuk khalifah yang diberi petunjuk khulafa ar-rasyidin. Dan siapakah pula empunya gerangan berasa dirinya setanding Umar al-Faruq, walaupun Umar tidak menyandang gelar professor mahupun visiting scholar!  Dan jangan kita lupa, Umar al-Khattab antara sahabat Nabi yang sangat tegas, teguh berpegang dengan sunah Nabi. Perkataan beliau yang sangat masyhur dirakamkan ketika mencium Hajarul Aswad,
“Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad).”
Nah bukankah ucapan dan tindakan ini sangat berbau literalis dan tekstual.

Berdalilkan kontekstual untuk meninggalkan teks

Sebilangan tentera Islam pada Perang Uhud meninggalkan perintah Nabi untuk tetap bertahan atas Bukit Uhud, atas alasan konteksnya sudah berubah; yakni tentera Islam sudah menang. Kita lihat apa yang diriwayatkan oleh sahabat Barra bin Azib yang terdapat dalam Sahih Bukhari disebutkan:  Ketika kami menghadapi kafir Quraisy, mereka melarikan diri, sehingga aku melihat kaum wanita mereka melarikan diri dan meninggalkan bukit sambil mengangkat betis sehingga ternampak gelang-gelang kaki mereka. Dalam keadaan itu, tentera Islam terus mengejar musuh yang lari lintang pukang yang meninggalkan begitu banyak harta perang. Menyaksikan musuh mula meninggalkan medan perang dan tiada lagi ancaman serangan terhadap tentera Islam telah mengubah keadaan.

Pasukan memanah di Bukit Uhud yang diamanahkan oleh Rasulullah supaya tetap di situ sama ada dalam keadaan menang atau kalah, mula lupa arahan itu. Mereka mula bangun dan meninggalkan kedudukan masing-masing sebagai pemanah tepat. Kesan dari meninggalkan perintah Nabi kerana melihat konteksnya sudah berubah, akhirnya Allah memberi peringatan dan pengajaran memberi kekalahan kepada tentera Islam ketika itu.

Demikian halnya juga ada kelompok yang cuba menafikan dalil atau membenamkan kefahaman asal terhadap sesuatu dalil atas alasan mencari kemudahan, kelapangan dan juga mengelakkan dikatakan sebagai sulit, sempit dan jumud.

Syaikh Dr. Soleh Fauzan al-Fauzan, seorang ulama senior lagi disegani di Tanah Arab ketika mengomentari hadis perselisihan umat menjelaskan, maka tidak boleh bagi kita untuk mengambil pendapat-pendapat yang kita inginkan atau sesuai dengan keinginan dan nafsu kita. Atau mengatakan, “Ini lebih lapang dan lebih mudah bagi manusia, dan sikap lunak adalah diperintahkan.’  Ini adalah perkataan batil, seperti diucapkan oleh para penulis pada waktu sekarang ini dan pengikut hawa nafsu.

Jelas beliau lagi, sekarang semua tulisan bersuara untuk mengambil pendapat-pendapat dan sikap yang lunak terhadap manusia. Jika mereka dikembalikan kepada dalil, mereka akan mengatakan ia sulit, sempit dan jumud.  Perkataan ini adalah kufur; kerana orang yang mengucapkannya berpandangan bahawa mengambil dalil adalah sulit! Orang yang berkata seperti ini adalah kafir. Mengambil dalil adalah suatu kelapangan bukan kesempitan. Dan itu adalah jalan mudah yang diberikan oleh Allah. (lihat: Syarah Manzhumah Ha‘iah fi Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, oleh Syaikh Dr Soleh bin Fauzan al-Fauzan, ms. 263, Pustaka Salafiyah, Jakarta, (2008)

Mereka menjolok ahlul hadith dengan gelaran tersebut hanya kerana ahlul hadith berpegang teguh kepada hadis-hadis Rasulullah.  Mereka mengira bahawa hadis-hadis itu terpisah daripada ilmu dan ilmu itu adalah apa yang dijelmakan oleh syaitan kepadanya berupa hasil-hasil pemikiran mereka yang rosak, was-was daripada dada-dada mereka yang gelap, bisikan-bisikan hati mereka yang kosong daripada kebaikan. Sebenarnya ucapan-ucapan, hujah-hujah, dan syubhat-syubhat mereka semuanya kosong, tidak ilmiah, dan batil.

Rabu, Mei 02, 2012

PERANG sesama muslim, Pas-Umno dan Bersih adalah fitnah akhir zaman?


ENTAH kerna memang inilah akhir zaman atau semua perselisihan sesama umah merupakan pilihan manusia, hanya Allah yang tahu.  Dengan mengamalkan demokrasi (banyak yang meminta demokrasi tulen), dengan mudah umah terbelah kepada dua atau tiga kumpulan.  Terbelah dan saling bermusuhan, mencari jalan dan ruang menjatuhkan kumpulan muslim lain dengan apa cara sekalipun. Tidak lain, ini bertujuan untuk memastikan hanya kumpulannya yang berkuasa dan selainnya mesti dilenyapkan. Semua ini dikatakan sihat dalam amalan demokrasi moden dan dianggap lambang ketinggian tamadun.

Apakah bedanya permusuhan dua pihak muslim di negara kita dengan permusuhan dua pihak muslim pada zaman akhir pemerintahan Sayyidina Usman dan terbelahnya Perang Siffin antara pasukan Khalifah Ali Abi Talib dan Muawiyah Abi Sufyan?  Jika Pas dan Umno saling mahu mengalahkan antara satu sama lain, maka begitulah antara pasukan Ali Abi Talib dan Muawiyah Abu Sufyan.  Mungkin muslim yang menjadi aktor utama dan para pengikut dalam parti politik menerima permusuhan sesama muslim sebagai satu hukum alam, kesinambungan sejarah atau demi melahirkan satu kumpulan terbaik, namun apakah sikap para sahabat nabi menghadapi situasi zaman fitnah itu.  Jika zaman Perang Siffin adalah satu fitnah, maka perselisihan Umno-Pas juga fitnah dan mula membakar dengan perhimpunan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0. Darah telah pun tumpah.

Prinsip al-Quran ialah menyatukan manusia.  Tidak ada ayat yang membenarkan perselisihan umah apa lagi sehingga antara dua pasukan muslim menumpahkan darah. Ayat 103 surah Ali Imran, “Dan berpegang teguhlah dengan tali (agama) Allah dan jangan kamu bercerai berai…” Seruan Allah mengenai perpaduan ada pada ayat 13 surah as-Syura,  dan ayat 10 surah al-Hujurat.

Oleh itu menjadi kewajiban kepada setiap pemerintah muslim untuk menyatukan umah.  Jika sehingga berlaku fitnah perang sebagaimana pada zaman Khalifah Ali bin Abiu Talib, maka jelas khalifah itu juga telah meminimumkan perang dan menuju jalan penyatuan.  Tentu penuntut ilmu sejarah maklum apa yang dilakukan terhadap para sahabat nabi yang terlibat dalam Perang Jamal.  Bahawa Khalifah Ali tidak menghabislunaskan mereka.  Lihat pula bagaimana peluang yang Allah berikan kepada pasukan Khalifah Ali untuk menghabislunaskan pasukan Muawiyah bin Abu Sufyan dalam Perang Siffin.  Apabila ada permintaan damai, walhal pasukan khalifah hampir pasti dengan kejayaan gemilang namun khalifah yang berpegang kepada al-Quran dan sunah nabi itu telah melakukan gencatan senjata.  Demikian juga sikap yang ditunjukkan oleh putera Khalifah Ali bin Abi Talib iaitu al-Hassan yang mahu diangkat sebagai pewaris jawatan khalifah sebaik kewafatan ayahnya, maka beliau lebih mengutamakan keutuhan jamaah muslimin.  Al-Hassan bin Ali bin Abi Talib telah menyerahkan kekuasaan jawatan Khalifah kepada Muawiyah bin Abi Sufyan.  Dengan itu keutuhan  umah terjaga dan terhentilah fitnah permusuhan sesama muslim.

Bagaimana sikap para sahabat yang diredai Allah dalam suasana fitnah permusuhan sesama muslim itu?  Ada antara sahabat yang diseru oleh masyarakat muslim untuk mengepalai perlawanan demi melaksanakan keadilan dan menumpaskan kezaliman pemerintah.  Bagus dilihat apakah sikap seorang sahabat nabi yang melewati usia bersama pemerintahan Rasulullah s.a.w., Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a., Khalidah Umar al-Khattab al-Faruq r.a., Khalifah Usman bin Affan r.a., Khalifah Ali bin Abu Talib r.a., Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan r.a., Khalifah Yazib bin Muawiyah, Khalifah Muawiyah bin Yazid dan Khalifah Abdul Malik bin Marwan.  Beliau adalah Abdullah bin Umar bin al-Khattab atau Ibnu Umar r.a., putera Khalifah Umar al-Khattab.

Sejarah telah merakan bahawa Ibnu Umar r.a. sentiasa membai’ah semua khalifah dalam situasi apa pun.  Sekalipun ada masanya muncul seorang lelaki mengobarkan semangat menentang khalifah yang didakwa melakukan kezaliman, Ibnu Umar r.a. tetap dengan prinsip mengutamakan keutuhan umah atau jamaah daripada menyertai kempen atau gerakan melawan pemerintah.  Hal ini dapat dilihat tatkala berlaku fitnah zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abi Sufyan.


Ibnu Umar r.a. tetap tidak mencela Khalifah Yazid malah terus membai’ah khalifah.  Ketika berlaku pemberontakan di Madinah terhadap Khalifah Yazid oleh Abdullah bin Muthi, Ibnu Umar telah mendatangi Abdullah bin Muthi dengan membacakan sabda nabi (maksudnya) “Barang siapa melepaskan diri daripada ketaatan, maka dia akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat tanpa memiliki alasan perbuatannya.  Dan barang siapa mati sedang di lehernya tidak terdapat pembai’atan (terhadap pemimpin) maka dia mati dalam keadaan jahiliyah.” (Hadis riwayat Muslim)

Kepada penduduk Madinah yang telah memutuskan bai’ah kepada Khalifah Yazid, Ibnu Umar r.a. mengumpulkan ahli keluarganya dan memberikan sabda Rasulullah s.a.w. “Pada hari kiamat akan ditegakkan satu bendera bagi setiap pengkhianat.”  Kata Ibnu Umar lagi, “sesungguhnya kita telah membai’at lelaki ini kerna perintah Allah dan rasul-Nya, dan aku tidak mengetahui pengkhianatan yang lebih besar ketika seorang lelaki dibai’at kerana Allah dan rasul-Nya namun dia diperangi.  Sesiapa pun di antara kalian yang menarik ketaatan daripada pemimpin (Khalifah Yazid) dan tidak mengikutinya, maka perbuatannya menjadi pemisah antara aku dan dia.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam sahihnya)

Ibnu Umar r.a. adalah seorang yang berwatak pemimpin dan mempunyai pengaruh besar.  Ketika berlaku fitnah besar setelah Khalifah Usman bin Affan terbunuh banyak orang menyeru kepada Ibnu Umar, “sesungguhnya engkau adalah pemimpin dan putera seorang pemimpin, maka keluarlah agar umat ini dapat membai’atmu.”  Dengan pantas Ibnu Umar r.a. menjawab, “Demi Allah, aku tidak akan menjadi penyebab tumpahnya darah sesama muslim.”

Kemudian pada masa kewafatan Khalifah Muawiyah bin Yazid bin Abi Sufyan, keadaan masyarakat muslim menjadi huru hara. Banyak pihak membentuk kumpulan dan menyatakan paling berhak menjawat khalifah.  Ibnu Umar r.a. mengasingkan diri daripada semua kumpulan atau parti, tidak membai’at mana-mana yang mendakwa sebagai khalifah.  Beliau didatangi oleh seorang ahli keluarga Bani Umayyah, Marwan al-Hakam.  Marwan al-Hakam berkata, “Hulurkan tanganmu agar kami dapat membai’atmu kerna sesungguhnya engkau adalah pemimpin dan putera pemimpin bangsa Arab.”  Ibnu Umar r.a. berkata, “Apa yang harus kubuat dengan penduduk Timur?”  Marwan menjawab, “Kita serang mereka sehingga mahu membai’atmu.”  Maka dijawab Ibnu Umar r.a. “pada usia mendekati 70 ini aku tidak ingin diriku menjadi penyebab terbunuhnya seseorang.” (diriwayatkan oleh Ibnu Saad dalam at-Thaqabat)

Sikap Ibnu Umar r.a. yang lain ialah tidak menyertai mana-mana kumpulan muslim yang bermusuhan berebut kekuasaan atas nama apa pun.  Beliau mengasingkan diri daripada tempat kekacauan itu.  Beliau tahu dirinya seorang yang ditunggu-tunggu untuk memberikan pendirian memihak kepada siapa.  Hal ini dapat dilihat apabila beliau  mengasingkan diri ke Makkah apabila berlaku suasana kacau di Madinah.

Sikap seorang sahabat yang berpegang kepada al-Quran dan sunah ini jelas memastikan keutuhan jamaah atau kesatuan umah sekalipun menyedari ada kekurangan pada khalifah yang memerintah.  Baginya ketaatan kepada pemerintah merupakan suruhan wahyu dan rasul-Nya, maka setiap muslim tidak boleh melepaskannya.

Bagi orang-orang yang memahami permasalahan ini, terus bersatu dalam jamaah muslimin bersama pemimpin yang dikatakan zalim masih jauh menjamin kelangsungan beragama berbanding mengobarkan kempen dan gerakan melawan pemerintah.  Apabila pemerintah yang dikatakan zalim dicerca dan ditanggalkan maruahnya umah berpecah dan bermusuhan antara pengikut pemimpin dan penentangnya. Itulah fitnah dan ruang kehancuran.  Apabila luasnya permusuhan sesama muslim, mereka tidak menemui apa yang dinamakan kehebatan umah yang dipilih Allah, melainkan kehinaan sewaktu di dunia lagi.