Pengikut

Selasa, Jun 29, 2010

TIDAK perlu baca teori politik Islam

SEWAKTU belajar Sejarah Islam dahulu, guru saya mengatakan Islam tidak menentukan kaedah kenaikan seseorang pemimpin untuk berkuasa.  Katanya, dengan kewafatan Rasulullah tanpa wasiat, menyebabkan umat Islam mencari kaedah yang terbaik mengikut budaya dan zamannya.  Tambahnya lagi, semua Khalifah yang empat mempunyai cara kenaikan sebagai khalifah Islam tersendiri,  cuma asasnya ialah bai’ah atau akujanji masyarakat terhadap khalifah.  Beliau membuat kesimpulan, soal berpolitik dalam Islam bukan statik tetapi berubah mengikut zaman dan keadaan.

Hari ini, kebanyakan negara Islam (atau negara umat Islam) menggunakan sistem demokrasi pilihan raya untuk memilih pemimpin  dan kerajaan.  Ulama-ulama daripada parti Islam atau NGO Islam pun memang faham bahawa demokrasi ini adalah produk Barat, bukan daripada al-quran dan Sunah.  Oleh kerana demokrasi menghampiri system Islam, maka ulama yang menyertai sistem demokrasi pilihan raya ini menggunakan ijtihad boleh menyertai pilihan raya dengan asas yang ada dalam al-Quran dan Sunah.

Apabila negara kita merdeka dan menyertai Komanwel British bererti, negara mengikut nilai dan budaya British.  Siapa yang mengkaji sejarah mudah saja faham bahawa kemerdekaan bukan bererti penjajah melepaskan 100 peratus tanah jajahannya.  Tak mungkin sejujur dan seikhlas itu penjajah yang bersusah payah menguasai negara mahu melepaskannya menjadi negara Malaysia yang bebas dan penjajah kehilangan 100 kepentingannya.  Bodohlah kalau ada yang faham begitu!

Pemaksaan sistem demokrasi berpilihan raya kepada negara adalah agenda British kepada Malaysia.  Janji demokrasi memang indah: keadilah dan ketelusan melawan pemusatan kuasa raja.  Lalu rakyat pun diajar menggunakan sistem Barat.  Hari ini sistem demokrasi berparlimen di negara kita sudah seperti menjadi akidah dalam berpolitik.  Kerana demokrasi berparlimen ini orang sanggup berbuat apa saja, sampai berani mati!  Soal hendak putus hubungan, menjadi penipu, manipulasi dan segala macam kebobrokan…biasa, asalkan berjaya membentuk blok politik untuk memenuhi sistem demokrasi berparlimen.

Dengan sistem demokrasi berparlimen inilah  kuasa politik orang Islam dikikis hari demi hari.  Oh ya, bukan British yang melakukannya, tetapi orang Islam sendiri yang terpaksa mengecilkan kuasa pemerintahan dan undang-undangnya.  Semua atas nama keadilan, kesamataraan dan memenuhi kehendak rakyat banyak.  Hendak melaksanakan syariah Islam pun terpaksa ditawarkan kepada rakyat atas nama keadilan. Siapakah orang bukan Islam yang hendak menerima 100 peratus syariah Islam sekalipun mereka berpuluh-puluh tahun berkawan dengan orang Islam.  Kalau mereka menerima sistem Islam, sudah lama mereka masuk Islam.

Dengan umat Islam hanya kira-kira 60 peratus dan terbelah kepada dua blok politik, maka kuasa orang Islam menjadi semakin kecil.  Pengaruhnya semakin luntur dan semakin terlucut mana-mana yang berkaitan dengan pentadbiran.  Terbaru apabila anak muda orang Islam tidak berminat pula untuk menyertai sistem pilihan raya (tak mahu mengundi), maka semakin jelas kuasa undi orang Islam semakin kecil.  Sudahlah kuasa undi sedia ada terbahagi dua, kenaikan undi muda pula jauh di belakang orang bukan Islam.

Apa kesannya?  Jalan terbuka luas untuk orang bukan Islam memerintah negara yang di dalamnya ada 60 peratus orang Islam.  Semua ini sah mengikut undang-undang dan akidah politik kita semua.  Tidak perlulah ada sesiapa yang hendak curiga apa-apa.  Demokrasi itu hak kebebasan, maka antara hak yang hendak diguna ialah menyerahkan kuasa kepada orang bukan Islam. Sudahlah…, jangan baca buku teori politik Islam oleh Maududi atau Mawardi.  Semua itu tidak laku apabila akidah politik kita berbeza dengan  kedua-dua tokoh Islam itu.

Jumaat, Jun 25, 2010

Dr Asri cuba dituduh mengancam keselamatan?

Puak yang membenci umat Islam yang mahu kembali kepada ajaran al Quran dan Sunnah cuba mengaitkan Dr Asri dengan Wahabi. Wahabi dikaitkan dengan keganasan yang mengancam keselamatan awam.  Tulisan Dr Asri di bawah ini telah lama menjadi sandaran sikap semua pencinta sunnah terhadap kerajaan (baca pemerintah di Malaysia).  Hadis-hadis yang dibawa oleh Dr Asri ini juga tidak berani dibawa oleh segolongan kumpulan Islam yang bertegas melawan kerajaan atas alasan diizinkan oleh demokrasi. Nilailah sendiri, adakah benar pencinta sunah (salaf) dikatakan paksi keganasan dan berazam melakukan rusuhan ganas?  Tidak lain, musuh-musuh Islam sedang giat untuk memusnahkan mereka yang mahu kembali kepada ajaran yang benar.

Hukum Memerangi Pemerintah Muslim

sinar3.jpg

Soalan: Dr Asri, sekarang ini heboh isu keganasan. Persoalan saya, apakah hukumnya dalam Islam jika ada pihak yang membantah kerajaan orang islam yang zalim secara kekerasan. Apakah ini termasuk dalam jihad yang diperintahkan agama atau tidak. Tidakkah menentang kerajaan itu diharamkan oleh Islam?
Imran, Kuala Terengganu.
 Jawapan DR MAZA:
Saudara, banyak isu keganasan yang cuba dikaitkan dengan umat Islam atau tokoh-tokoh Islam adalah mainan jahat pihak-pihak tertentu. Mereka ini samada mempunyai agenda politik tertentu, ataupun berkerja bagi pihak musuh umat Islam bagi mencemarkan imej Islam. Sebahagian pihak menggunakan isu ini untuk tujuan politik seperti menghapuskan gerakan Islam yang dilihat mengancam kedudukan politik mereka. Namun begitu, tidak dinafikan kemungkinan ada sesetengah kelompok yang telah salah tindakan dalam hal ini sehingga mencetuskan keganasan. Berhubung dengan pendekatan keras terhadap pemerintah yang zalim dan menyeleweng, maka ini fahami perkara berikut; 
1. Perkara asas dalam hal ini boleh difahami daripada ingatan Nabi s.a.w.:
“Akan dilantik para pemimpin yang kamu setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka) dan kamu akan membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang membenci (perbuatan munkar) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa yang membantah maka dia selamat (dari dosa), namun (yang berdosa) sesiapa yang redha dan menuruti (perbuatan munkar)”. Sahabah bertanya: “Tidakkah boleh kami perangi mereka?” Jawab baginda: “Tidak! selagi mana mereka bersolat”(Riwayat Muslim).
2. Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa bertegas dalam membenci dan membantah kemungkaran dan kezaliman pemerintah itu adalah tuntutan agama. Namun, Nabi s.a.w tidak membenarkan rakyat memerangi pemerintah muslim dengan senjata selagi mereka itu bersolat. Solat menjadi petunjuk bahawa pemerintah tersebut masih berpegang dengan ajaran Islam dalam kehidupan. Keluar memerangi pemerintah dengan senjata hanya akan menimbulkan kerosakan yang lebih besar.
3. Juga, perhitungan tindakan dalam Islam adalah di sudut kadar manfaat dan mudarat. Menumpaskan pemerintah zalim dengan senjata biasanya mengundang mudarat yang jauh lebih bahaya dibandingkan manfaat yang hendak dicapai. Sebab itu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) menyebut:
“kata ulama: alasan seseorang pemerintah tidak dipecat, atau pengharaman memeranginya kerana menyebab fitnah, penumpahan darah dan kerosakan yang nyata” (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim 12/40)
4. Juga, kebencian atau bantahan terhadap kemungkaran pemerintah tidak membolehkan rakyat menderhakai mereka dalam perkara yang baik atau makruf. Ini seperti yang ditegaskan oleh hadis. Sabda Nabi:
“Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknati kamu”. Baginda ditanya: “Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang?” Jawab baginda: “Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang seseorang penguasa berkuasa ke atasnya, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci maksiat tersebut namun jangan dia mencabut tangan dari ketaatan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
5. Ini kerana setiap pemerintah mungkin akan ada kesilapan atau dosa yang dilakukan. Jika setiap kali pemerintah bersalah atau melakukan dosa diperangi dengan senjata, maka hancurlah keamanan masyarakat dan negara. Maka justeru itu, kita menentang kemungkaran pemerintah, tetapi tidak akan memeranginya dengan senjata.
6. Ini kerana antara tujuan berpolitik dalam Islam adalah menegakkan keadilan, keamanan dan hak rakyat. Peperangan saudara dalam negara hanya akan menghancurkan perkara-perkara tersebut.
7. Arahan pemerintah yang zalim atau mungkar dalam perkara-perkara kebaikan tetap wajib ditaati. Kata al-Khattabi (meninggal 388H):
“Sesungguhnya jihad itu wajib sekalipun bersama dengan pemerintah yang zalim, sepertimana ia wajib bersama pemerintah yang adil. Kezaliman mereka tidak menggugurkan kewajipan mentaati mereka dalam persoalan jihad. Demikian juga dalam perkara kebaikan yang lain yang menyamainya” (al-Khattabi, Ma‘alim al-Sunan, 2/ 357.)
Pendapat ini bersesuaian dengan sabda Nabi s.a.w :
“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
8. Sekalipun kita dilarang memerang pemerintah dengan senjata, tetapi kita tetap disuruh untuk menasihati mereka dan mencegah kemunkaran mereka dengan perkataan atau perbuatan yang tidak menyebabkan pertumpahan darah seperti undi dalam pilihanraya. RasuluLah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya Allah meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukanNya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (Riwayat Malik).
Juga sabda Nabi s.a.w:
“Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang adil –dalam riwayat yang lain: yang benar- di sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim”. (Riwayat al-Nasai, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).
9. Nabi s.a.w juga memberi amaran kepada sesiapa yang mengampu atau mengiyakan kezaliman pemerintah dengan sabda baginda:
“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga). Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi. Hadith ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani.
10. Pengkaji politik Islam tidak boleh terlalu literalist. Politik bukanlah ibadah khususiah seperti solat dan puasa yang tidak boleh diubah tambah. Politik soal pentadbiran dan kaedah untuk menegakkan keadilan dan keamanan dalam kehidupan rakyat berdasarkan prinsip-prinsip umum Islam. Kaedah membantah atau menukar pemerintahan berbeza-beza berdasarkan sistem yang dipakai. Para ulama dahulu mengharamkan menumbangkan sesuatu pemerintah atas alasan bimbangkan penumpahan darah.
Namun, dalam dunia hari ini sesebuah pemerintah mungkin boleh diubah atau ditukar, atau ditumbang tanpa memerlukan penumpahan darah seperti dalam sistem demokrasi pilihanraya. Maka dengan itu penyertaan parti-parti politik dalam demokrasi pilihanraya tidak boleh dianggap sebagai melanggar kaedah Islam atau sebagai keganasan kerana sistem tersebut tidak sepatutnya menumpahkan darah.

Isnin, Jun 21, 2010

FIQH Awlawiyyat dan Pas

APABILA kejayaan revolusi di Iran (1979) memberi semangat baru kepada Parti Islam Se-Malaysia (Pas), maka parti itu hendak lebih menyerlahkan dasar dan tindakan Islamnya. Timbul perdebatan adakah halal menceburi pilihan raya dalam sistem demokrasi tajaan Barat. Hal ini berlaku dalam tahun 80-an, sewaktu Presiden Pas sekarang TG Hadi Awang masih dalam jawatan Naib Presiden.  Waktu itu keupayaan Pas dalam politik masih kecil dan sering kalah dalam pilihan raya.  Antara hujah Pas berhadapan dengan isu demokrasi ini ialah, masuk pilihan raya yang memang bermasalah untuk mengurangkan masalah lebih besar.  Maknanya ada dilema dan wajib memilih antara membiarkan demokrasi tidak diisi dengan suara Islam atau memasukkan demokrasi dengan suara Islam walaupun berkeadaan sukar.  Ini merupakan kaedah Fiqh Awlawiyyat yang dipopularkan oleh ulama tersohor Dr Yusuf Al Qaradhawi.  Kes ini, sekurang-kurangnya suara dan dasar Islam akan dibawa ke medan pilihan raya dan jika menang, suara Islam akan didengar di Parlimen sebagai suara pembangkang.  Hanya itu, belum ada harapan Pas untuk membentuk kerajaan.

Asas kaedah fiqh yang diguna oleh Pas dahulu ada dalam al Qur’an dan sering dibacakan dalam ceramah untuk memberi kefahaman kepada ahli-ahlinya. Lihat maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 217:  Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan haram. Katakanlah, berperang dalam bulan itu adalah dosa besar, tetapi menghalangi (manusia) daripada jalan Allah, kafir (ingkar) kepada Allah, (menghalang orang memasuki) masjidil haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya lebih besar dosanya di sisi Allah.  Dan fitnah (penganiayaan) lebih besar dosanya daripada membunuh (hingga akhir ayat). Tafsir al Azhar oleh Hamka menjelaskan sejarah turunya ayat ini, jika dibaca lebih jelas memahami Fiqh Awlawiyyat ini.

Hari ini suasana politik Pas telah jauh berubah.  Parti ini daripada tidak mahu bersekutu dengan orang bukan Islam yang dahulunya difatwakan haram (tidak boleh melantik wali atau pemimpin daripada bukan Islam) kepada bergabung dengan parti DAP yang secara jelas mendukung negara sekular.  Jika dahulu Pas terasing daripada bukan Islam, hari ini orang bukan Islam diterima sebagai sekutu rapat dan diberi hak dalam parti.  Daripada parti yang disisihkan oleh orang Melayu Islam sendiri, hari ini Pas mentadbir dua negeri dan sekutu di dua negeri lagi.  Sekarang para pemimpin Pas bercakap soal menjadi salah satu cabang pentadbiran negara di Putrajaya, bukan lagi sebagai pembangkang dan mahu hanya suara Islam didengar di Parlimen.  Fiqh Pas dalam pilihan raya demokrasi hari ini juga berbaza dengan zaman tahun 1980-an. Tahalluf!

Oleh kerana perkembangan politik negara ini sedang menuju ke arah sistem dua parti seperti di Amerika dan Britain, para pemimpin Pas juga mengkaji kesan-kesan terhadap Islam dan umatnya dalam negara.  Misalnya jika Pakatan Rakyat  (PR) menggantikan Barisan Nasional (BN), apakah kesan-kesannya.  Memang kedua-dua gabungan parti itu sedang menawarkan kepada rakyat. BN dengan konsep dominasi Umno-Melayunya yang berteraskan sejarah penubuhan negara (baca isi perlembagaan sebagai dokumen kontrak sosial antara kaun) dengan PR yang berwajah baru menawarkan sama rata tanpa perbedaan ras dan agama.

Keadaan inilah yang menyebabkan Presiden Pas TG Hadi Awang dan Timbalannya Hj Nasharudin kembali kepada Fiqh Awlawiyyat: Terpaksa menerima satu keburukan kecil untuk mengelak keburukan lebih besar. Apa dia? Idea Kerajaan Perpaduan yang cuba dibawa untuk merundingkan persefahaman antara Pas dan Umno adalah sebagai terpaksa menerima Umno sebagai rakan demi Islam juga.  Sekalipun Umno dimusuhi Pas sekian lama dan diyakini parti yang menghalangnya untuk membawa Islam, tetapi masih sebagai parti orang Melayu yang beragama Islam berbanding DAP yang bukan Islam dan secara terbuka menolak Islam.  Itu sahaja yang saya fahami apabila idea Presiden Pas mahu berunding dengan Umno.

Oleh kerana gerak tuju politik negara sangat kuat ke arah sistem dua parti  antara BN atau PR, maka idea Kerajaan Perpaduan terpaksa dikuburkan.  Tidak mungkin Pas yang ada ikatan dengan PR mahu berbaik-baik dengan Umno (paksi utama BN). 

Daripada situasi demikian, tidak hairan jika ada pihak yang mahu menyertai Umno (tidak Pas) sekalipun pemikiran Islam mereka mirip perjuangan Pas. Kaedahnya Fiqh Awlawiyyat!

Sabtu, Jun 19, 2010

STRATEGI yang penuh strategi

PARA sahabat nabi berasa tidak puas hati dengan isi Perjanjian Hudaibiyah (tahun 8H) antara Rasulullah dengan Suhail bin Amir yang mewakili penduduk Makkah.  Kepada sahabat-sahabat nabi, Rasulullah telah mengalah  dan imej Islam jatuh.  Oleh kerana peristiwa itu sudah berlalu dan semua tahu kesan-kesannya, maka dapat disimpulkan mengenai ‘strategi’ dalam Perjanjian Hudaibiyah itu.  Selepas perjanjian itu sendiri, banyak isu dan perkara memihak kepada orang Islam Madinah dan merugikan penduduk Makkah. Kemudian tahun 10H, kota Makkah dapat dikuasai umat Islam tanpa melalui peperangan!  Kan itu strategi: secara lahiriah mengalah, walhal perjanjian itu sebenarnya kemenangan Islam.

Dalam mana-mana pergerakan politik tidak terlepas daripada penggunaan strategi untuk mencapai matlamatnya.  Dahulu Parti Komunis Malaya (PKM) mula menggunakan cara kekerasan atau pemberontakan bersenjata untuk mendapatkan kuasa memerintah negara.  Kepada pihak kerajaan British dan Persekutuan Tanah Melayu yang memerintah (1948-1960) juga menggunakan pelbagai strategi untuk mengalahkan cara PKM.  Kemudian apabila perikatan (sekarang Barisan Nasional) memerintah,  parti ini juga menggunakan pelbagai strartegi untuk kekal memerintah negara.    Umno sebagai parti induk dalam BN juga menggunakan strategi supaya parti-parti lain sedia menerima penguasaan Umno dalam BN sejak merdeka sehingga hari ini.  Bagi pihak parti lain dalam BN juga membuat strategi agar Umno memberikan perkara yang diperjuangkannya.  Sebab itulah ada kritikan Umno menjual hak bangsa Melayu kepada bukan Melayu.  Sebanyak mana kelonggaran penguasaan Melayu ertinya  sebanyak itulah kelonggaran telah memihak kepada kaum bukan Melayu. Itukan hasil strategi antara Umno dan parti lain dalam BN.

Orang bukan Melayu selama ini sukar percaya bahawa mereka boleh memerintah negara kerana strategi yang digunakan Umno berjaya membentuk set minda yang begitu.  Strategi bukan Melayu pun bagus apabila bersedia tidak menguasai pemerintahan (menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri), mereka meminta hak-hak ekonomi dan kebudayaan yang lebih luas.  Penyertaan mereka dalam BN mesti ada untuk meminta itu dan ini.  Jika permintaan mereka tidak dilayan, mereka tidak menyokong BN dalam pilihan raya.  Politik terima dan ugut ini merupakan strategi.

Pas mencari orang bukan Islam supaya menyokongnya juga satu strategi.  Kepada misi dakwah, itu strategi kepada orang Pas untuk mudah menyampaikan mesej Islam (yang difahami sempurna) kepada rakannya yang bukan Islam.  Orang bukan Islam kena dengar dan wajib faham dasar Pas yang Islam itu.  Dahulu, bukan Islam tak sudi langsung nak mendengar sistem Islam, hari ini ada pemimpin bukan Islam dibenarkan berucap dalam masjid. 

Kepada bukan Islam yang masuk dalam kandang Pas juga tentu ada strateginya.  Untuk apa mereka menyokong Pas  sedangkan Pas belum pun memerintah negara.  Jika hendak berpolitik melawan BN, parti selain Pas pun cukup terbuka untuk mereka.  Hal ini wajib juga difikir.  Mungkin-mungkin (kena sebut mungkin) saja mereka mahu mengendurkan pendekatan Islam dalam Pas.  Harapannya ialah Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh Pas tidak dikuasai oleh orang Melayu sebagaimana dalam BN dikuasai oleh Melayu dan Bumiputera (Umno).

Apakah masalah-masalah kepemimpinan dalam MCA dan MIC suatu takdir yang mesti berlaku atau suatu yang disengajakan?  Dalam politik, semua parti ada matlamat.  Matlamat itu digerakkan dengan strategi.  Katalah masalah dalam MCA dan MIC itu strategi mereka, untuk apa?  Jawabannya ialah untuk melemahkan BN, akibatnya orang bukan Melayu yang memang selama ini tidak dapat menguasai BN akan beralih kepada PR atas alasan parti bukan Melayu bermasalah dalam BN.  Bukankah suara agar Gerakan dan MIC keluar BN sudah dikeluarkan?  Bukankah sudah berlaku tokoh-tokoh MCA, Gerakan dan MIC yang ‘tidak berguna’ dalam parti-parti itu masuk dalam PKR.  Kemudian, fikirkan mengapa mereka masuk dalam PKR, bukan DAP? Ahhh, mereka ahli politik,tentu ada strateginya untuk mencapai apa yang selama ini tidak dapat dilaksanakan.  Si Pelawak, Nabil kata: Lu pikir la sendiri!

Apa bezanya BN dan PR?  Selama ini dan sementara waktu ini, BN dikuasai oleh Melayu dan Bumiputera manakala PR terbuka kepada mana-mana pihak untuk menguasainya.  Jika Pas dapat lebih banyak kerusi Parlimen,  kuasa dan pengaruh masih kepada Melayu dan Islam. Jika DAP dan PKR (baca yang bukan Melayu) mendapat lebih banyak kuasa, maka bukan Melayu mempunyai peluang menjadi Perdana Menteri.  Besar ertinya menjadi PM, sebab PM ada kuasa eksekutif memilih barisan menteri kabinet, member nasihat kepada Yang Dipertuan Agong dan mempengaruhi keputusan kabinet dalam membuat dasar-dasar negara. 

Strategi-strategi dalam parti politik penuh dengan muslihat. Ada muslihat yang boleh dilihat dan kebanyakannya macam halimunan.  Akibat strategi itu sahaja yang jelas dikesan dan dilihat oleh orang awam.  Maka janganlah cepat percaya apa-apa yang berlaku dalam politik merupakan satu takdir  yang bulat-bulat, dan bukan disebabkan tangan-tangan tersembunyi.

Amat naif jika kebanyakan orang menerima isu dan pergerakan politik seperti wahyu dalam al-Quran.  Maka, wajiblah umat Islam (kalau sudah tidak mahu disebut Melayu) dan orang Melayu (jika betul-betul berjiwa Melayu) berfikir keadaan yang berlaku dan pantas membuat strategi agar yang dikatakan hak Islam dan Melayu itu tidak lesap sedikit demi sedikit.

Jumaat, Jun 18, 2010

HASSAN Shukri anak Banjar Sabak Bernam

BELASUNGKAWA. Kewafatan mantan Timbalan Presiden Pas, Pesuruh Jaya Pas Selangor dan Senator Haji Hassan Shukri, 71 tahun, pada 14 jun 2010 adalah kehilangan kepada anak watan kampung Baru 2 Sepintas Sabak Bernam, Selangor.  Walaupun saya anak kampung Sepintas, saya hanya mengenali beliau sebagai salah seorang tokoh Pas.  Namun arwah ayah Haji Hassan, Haji Shukri memang kenal saya sebab saya tinggal lama di kampung. Apabila saya merantau, dan pabila pulang saya kerap bertemu di Masjid Abrar Batu 2. Arwah Haji Shukri kerap menyapa dalam loghat Banjarnya, "Bila ustaz pulang?"
Rumah ayah almarhum Hj Hassan di tepi jalan simpang empat kampung Batu 2 Sepintas.  Buka saja rumahnya, itulah tanah perkuburan dan sebelah tanah kubur itulah Masjid Abrar.  Di Kampung Sepintas, penghuninya keturunan Jawa dan Banjar. Bagi keturunan Banjar, kebanyakan mereka tinggal di Kampung Kemboja.

Ayah saya, Haji Siraj Abdul Khanan yang sudah 74 tahun merupakan kenalan rapat almarhum Hj Hassan.  Kalau hendak dibandingkan kesihatan antara ayah saya dengan almarhum Hj Hassan, tampak ayah saya lebih uzur fizikalnya. Maklum, orang kampung yang membanting tulang sejak zaman anak-anak. Sekarang badannya agak bungkuk.  Fizikal almarhum Hj Hassan tetap agam.  Sewaktu mendengar berita Hj Hassan wafat, saya berada di Kuantan dan menelefon ke kampung untuk memaklumkan kewafatan teman ayah.

Rasanya ayah saya macam ralat sebab tidak dapat menziarahi jenazah almarhum Hj Hassan kerana tidak dibawa pulang ke kampung kelahirannya, Kg Sepintas.  Saya pula berada di Kuantan, tidak dapat membawa ayah ke Gombak.  Itulah berakhirnya dalam hayat persahabatan antara ayah saya dengan tokoh Pas pusat yang lahirnya di kampung kecil. Tahun kelahiran almarhum Hj Hassan 1939, apalah yang ada di Kampung Sepintas.  Namun kerana almarhum berjaya dalam pendidikan sehingga belajar ke Iraq, itulah membezakan seseorang. Kerana ilmunya!

HARGA bukan Islam dalam Pas



TAHNIAH kepada Parti Islaam Se-Malaysia (Pas) yang baru melaksanakan Muktamar Tahunan di Kota Bharu (11-13 Jun 2010).  Sebagai parti politik yang juga mendakwa jamaah dakwah berteraskan al-Quran dan Sunnah, maka segala perjalanan Pas tetap menjadi sorotan kepada mereka yang sayangkan Islam.  Dahulu musuh Pas daripada kaum Melayu kerap melabelkan Pas parti yang jumud dan perjuangannya sempit.  Harapannya ialah agar umat Islam melupakan sahaja Pas sewaktu semua manusia mahukan kemajuan dan kemodenan.  Dahulu musuh Pas daripada kaum bukan Islam sangat curiga terhadap Pas sehingga menjadi pandangan umum bukan Islam bahawa Pas akan memaksa mereka masuk Islam.

Hari ini Pas tidak lagi menerima celaan dan sindiran demikian daripada dua pihak berkenaan.  Pas memahami kritikan dan suasana semasa, lalu pendekatan parti diubah tanpa menukar dasar Islamnya.  Kesempatan-kesempatan yang ada dalam isu semasa dimanfaatkan untuk membina imej parti di mata umum.  Apabila rakyat resah dengan dasar politik Barisan Nasional (BN), maka Pas mengambil peluang untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang sebelumnya sangat curiga  dengan kecenderungan Pas.  Akhirnya DAP yang asalnya sangat curiga dengan pas telah dapat menerima pendekatan Pas.

Hari ini Pas telah menerima kewujudan bukan Islam dalam organisasi parti apabila diwujudkan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang diberi hak bersuara dalam muktamarnya.  Daripada parti yang dikatakan akan menyunatkan semua lelaki bukan Islam, puluhan ribu bukan Islam sedang bernaung dalam DHPP.  Apa ertinya? Ya, masyarakat bukan Islam telah bebas daripada tembok pemisah dengan  Pas.  Keadaan ini memungkin pada masa akan datang ahli DHPP akan bertanding mewakili Pas dalam pilihan raya. Bukan sahaja itu, malah ahli-ahli DHPP terutama yang kelak menjadi Yang Berhormat akan bermatian-matian mempertahankan dasar Islam yang dibawa olah Pas.

Isu kalimah Allah untuk diguna oleh orang bukan Islam juga menjelaskan Pas lebih terbuka terhadap bukan Islam berbanding Umno.  Hal ini bukan isu politik untuk menambah sokongan bukan Islam terhadap Pas, tetapi memang itulah yang diizinkan Allah dalam al-Quran.  Pahit kepada semua ahli Umno dan sebilangan pemimpin Pas sendiri, tetapi pihak ulama dan Presiden Pas yang konsisten mempertahankan Islam membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah menyebabkan jurang pemisah antara bukan Islam dan Pas kian lebur.

Hubungan Pas dan bukan Islam yang rapat ini mungkin boleh dilihat dari sudut lain juga.  Eloklah antara pemikir dan pakar strategi dalam Pas mempunyai sikap kritikal supaya isu dan fenomena DHPP dapat diurus dengan baik.  Selalunya umat Islam akan mengambil kira juga suara dan kepentingan bukan Islam apabila dasar-dasar Islam hendak dilaksanakan sepenuhnya.  Sebagai contoh, di Kelantan yang peratusan bukan Islam sangat rendah berbanding umat Islam, kerajaan negeri yang diketuai oleh Pas mudah sahaja membatalkan lesen judi.  Tidak ada kelab malam atau rumah urut.  Tidak boleh meminum arak secara terbuka,  walaupun bukan Islam dibenarkan menjual dan membelinya.  Keadaan di Kelantan tidak berlaku lagi di Kedah yang masih mengekalkan kedai judi dan penjualan arak secara terbuka.  Faktornya ialah di Kedah, kuasa dan pengaruh Pas tidak sebesar di Kelantan. Kuasa dan pengaruh Pas yang tidak dipegang Pas itu dipegang oleh bukan Islam dan BN. 

Dengan puluhan ribu ahli DHPP dan akan bertambah banyak lagi, diharap tidak akan menjadi satu tekanan dalam Pas untuk mengubah pendekatan Pas.  Erti kata lain, jika ahli DHPP begitu besar, adakah pendekatan Pas akan seperti pentadbiran di Kedah atau berjaya seperti di Kelantan juga?

Cabaran kepada Pas juga ialah kewujudannya dalam Pakatan Rakyat (PR), satu entiti politik yang tidak berteraskan Islam atau bangsa Melayu.  Jika dalam BN telah jelas Umno (Melayu-Islam) sebagai parti dominan, dengan parti-parti lain akur (tentu dengan tawaran-tawaran tertentu), PR sangat fleksibel dan parti yang dominan ialah parti yang paling banyak mempunyai kerusi di Parlimen.  Keadaan ini memungkinkan sahaja DAP (hampir 100 peratus bukan Islam) dan PKR (dikatakan bukan Islamnya dikatakan hampir 45 peratus) menguasai PR. Jika pengaruh DAP dan PKR lebih besar berbanding Pas, ini akan menjadikan dasar Islam yang dibawa Pas dipinggirkan.  Keajaibannya ialah jika dalam pilihan raya masa-masa akan datang,  Pas mempunyai kerusi terbanyak dalam PR yang membolehkan dasar Islam dalam Pas dimajukan dengan gagah.  Walaupun dalam politik boleh berlaku perubahan tanpa diduga, tetapi dalam kes Malaysia perubahan dalam politik selalunya mengambil masa yang panjang.  Dalam masa yang penjang itu banyak keadaan boleh berlaku.

Rabu, Jun 09, 2010

MELAYU Islam jatuh lubang saja!

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:
Dari Nabi saw. baginda bersabda (ertinya): Seorang mukmin tidak boleh dua kali jatuh dalam lubang yang sama. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Secara mudah hadis ini meminta umat Islam sentiasa menekuni sejarah! Orang pandai ada berkata, sejarah adalah guru yang mahal. Sejarah adalah pengalaman yang membawa kenangan dan iktibar. Perhatikan, nabi menyatakan tidak boleh jatuh kali kedua dalam lubang yang sama. Ertinya dahulu ada antara umat yang terjeblos, tersandung, tersungkur, terkena musibah, tertipu dan apa lagi pengalaman buruk. Pengalaman buruk itulah ‘lubang’. Kalau lubang itu bukan pengalaman buruk, Rasulullah tak akan menyatakan jangan jatuh dalam lubang itu lagi.

Hadis ini pun ngetop dalam pengajian di madrasah dan masjis-masjid. Oleh itu, orang-orang agama agaknya sangat berhati-hati agar tidak terjeblos dalam pengalaman buruk yang dahulu. Maka setiap orang, kaum, bangsa atau masyarakat kena mengingat semula sejarah termasuk dalam lubang yang mengerikan. Bangsa Melayu sekarang setelah merdeka lebih separuh abad, pernah atau tidak terjeblos dalam lubang? Ada. Bacalah sejarah bangsa sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400) sampai tahun 2010!

Kehilangan hak, maruah dan kuasa bagi bangsa Melayu dalam sejarahnya adalah terjeblos dalam lubang, iaitu antara maksud lubang yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah. Kejatuhan Melaka (1511) sebagai pusat pemerintahan Islam, itulah contoh jatuh dalam lubang. Kedah kehilangan Pulau Pinang (1786) kepada penjajah British, itu pun erti terjeblos dalam lubang. Kehilangan hak ke atas Singapura (1819) oleh Kesultanan Johor, itu juga maksud terjeblos dalam lubang. Dari sini saja sudah tiga kali bangsa Melayu Islam ini masuk lubang yang sama, lebih sekali daripada yang disebut nabi.


Ada contoh yang afdal dipaparkan untuk dinilai kesamaan peristiwanya. Jatuhnya kuasa Melayu Islam di Perak melalui Perjanjian Pangkor (1874) betul-betul sama seperti kejatuhan Singapura kepada British (1819). Kematian Sultan Johor telah menyebabkan pertelingkahan antara dua anak raja berebut takhta. Tengku Hussein yang mahukan kuasa juga dengan rela menjual Singapura kepada British. Habislah keagungan Kesultanan Johor Riau warisan Kesultanan Melayu Melaka. Di Perak, Raja Abdullah bertelingkah dengan Raja Ismail untuk berkuasa. Raja Abdullah seperti menyembah British untuk menjadi Sultan Perak. Dari situ bermulanya kehabisan semua kuasa Raja-raja Melayu Islam kepada British. Itu contoh jatuhnya di lubang British tahun 1819 di Johor, kemudian jatuh lagi di lubang British tahun 1874 di Perak!


Sebenarnya sebelum kejatuhan kuasa pemerintahan Melayu di Perak (1874) ada peristiwanya sendiri. Raja Abdullah telah bergabung dengan kongsi gelap Cina, Ghee Hin untuk mengalahkan Raja Ismail. Raja Ismail pula bergabung dengan kongsi gelap Hai San. Maka dua puak politik Melayu masing-masing bergabung dengan kumpulan Cina untuk saling menjatuh antara satu sama lain. Betul, Raja Abdullah yang menang, tetapi dia sendiri akhirnya tercemar menjadi manusia buangan di Pulau Sychelles dekat Afrika sana.


Hari ini puak politik Melayu: Umno dan Pas masing-masing sedang bergabung dengan parti-parti politik Cina untuk saling menjatuhkan antara satu sama lain. Kepuasan kepada Umno ialah jika Pas dan gabungan parti Cinanya dapat dihapuskan. Kepuasan kepada Pas ialah jika Umno dapat dihapuskan bersama gabungan parti Cinanya. Lihat, lubang neraka yang menyebabkan kuasa Melayu di Perak hilang sedang berlaku lagi dalam politik demokrasi moden.


Maka tinggallah sabda Rasulullah sebagai cakap kosong saja. Nafsu untuk berkuasa dan meraih kekayaan menmyebabkan mereka melupakan lubang yang ternganga, yang dahulu pernah menelan mangsanya. Pasti lubang kali ini lebih besar!

Isnin, Jun 07, 2010

MENGAPA 40 orang berjumaat?

PADA tahun 1998, saya dan beberapa rakan pergi ke kampung Talang di Pulau Tioman. Hari kedua di sana ialah Jumaat. Oleh itu, kami ke masjid untuk menunaikan Solat Jumaat. Jemaah dalam memang banyak, hampir penuh. Setelah muazin melaungkan azan dan orang selesai solat sunat, segala-galanya diam. Saya pun rasa mengantuk juga dan beberapa ketika, dibacakan iqamat! Saya pun tertanya-tanya, hendak solat apa? Imam memimpin kami semua solat empat rakaat, solat zuhur!

Tanpa diberitahu oleh mana-mana orang tempatan di masjid, tahulah kami yang masjid itu memang tidak mendiirikan Solat Jumaat sebab tidak cukup kuorum penduduk tetapnya 40 orang! Yang banyak dalam masjid adalah musafir atau pelancong seperti saya. Oleh kerana masjid itu di tepi laut semasa kami keluar dari masjid pun dengan jelas melihat bot-bot kecil bergerak di pantai. Mungkin juga itu ialah pelancong atau orang tempatan yang sedia tahu tidak akan ada Solat Jumaat, maka mereka tak perlu tergesa-gesa naik ke darat!

Dalam akhbar (lihat foto) ada kampung yang orang lelakinya dikenakan ‘perintah berkurung’ pada setiap Jumaat semata-mata untuk mencukupkan kuota atau kuorum 40 orang. Menurut orang di sana, jumlah lelaki akil baligh dan penduduk tetapnya ngam-ngam untuk mendirikan Solat Jumaat, 40 oranglah tu.

Solat Jumaat ini wajib, telah disebut dalam surah al-Jumu’ah ayat 9, dan masanya pun hanya dalam waktu Zuhur hari Jumaat. Nampaknya ada dilema kepada penduduk di pulau berkenaan. Dilemanya ialah jika mahu menunaikan Solat Jumaat maka orang lelakinya tidak boleh keluar daerah pada hari berkenaan.

Selain itu apa? Kalau pemuda pulau berkenaan melanjutkan pelajaran di luar, maka masjidnya tidak boleh mendirikan Solat Jumaat. Jadi kalau nak Solat Jumaat, janganlah belajar di luar. Cukuplah sekolah di kampung itu saja.

Kedua, pemuda pulau itu juga tidak boleh mencari jodoh di luar sebab mungkin dia akan tinggal di luar daerahnya. Hal ini menyebabkan Solat Jumaat di kampungnya tergendala. Kahwin sajalah sama sepupu dalam kampung. Tidak kisahlah sama ada cinta atau tidak!

Demikianlah antara kesan pemahaman kuorum 40 orang untuk mendirikan Solat Jumaat yang kuat difahami oleh masyarakat. Kepada mereka biarlah tidak solat Jumaat dan membuat solat Zuhur saja kerana masalah kuorum. Kerana itu, mereka tidak ada ‘muktamar’ mingguan, tidak ada perjumpaan dan kemesraan wajib mingguan pada setiap Jumaat. Kalau kawasan yang ada 500 lelaki pun solat maghribnya hanya sekitar 15 orang, maka boleh percayakah kawasan berpenduduk lelakinya hanya 40 dapat didirikan juga maghrib berjemaah lebih 10 orang? Belum pasti solat jemaah waktu lain terjaga. Subuh, teruskanlah mimpi….

Adakah al-Quran dan as-Sunnah dmenetapkan 40 orang baru sah didirikan Solat Jumaat? Prof. Dr TM Hasbi Ash Shiddieqy (1950) dalam buku Pedoman Solat memetik kata-kata Imam Besar al-Hafiz Al-Asybily seperti ini: Tidak ada hadis yang sahih yang menentukan bilangan jamaah Solat Jumaat.

Terdapat hadis menceritakan hal Sahabat Nabi di Madinah seperti berikut.`
Abdul Rahman bin Kaab bin Malik menceritakan: “bahawa ayahnya (iaitu Kaab bin Malik) selalu membaca rahmatul Lahi ala Sa’din ibn Zarrah setiap kali mendengar azan hari Jumaat. Maka aku bertanya ayahku mengenai ucapannya itu. Ayahku menjawab bahawa dialah (iaitu Sa’din bin Zarrah) merupakan orang yang mula-mula mendirikan Solat Jumaat di tempat bernama Naqi’ul Khasmat, dalam desa Bani Bayadlah. Aku bertanya pula: Berapa banyaknya orang yang hadir melaksanakan Solat Jumaat itu? Ayahku menjawab: 40 orang.

Dalam hadis sahabat ini pun tidak ditegaskan wajibnya 40 orang, hanya apabila dikira cukup 40 orang, iaitu kebetulan 40 orang! Dengan hanya kebetulan atau tidak disengajakan itulah hukum dipegang berzaman-zaman sehingga apabila syarat itu tidak ditemui susah pula jadinya.

Jika diteliti dalam mazhab Syafie, azan pada hari Jumaat itu pun sebenarnya hanya sekali, tetapi ulama kita tidak mengikutnya dan memilih dua kali azan. Dalam bab pembayaran zakat fitrah pula mazhab Syafie menetapkan mestilah dengan beras. Namun ulama kita boleh memutuskan bayar zakat fitrah dengan duit menggantikan beras kerana mengikut perubahan zaman. Entah mengapa ulama kita belum dapat berfikir dan mengubah pandangan wajib 40 orang berjumaat yang diasas daripada peristiwa secara kebetulan atau hal yang tidak disengajakan.

Khamis, Jun 03, 2010

PENCERAMAH perlu jujur

DALAM satu siaran di radio Klasik Nasional baru-baru ini ada ceramah mengenai zikir kepada Allah dan kepentingannya. Penceramah memang dapat menyampaikannya dengan bagus sekali. Sebelum slotnya berakhir penceramah dengan tiba-tiba memberi satu kesimpulan yang membuat saya melongo!

Antara kata-kata penceramah itu ialah bahawa kini wujud golongan yang mengatakan berzikir selepas solat adalah bid’ah. Menurutnya golongan yang berusaha mengatakan berzikir sebagai bid’ah sebenarnya bertopengkan agama untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam kerana telah jelas kepentingan berzikir.

Ahh, rupanya ini bukan ceramah agama, tapi propaganda bertopengkan agama. Propagandanya ialah menanam maklumat salah kemudian membenci satu golongan yang beliau tidak sukainya. Saya katakan propaganda kerana jelas beliau tidak jujur dan sengaja menyembunyikan informasi yang selama ini difahami secara terbuka.
Di manakah ada individu atau satu kumpulan beragama yang mengatakan tiada zikir sebagai anjuran beragama? Zikir telah masyhur sebagai sunah dan sabit dalam hadis-hadis sahih yang baginda Rasullullah berzikir setelah solat. Di mana-mana juga kaum muslimin apabila habis solat pasti akan duduk seketika untuk berzikir dengan membaca tasbih atau ayat-ayat quran tertentu. Tidak ditemui lagi ada kumpulan yang mendirikan solat berjemaah, sehabis memberi salam tanda menamatkan solat, lantas semua yang bersolat tadi terus beredar. Tidak ada!

Mungkin penceramah bermaksud golongan yang tidak menguatkan zikirnya selepas solat sebagai pihak yang tidak berzikir. Mungkin kumpulan inilah yang dituduh sebagai membawa ajaran berzikir sebagai satu kesesatan atau bid’ah! Jika itulah maksudnya, alangkah salahnya dia. Sebab itu saya katakan ceramahnya satu propaganda bertopeng agama.

Beliau mungkin berbeza pendapat dengan mereka yang berzikir secara perlahan tetapi sebagai orang agama wajiblah memberi maklumat sebenar mengenai pemahaman mereka yang tidak mahu berzikir secara kuat dan beramai-ramai. Tidak selayaknya ulama membuat propaganda, memburukkan mereka yang tidak disetujui dengan menyeret satu kesimpulan yang salah.

Suatu yang difahami, ada kumpulan yang tidak mahu berzikir dengan kuat ditambah berirama tertentu kerana tidak menemui contoh dalam sunah Rasulullah. Mereka meneliti perjalanan ibadah nabi dan kaum salaf serta membukukan contoh-contoh zikir yang sahih daripada baginda Rasulullah. Lihat foto buku-buku kecil berkenaan. Mereka mencintai zikir dan tidak pernah mengatakan tiada ibadah zikir atau berzikir itu adalah bid’ah.

Apa yang terjadi adalah sebagian contoh tidak jujurnya segelintir penceramah dalam menyampaikan maklumat kepada khalayak muslim. Individu ini sengaja memaksa khalayak berpihak kepada pendiriannya tanpa diberikan ilmu yang secukupnya. Jika beliau jujur, tentu diberikan pendapat yang menjadi pegangan kumpulan yang tidak mahu menguatkan zikir sambil dia masih berpihak kepada kebiasaan orang berzikir yang berlagu itu.

Selasa, Jun 01, 2010

BOLEHKAH khilaf dalam akidah?

Soalan:
Apakah ada khilaf dalam soal akidah? dan adakah ia diiktiraf sebagai satu pebezaan pendapat yg dibenarkan menurut syara'?

jawaban al-ahkam.net
Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan ini dengan kadar kemampuan yang ada, Insya Allah.
Prinsip aqidah adalah - الأصل في العقيدة التوقف حتى يأتي الدليل / “Asal perkara Aqidah adalah terhenti, sehinggalah didatangkan dalil”. Dengan erti kata, persoalan aqidah ini tidak boleh ditokok tambah, melainkan didatangi dalil yang menjelaskannya.
Apakah dibolehkan wujud “khilaf” didalam aqidah? Jawapannya : Tidak boleh! Khilaf Aqidah secara bahasanya bermaksud “The disagreement of the belief”
(خلاف العقيدة) atau perbezaan didalam kepercayaan. Istilah ini digunakan bagi membezakan Aqidah Islam dengan agama-agama lain. Misalnya, ada mazhab agama Kristian mempercayaai Tuhan itu Esa, akan tetapi menafikan kenabian Muhammad . Ini dinamakan khilaf didalam Aqidah.
Contoh khliaf aqidah yang lain seperti konsep Taqiyah didalam Syiah Rafidah. Syiekh Atiyah Saqr rh memetik tulisan Pengerusi Sunni Pakistan, 1935, Mohammed Abdel-Sattar Altonsoi bahawa:
التقية : وهى إظهار خلاف العقيدة الباطنة ، لدفع السوء عنهم
"Taqiyah: adalah menunjukkan perselisihan aqidah dalaman, untuk menolak keburukan jauh dari mereka."
Apa yang wujud persoalan aqidah dalam agama Islam ialah, perbezaan method mempelajari Aqidah, sebagaimana pegangan Salaf dan Khalaf. Perselisihan ini timbul berkaitan dengan permasalah mentakwil sifat Allah swt. Ini berpunca dari pemahaman terdapat Bahasa Arab dan memahami nas-nas al-Quran dan Hadith.
Jumhur mengatakan bahawa perselisihan ini tidak membawa kepada kesesatan jika didasarkan dengan dalil dan bukan logik dan takwilan yang melampau-lampau.