TERDAPAT satu hadis yang menarik untuk dijadikan
pedoman beribadah. Hadis ini berkaitan
dengan amalan pada hari Jumaat. Baginda
Nabi s.a.w. melarang dilakukan solat khas berkenaan malam Jumaat sebab baginda
sendiri tidak melakukan demikian.
Daripada Abi Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w.,
baginda bersabda: “Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat
yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari
Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain kecuali ia dalam
(bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa.” (HR Muslim, no
1144, bab tegahan berpuasa pada hari Jumaat)
Solat yang dilarang oleh Nabi s.a.w. bukanlah
disebabkan tatacara atau lafaz-lafaz yang berbeda daripada solat fardu biasa.
Tidak! Solat, sebagaimana yang telah
Nabi ajarkan untuk solat fardu dan sunat. Namun apabila solat berkenaan
dilakukan secara khusus sedangkan Baginda Nabi s.a.w. tidak pun menunjukkan
dibuat khas pada malam Jumaat, maka itu menjadi kesalahan.
Setiap amalan itu dengan niat. Kalau seseorang memang sudah biasa melakukan
solat malam, namun pada malam Jumaat itu dia menukar niatnya dengan solat sempena
malam Jumaat, itu pun termasuk mengkhususkan solat untuk malam Jumaat. Dan itu
dilarang.
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn
al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bahawa
sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya
bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju
kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya.
Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau
kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah
perkara yang ditujuinya itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Larangan Nabi bertepatan dengan hadis baginda yang
lain iaitu, “Sesiapa yang melakukan amal ibadah yang bukan daripada
suruhan kami, maka ia tertolak.” (Riwayat Muslim)
Ini bermakna, solat, puasa atau apa juga bentuk
zikir yang memang jelas tidak ada dalam petunjuk atau sunah Nabi, maka sebaik
atau sejujur mana sekalipun amal itu dilakukan, tertolak. Tertolak bererti tidak ada nilai di sisi
Allah dan rasul-Nya.
Bagaimana jika ada yang berhujah, ‘solat atau puasa
itu amalan baik’. Soalan ini dapat dijawab
dengan menjelaskan bahawa Nabi juga tahu bahawa solat dan puasa yang ditegah
untuk hari Jumaat (yang tidak dalam petunjuk sunah) adalah baik mengikut ukuran
akal manusia muslim. Namun hujah ‘baik’
itu tidak dapat diterima sebagai satu amal ibadah disebabkan tidak menuruti
amalan nabi s.a.w.