Pengikut

Rabu, Disember 30, 2015

BAWALAH kerusi roda untuk berumrah


TAKDIR dan dalam jadual Tuhan. Sejak ayah dan ibu menunaikan haji 14 tahun yang lalu dengan faktor usia mereka, tidak terfikir bahawa saya akan membawa mereka ke dua tanah haram. Namun takdir Tuhan menentukan saya membawa mereka melakukan umrah pada 13-24 Disember 2015. Terima kasih kepada Haji Hisyam selaku amir umrah yang meladeni kami sekeluarga dengan baik sekali.

Ayah masih mampu berjalan tetapi tidak upaya bergerak jauh.  Pilihan yang ada membawa sebuah kerusi roda untuk kegunaan sepanjang kembara umrah ini.  Ayah telah berusia 80 tahun dan sebagai warga desa tentulah fisikalnya tampak kepayahannya bergerak sebagaimana orang dewasa atau muda. Ibu telah 73 tahun dan masih mampu berjalan bersama saya.

Catatan ini sebagai perkongsian kepada pembaca yang mungkin punya persamaan: membawa dua orang tua yang agak uzur.  Jika seseorang masih mampu berjalan tetapi tidak upaya bertahan lama, bagus membawa sebuah kerusi roda dari tanah air.  Sesampai di kaunter pengesahan tiket, saya khabarkan kepada pihak pengurusan di sana keperluan sebuah kerusi roda untuk ayah. Pihak lapangan terbang menyediakan sebuah kerusi roda khas bersama seorang pengiring. Pengiring membawa ayah dengan ‘boarding pass’ melepasi semua urusan sehingga pintu masuk pesawat. Saya terus mengiringi ayah yang dibawa khas.  Sementara itu kerusi roda yang dibawa dimasukkan bersama bagasi lain.

Setibanya di Dubai, pihak lapangan terbang di sana telah mendapat maklumat berkenaan ayah saya. Di pintu pesawat sudah tersedia kerusi roda untuk ayah. Saya dan ibu mengikuti sahaja pengiring ayah membawa kami melepasi urusan emigresen di Dubai.  Begitu juga tatkala di Jeddah, semua tersusun baik. Tidak ada masalah ketiadaan kerusi roda di semua lapangan terbang. Keadaan ini sama ketika pulang ke tanah air.

Sama ada di Madinah atau Makkah, tidak ada masalah membawa sebuah kerusi roda melewati jalan atau lorong sehingga memasuki masjid. Saya menolak kerusi roda ke mana kawasan masjid yang dikehendaki oleh ayah.  Saat melewati Babus Salam di Masjid Nabawi pun, semua pihak memberi hormat dan kerjasama terhadap ayah di atas kerusi roda.

Malah, dengan kedudukan ayah berkerusi roda, saya bersamanya berpeluang mudah memasuki Raudhah di Masjid Nabawi sebanyak tiga kali dalam tempoh empat hari di Madinah!

Sewaktu di tanah air, terfikir di manakah mahu diletakkan keruso roda tatkala ayah shalat? Ternyata, ada ruang-ruang yang tidak menjadi tempat shalat jamaah seperti di bucu tempat, tepi rak kasut atau tepi dinding.  Saya tidak mengunci kerusi roda. Tidak ada jemaah atau petugas masjid yang mengalihkannya ke tempat lain.  Sungguh indah layanan semua di sana, Masjid Nabawi dan Masjidil Haram Makkah.


Keputusan membawa kerusi roda dari tanah air,(sekalipun bisa menyewa di sana…), adalah tepat.

Sabtu, Disember 12, 2015

MAHU ziarah ke dua Tanah Haram



INSYA Allah, saya akan membawa ibu dan ayah ke dua Tanah Haram, dalam rangka beribadah kepada Allah. Semoga Allah memberi kekuatan dan kemudahan kepada kami.  Ayah semakin renta dengan usia melebihi 80 tahun sementara ibu lebih 70 tahun.  Kami akan keluar dari tanah air pada tangal 13 Disember dan dijangka kembali semula pada 24 Disember nanti.

Kembara ini adalah sunnah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. bermaksud,  “Janganlah mengadakan ziarah kecuali ke tiga masjid, yakni Masjidil Haram, masjid saya ini, dan Masjidil Aqsha.” (HR. al-Bukhari dan  Muslim)

Kami akan ke Madinah dan Makkah. Keutamaan adalah beribadah di kedua-dua masjid. Di Madinah kedapatan makan Kanjeng Nabi s.a.w.  Kami akan menziarah dan berselawat kepada Kanjeng Nabi s.a.w., tidak melebihi daripada yan kami ketahui dan fahami.  Meski seorang guru berpesan supaya berkata-kata kepada  Kanjeng Nabi s.a.w., saya tidak menemukan kekuatan dalil bahawa itu satu keperluan dalam menziarahi makam Kanjeng.  Telah banyak dikhabarkan dalam Kitabullah bahwa Kanjeng Nabi s.a.w. adalah manusia biasa, cuma dipilih sebagai Rasul demi mengemban dkawah kepada umat. Allah membekali mukjizat pada saat hidupnya.

Apabila Kanjeng Nabi s.a.w. wafat, putuslah sudah hubungannya dengan apa yang ada di muka bumi sebagaimana kita juga.

Maksud  firman Allah dalam al-Quran, “Katakankah (Muhammad), ‘Aku tidak kuasa menolak madharat maupun mendatangkan kebaikan kepadamu.’ Katakanlah (Muhammad), ‘Sesungguhnya tidak ada sesuatupun yang dapat melindungiku dari (adzab) Allah dan aku tidak akan memperoleh tempat berlindung selain-Nya.” ( Al-Jin: 21-22)

Cerita Kanjeng Nabi s.a.w. bisa mengkonsultansi permohonan kita terhadap Allah, tidak ada sumber jelasnya.  Meminta penziarah berkata-kata terhadap jasad Kanjeng Nabi s.a.w., tidak diketahui siapa yang memulakannya. Pastinya para sahabat yang paling hebat tidak memberi contoh begitu.


Mulia beragama dengan sunah atau manhaj salafus saleh. Insya Allah.

Ahad, Disember 06, 2015

PEMIKIRAN Dr Faisal Othman boleh diterima sekarang

TAHUN 1989 hingga 1992 nama penulis  Dr  Faisal Othman memang popular sebagai penulis di akhbar Utusan Malaysia. Tahun-tahun berkenaan sebagian daripada zaman pergolakan sengit politik Melayu yang ditunjangi Umno dan Pas. Semenjak Pas di bawah kepemimpinan ulama, perjuangan parti Islam itu ialah melaksanakan undang-undang syariah atau popularnya: Hudud.

Dr Faisal Othman sebagai pensyarah UKM waktu itu memberikan ‘kuliah’ pemkiran Islam dari sudut lain, yang sebenarnya sebagai jawaban kepada semua yang diwarwarkan oleh Pas.  Tulisan-tulisan beliau dalam Utusan Malaysia sebenarnya telah dibukukan dan diterbitkan oleh Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd, di bawah tajuk ISLAM DAN PERKEMBANGAN MASYARAKAT, tahun 1997.

Pada zaman penulisan di koran itu, Dr Faisal Othman sering didakw sebagai anak orientalis Barat atau pendukung sekular Barat oleh penyokong-penyokong Hudud.  Namun saya yakin jika tulisan-tulisan beliau dimasukkan semula dalam koran harian, pandangan masyarakat sebelah Pas atau NGO Islam tidaklah seperti dahulu.

Apa yang ditulis Oleh Dr Faisal Othman sebenarnya adaptasi Islam dalam dunia masyarakat majmuk dan kontemporeri.  Beliau menjawab bahawa apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan Malaysia bukan suatu yang terpisah daripada pemahaman ilmuan-ilmuan Islam silam dan semasa.

Antara tajuk rencana yang sudah dibukukan itu:
Islam dan Perkembangan Masyarakat
Permasalahan Akal dan Ijtihad dalam Syariah Islam
Dinamika Ijtihad
Ijtihad Masa Kini dan Akan Datang
Umat Islam Meninggalkan Amalan Ijtihad yang Positif
Permasalahan Islam dan Pemodenan
Umat Islam Tidak Dalam Menghadapi Perubahan Dunia
Masalah pemahaman dan Pelaksanaan Sunah
Asas Perubahan Hukum Dalam Islam
Panduan Asas Bagi Aplikasi Perubahan Hukum
Pengajaran Daripada Perkembangan dan Normatif Islam
Perubahan Nilai yang Diiktiraf oleh Islam
Perubahan Pentafsiran Ayat yang Membawa Perubahan Hukum


Zaman telah berubah, budaya dan pemikiran juga berubah. Penerimaan masyarakat terhadap sesuatu hal juga berubah.

Sabtu, Disember 05, 2015

KENDURI Arwah: Satu terapi hadapi kematian


SETELAH didedahkan dalil al Quran dan Sunah serta kalam ulama besar bahawa amalan kenduri arwah masyarakat Nusantara itu bukanlah ajaran Islam, mengapakan para pengamalnya masih tidak mahu menghentikannya?

Walaupun kenduri arwah itu merupakan adat kematian, namun sebagian orang agama memahaminya sebagai ibadah sunat, malah ada yang yakin kenduri sebegitu merupakan sunah Nabi. Oleh kerna amalan itu sudah sebati diaktifkan oleh orang-orang agama, mereka pun percaya bahawa Nabi s.a.w. dan para sahabatnya juga melakukan kenduri-kenduri arwah, sama dengan apa yang dilakukan oleh masyarakat di sini.  Inna lillahi wa inna ilaihi ra ji’uun.

Kepada masyarakat Nusantara, kematian adalah perpisahan abadi.  Oleh itu rasa sedih perlukan satu terapi untuk dihilangkan.  Pemikiran mereka menanggapi kematian seseorang sebagai permulaan satu kembara jauh, yang sentiasa diperhatikan atau dikenang pemergiannya.  Orang yang pergi mesti diberikan bekalan. Maka itu orang-orang yang hidup mengadakan majlis tahlil atau kenduri arwah.  Kebiasaannya dimulai hari-hari awal kematian seperti setiap malam hingga malam ketujuh, malam ke-40, malam ke-100, malam ke-1000 dan seterusnya pada malam-malam tertentu khamis malam Jumaat.  Keadaan ini sudah menjadi adat, darah daging sejak masyarakat beragama Hindu-Buddha. Apabila mereka menganut Islam, mentera bahasa sanskrit yang dilafaz ketika mengingati si mati diganti dengan ayat-ayat al-Quran terpilih.  Dengan amalan ini berterusan, orang-orang yang ditinggal si mati akan tenang jiwanya kerna yakin perjalanan si mati di alam barzakh menjadi mudah.

Walaupun ustaz dan kiyai-kiyai mempertahankan kenduri arwah itu bukan kewajiban dalam agama, tetapi tidak ada orang miskin atau daif dibiarkan memilih tidak melakukan kenduri arwah terutama sebaik saja berlaku kematian.  Kata mudahnya, kenduri arwah satu kewajiban dalam adat kematian.  Maka ditubuhkan khairat kematian sebagai satu cara mengatasi masalah kewangan keluarga menghadapi kematian.  Wang bantuan khairat kematian, selain untuk urusan penguburan jenazah, juga adalah kos melaksanakan kenduri arwah sekurang-kurangnya tiga malam berturut-turut.

Apakah para pengamal kenduri arwah merupakan pencinta sunah nabi yang tegar? Jawabnya tidak!  Sebagian mereka tidak perduli amalan sunah shalat berjamaah di masjid, namun tidak bisa melepaskan hadir kenduri arwah. Ada yang hadir dari jauh atas alasan hubungan kekeluargaan, atau bimbang dikata tidak bersosial dengan masyarakat.  Kata mudahnya, sebagian besar melakukan hanya kerna masyarakat, bukan sebagai ibadah kepada Allah.

Apabila orang-orang yang berilmu agama dan mendominasi masjid mengatakan kenduri arwah sebagai amalan sunah, itu sangat mendukacitakan.  Apabila sebagian ustaz yang cuba menyedarkan masyarakat mengenai kedudukan kenduri arwah sebagai adat, iaitu bukan ibadah… pihak berkuasa agama membela kenduri arwah dengan fatwa ‘bahawa sesuatu amalan turun-temurun yang dilakukan oleh para ulama tidak boleh dikategorikan sebagabai bid’ah’.  Untuk rekod, maksud bid’ah ialah satu rekaan ibadah yang konsepnya menyamai ibadah sebenar bertujuan untuk menjadikan seseorang pengamal bid’ah lebih mendekatkan diri kepada Allah.


Allahu aklam