ADA sesetengah pihak tidak dapat membedakan antara kaedah belajar akidah dengan akidah itu sendiri. Analogi lain ialah, belajar matematik dengan matematik adalah dua perkara yang berbeda. Oleh kerana pihak itu menyamakan kaedah atau cara-cara belajar akidah dengan akidah Islam, maka sesiapa yang belajar akidah dengan cara lain daripada yang mereka pelajari hukumnya sesat!
Sewaktu wahyu masih turun sejak zaman Makkah dan ke Madinah tidak ada kaedah yang hari ini disebut Sifat 20 dan Tauhid Tiga Serangkai. Sifat 20 merujuk kaedah mengenal sifat Allah yang diperkenalkan oleh Imam al-Asy’ari sebanyak 13 sifat Allah dan ditambah tujuh sifat lagi kemudiannya oleh Imam Maturidi. Setelah itu popularlah dengan gelaran Sifat 20. Segolongan lagi kaum muslimin mengenal akidah melalui Tauhid Tiga Serangkai iaitu Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Asma wa Syifat. Kedua-dua kaedah itu merupakan alat atau cara-cara seseorang muslim mempelajari akidah. Kedua-duanya adalah cara mempelajari akidah, bukannya akidah!
Di sekolah-sekolah pondok, mereka menggunakan Sifat 20 dan pengaruhnya sangat besar. Tanyalah orang-orang agama yang mengajar di masjid dan surau mengenai cara belajar akidah, jawabnya Sifat 20. Namun begitu di universiti atau pusat pengajian tinggi dan sekolah-sekolah seluruh negara, kaedah yang digunakan untuk mempelajari akidah ialah Tauhid Tiga Serangkai.
Perkara yang tidak sepatutnya berlaku ialah ada pihak yang mendukung Sifat 20 sudah mengeluarkan dakwaan bahawa Tauhid Rububiyah adalah palsu dan satu kesesatan beragama. Dalam Tauhid Tiga Serangkai, yang dinamakan Rububiyah adalah penerimaan semua manusia terhadap Allah sebagai Tuhan yang mencipta, menghidup dan mematikan semua di dunia ini. Ini bermakna, mereka yang menyembah berhala atau bukan Islam dimaklumi sebagai menerima Allah sebagai Tuhan yang maha berkuasa dalam segala-galanya. Penjelasan inilah yang didakwa sebagai ‘kesesatan’ kerana bagi pihak penuduh, ‘tidak mungkin orang yang menyembah berhala disamakan dengan muslim yang hanya menyembah Allah’.
Apabila berlaku perselisihan begini eloklah dikembalikan kepada al-Quran dan sunnah. Asas semua manusia mengenal dan mengakui bahawa Allah sebagai Tuhan mereka sudah sangat jelas dalam al-Quran surah al-A’raf ayat 172 (maksud): “Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman) ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ Mereka menjawab, Betul (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi’. (Kami lakukan demikian itu) agar pada hari Kiamat kamu tidak mengatakan, ‘sesungguhnya ketika itu kami lalai terhadap hal ini.”
Al-A’raf ayat 173 (maksudnya) “Atau agar kamu tidak mengatakan, ‘sesungguhnya nenek-moyang kami telah mempersekutukan Tuhan sejak dahulu, sedangkan kami adalah keturunan yang (datang) setelah mereka. Maka apakah Engkau akan membinasakan kami kerana perbuatan orang-orang (dahulu) yanga sesat?”
Dengan adanya perjanjian antara roh dengan Allah mengenai kesaksian atau penerimaan bahawa Allah sebagai Tuhan, maka dalam dunia ini semua manusia mempunyai kepercayaan beragama. Beragama kepada manusia zaman bila dan di mana pun adalah keperluan manusia mengakui adanya Tuhan yang maha berkuasa. Inilah yang dinamakan fitrah manusia mengenal dan memerlukan Tuhan dalam kehidupan. Fitrah ini ada pada semua manusia, sebab itu manusia yang tinggal di pedalaman (dianggap putus hubungan dengan dunia luar), mereka tetap mempunyai satu kepercayaan mengenai Tuhan.
Fitrah ketuhanan ini ada pada setiap manusia, sama juga fitrah manusia yang memerlukan makanan dan hidup berpasangan. Pada zaman bila dan di mana pun manusia berada, mereka tetap memerlukan makanan dan pasangan hidup untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia. Jika begitu fitrah ketuhanan, mengapa mereka masih menyembah berhala atau perkara lain yang dianggap sebagai Tuhan? Jawabannya, ‘itulah peranan syaitan yang menyesatkan manusia’. Antara yang tercatat dalam al-Quran mengenai peranan syaitan ialah surah al-Fathir:6 (maksudnya) “Sungguh syaitan itu musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh kerana sesungguhnya syaitan hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang bernyala-nyala.”
Mereka yang menyembah berhala itu digelar kaum musyrikin iaitu ‘menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain’. Hari ini mereka yang menyengutukan Allah jelas kepada pengenut agama Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu dan macam-macam jenama agama. Tidak terkira banyaknya benda yang turut disembah atau hal-hal tidak jelas yang juga dipercayai mempunyai ‘kuasa’ seperti Tuhan. Hakikat asasnya, mereka semua menerima Allah sebagai Tuhan tetapi mempunyai juga benda, barang atau hal lain yang dipercayai sebagai berkuasa seperti Tuhan!
Lantaran mudahnya manusia tergelincir daripada jalan kebenaran maka Allah mengutus nabi dan rasul adalah untuk membimbing manusia menyembah Allah yang sudah ada dalam jiwa mereka. Firman Allah dalam surah al-Anbiya:25 (maksudnya) “Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum engkau (Muhammad), melainkan kami wahyukan kepadanya, ‘bahawa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku, maka sembahlah Aku.”
Kesimpulannya, apa yang dituduh Tauhid Rububiyah sebagai sesat adalah satu kesilapan. Dengan memahami Tuhid Rububiyah ini seseorang pendakwah lebih mudah memahami pihak yang hendak didakwah. Asasnya, semua manusia sudah mempunyai pengetahuan fitrah mengakui Allah sebagai Tuhan. Pendakwah cuma memperjelaskan mengapa kita (manusia) hanya perlu menyembah Allah (Tauhid Uluhiyah), bukan mencari benda atau patung lain untuk disembah juga.