SEORANG ulama muda, pensyarah UPSI dilarang memberi apa juga ceramah agama di Selangor. Ini berita benar. Caranya mudah, pihak berkuasa agama tidak memberinya tauliah atau lesen kebenaran mengajarkan agama. Jika pensyarah muda itu melanggar peraturan ini tentu dia bisa dihadapkan ke mahkamah syariah. Ini telah berlaku kepada Dr Asri Zainul Abidin dahulu.
Bukan disebabkan namanya Dr Muhamad Rozaimi Ramle atau Dr Asri Zainul Abidin, tetapi pendekatan pemahaman atau manhaj memahami agama yang berlawanan dengan yang dipahami oleh para ahli agama di jabatan berkuasa agama negeri. Sementara ada kuasa mengehadkan pemikiran tokoh-tokoh muda, maka dikekang agar tidak merebak kepada penduduk Selangor, khasnya golongan intelektual muda di kota-kota.
Dahulu awal abad ke-20 telah pun berlaku seperti apa yang berlaku hari ini. Waktu tokoh aliran pemikiran Kaum Muda yang membawa pemahaman pembaharuan berdasarkan al-Quran dan hadis disekat menyebarkan idea-ideanya di negeri-negeri yang mempunyai raja. Justeru, tokoh seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Abas Taha dan mereka yang lain hanya bebas beroperasi di negeri-negeri tidak beraja seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. Namun pergerakan Kaum Muda (itulah yang disebut wahabi) dirakam sebagai pejuang kebangsaan, pembina daya intelektual Melayu atau obor pemcerah pada jaman kebekuan orang beragama.
Menyekat pemikiran pembaharuan dalam agama, mengingat contoh tindakan pihak gereja pada jaman kegelapan Eropah dahulu. Pihak gereja menyekat idea atau tokoh seperti Martin Luther daripada berbicara hal agama Kristian. Gereja percaya tindakannya pasti menang, dan pemikiran Martin Luther akan terhapus. Gereja terlupa bahawa saat itu telah dicipta mesin cetak yang bisa diperluas atau diperbanyak kitab Bible dan ajaran reformasi Martin Luther. Nah, akhirnya Lutherisme berkembang sehingga Kristian terbagi dua.
Kembali terhadap sekatan idea tajdid yang dibawa oleh golongan sunah seperti Dr Rozaimi, Dr Asri, Dr Fathul Bari dan banyak lagi tokoh, idea-idea mereka tidak menunjukkan kian kecil sebaliknya terus membiak di mana-mana khasnya golongan muda di institusi pengajian tinggi. Mereka sedang mengembalikan kemurnian beragama sebagaimana masyarakat jaman Salaf memahami agama.
Tidak ada siapa yang bisa mengempang kebenaran beragama. Allah pasti memberi pertolongan kepada pejuang-pejuang yang ikhlas membawa manusia ke jalan benar sebagaimana jalan Rasulullah dahulu. Namun ya, tribulasi itu pasti dirasai sebagaimana Nabi dan para sahabatnya merasainya dahulu.