Pengikut

Selasa, April 29, 2014

HUDUD, rasionalnya wartawan Utusan

SAYA berkongsi pendapat dan pemikiran dengan wartawan Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain yang menulis berkenaan pandangan buruk mengenai hukum hudud. Kepada sebagian aktivis dan penyokong Pas, wartawan Utusan merupakan penulis ‘berjiwa kotor’ dengan akhbar Utusan sendiri digambarkan sebagai penyebar fitnah.  Namun saya yakin tulisan wartawan berkenaan merupakan pemikiran majoriti ahli ilmu dalam negara berkaitan dengan isu hudud.

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
27 April 2014
Adakah hukum hudud itu hanya memotong tangan dan bukan undang-undang yang jauh lebih adil dan perikemanusiaan berbanding undang-undang sivil yang diguna pakai sekarang?

Persoalan ini timbul kerana Pas yang merintis gagasan hukum hudud tidak membentangkan bahawa undang-undang Islam membimbing manusia ke arah kebaikan, menyuburkan kemanusiaan dan keadilan.

Apabila hudud disinonimkan dengan potong tangan, jadi tidak salah kalau golongan bukan Islam merujuk kepada beberapa penyelewengan di luar negara yang melakukan kekejaman di atas nama Islam. Taliban misalnya melakukan kekejaman dan penindasan terhadap wanita atas nama Islam dan merujuk itulah hudud. Ini mesti diperbetulkan.

Saya sangat percaya potong tangan, dirotan 100 kali atau direjam sampai mati adalah persepsi yang ditonjolkan oleh musuh-musuh Islam. Tujuannya supaya hudud dilihat sebagai sistem perundangan yang kejam, tidak bertamadun dan tidak adil. Padahal hudud lebih kepada usaha membanteras daripada menghukum. Ia membentuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat dan melahirkan anggota masyarakat yang berkualiti tinggi. Tetapi sangat malang apabila konotasi negatif yang ditimbulkan seolah-olah apabila negara ini melaksanakan hukum hudud, banyak orang yang akan kudung tangan.

Inilah kerja musuh-musuh Islam dan sekarang usaha mereka telah berjaya apabila Pas sendiri lebih banyak bercakap tentang potong tangan berbanding sekian banyak kebaikan kepada Islam dan bukan Islam di bawah hudud.

Hudud kembali menjadi polemik kitar semula dan modal politik dalam kalangan yang bersetuju atau menentang hukum ini. Hudud mempunyai nilai yang tinggi di pasaran politik untuk memperlihatkan lebih Islam dan kurang Islam. Entah berapa kali polemik ini dipanaskan kemudian sejuk dan dipanaskan lagi hinggalah yang terbaru ini.

Baru-baru ini saya terbaca kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Mohd. Amar Nik Abdullah tentang isu potong tangan. Kenyataan beliau menyebut kerajaan Pas Kelantan merancang menggunakan khidmat pakar bedah untuk memotong tangan penjenayah di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993.

Saya membacanya berulang kali dan semacam tidak percaya kenyataan ini boleh dikeluarkan seorang pemimpin kanan Pas yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan. Maka saya pun tertanya-tanya adakah yang penting kepada Pas dalam hudud hanya potong tangan? Kalau tidak penting kenapa isu potong tangan ditonjolkan? Bukankah hudud ada peringkat demi peringkat hingga tidak ada teraniaya sebelum sampai kepada potong tangan?

Kenyataan Mohd Amar tidak salah tetapi tidak kena dalam suasana di mana banyak pihak masih keliru dengan hudud dan agenda musuh-musuh Islam untuk memperlihatkan Islam dan hudud sebagai tidak bertamadun dan kejam. Mohd Amar seorang ulama tentu faham bahawa untuk sampai kepada hukuman itu, prosesnya bukan mudah.

Proses yang diistilahkan sebagai bukan mudah ini adalah nilai-nilai keadilan yang sangat diutamakan dalam perundangan Islam. Misalnya dalam undang-undang sivil yang diamalkan sekarang, mencuri sebuku coklat di pasar raya hukumannya sama dengan penjenayah kolar putih yang mencuri berjuta-juta ringgit Malaysia.

Sebab itulah ada pihak yang sinikal berkata, kalau hendak mencuri, curilah banyak-banyak kerana sedikit pun hukumannya sama juga. Ini merujuk undang-undang sivil yang tidak semuanya adil. Tetapi ini tidak berlaku dalam hudud.

Seorang ulama yang tidak mahu nama disebut (yang pasti bukan pelawak) memberitahu saya, sekiranya hukum hudud dilaksanakan di negara ini, mungkin tidak ada orang yang dipotong tangannya kerana mencuri.

Saya tanya, adakah tidak ada kecurian? Beliau berkata, jumlah kes mungkin berkurangan tetapi untuk sampai ke peringkat di mana pesalah kes mencuri dipotong tangan adalah sangat kecil malah mungkin tidak ada. Hukuman diganti dengan yang lebih rendah kerana hudud itu adil bukan zalim atau kejam.

"Apa hang pikiaq senang ka nak kerat tangan orang?" katanya dengan loghat utara pekat. Moral ceritanya tahap hukum hudud berperingkat-peringkat yang adil kepada pesalah. Kata ulama ini, kalau membicarakan tentang hudud, tidak usahlah membina persepsi buruk kepada hukum Islam dengan membesar-besarkan konotasi yang membawa maksud kezaliman atau kekejaman. Hudud lebih kepada membanteras berbanding menghukum. Hudud itu keadilan bukan penganiayaan. Penyelewengan ini telah banyak dilakukan di luar negara dan Islam mendapat imej buruk.

Musuh-musuh Islam tidak menonjolkan sisi putih hukum hudud, maka menjadi tanggungjawab golongan bijak pandai Islam untuk menunjukkan hudud satu sistem yang adil. Kalau bijak pandai Islam pun semangkuk dengan musuh-musuh Islam, kita kalah dan mereka akan menang.
Saya sangat setuju dengan pendirian kerajaan yang tidak menolak hudud tetapi tidak dilaksanakan pada masa ini kerana terdapat banyak kekangan. Saya percaya Pas juga setuju dengan pendirian ini kerana kerangka sistem yang tidak mantap akan merencatkan pelaksanaan hudud.

Apabila pelaksanaan hudud terencat dan banyak kelemahan, ketika inilah musuh-musuh Islam menjadikannya alasan untuk mempersenda hudud. Tidak ada gunanya sekadar melaksanakan hudud tetapi terdapat banyak kelemahan yang mengundang persepsi buruk kepada hukum Islam.

Ahad, April 20, 2014

HUDUD: Umno-Pas sudah tidak takut Cina?

BUNYINYA seperti Undang-undang Jenayah Syariah atau Hudud akan dilaksanakan di Kelantan apabila kelihatan Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yaakub bertekad mahu membawanya ke Parlimen.  Sebenarnya seperti Hudud seakan sebulan dua lagi hendak dilaksanakan ialah apabila pihak Umno (baca Pas selama ini menuduh Umno menolak Hudud), bersedia menyokong apa saja usaha melaksanakan Hudud di Kelantan.

Lebih 20 tahun Kanun Jenayah Syariah dijadikan enakmen di  Kelantan, sepatutnya sejak itu Hudud sudah dilaksanakan sedikit demi sedikit. Namun tak berlaku. Hudud hanya menjadi modal menuduh musuh penggubal Hudud sebagai menolak Islam!

Yang mempertikai tidak bersungguh-sungguhnya kerajaan Islam di Kelantan melaksanakan Hudud bukan saja daripada kalangan ‘musuh-musuh politik’nya, malah yang selama ini menjadikan Hudud sebagai modal dia berpolitik pun akhirnya mengakui kerajaan itu sambil lewa. Tanya Datuk Husam Musa sekarang, bukan dahulu sewaktu dia menjadi Exco kanan Kelantan.

Daripada pihak Umno memang Hudud bukan keutamaan. Tanyalah Anwar Ibrahim (baca dialah ‘tokoh’ Islam Umno dulu) sehingga dia menjadi Timbalan Presiden Umno atau Timbalan Perdana Menteri.   Alasan Umno dahulu ialah ‘bukan masanya lagi’ atau ‘tidak sesuai dengan masyarakat majmuk’ atau ‘undang-undang sedia ada sudah utamakan keadilan’.  Kepada Pas semua jawaban Umno itu tepat bukti Umno menolak Hudud atau lebih keras ‘menolak Islam’.  Frasa ayat menolak Islam bukan disebut oleh petani di Kelantan, tetapi mantan MB kerajaan Kelantan Tuan Guru Nik Aziz.



Walaupun sejak dahulu saya antara yang sangat optimis Hudud boleh dilaksanakan oleh Pas, dan Umno akan tercengang dengan kejayaan Pas, namun sekarang saya tidak percaya lagi.  Bukan tidak percaya Hudud sebagai hukum Allah, tetapi tidak percaya  sama ada Pas atau Umno akan melaksanakan undang-undang itu. 

Sistem politik yang ada tidak berubah sejak tahun 1992, tahun Hudud dikanunkan di Kelantan. Saya amat percaya, bukannya orang Melayu dalam Pas atau Umno tidak mahu melaksanakan Hudud, masalah utamanya ialah orang Cina tidak memberi sokongan.  Umno berkata ‘tidak sesuai dengan masyarakat majmuk’ adalah disebabkan sebagian  pengundi BN adalah Cina.  Orang faham Cina  bukan Islam, tetapi yang lebih utama ialah Cina yang memegang ekonomi. Pegang ekonomi bermakna dia beri makan orang lain. Mudah cakap, Melayu yang mahu laksanakan Hudud diberi makan oleh Cina.  Kalau Cina menentang Hudud, mereka tidak mengundi Umno atau Pas.  Ini bukan masalah Umno saja, malah apabila Pas berkawan dengan DAP (baca Pas mahu undi Cina), tidak ada lagi cerita nak buat Hudud. Kalau ada tokoh Pas sebut Hudud hanya sebagai nak labelkan lawannya menolak Islam. Itu saja!

Itulah hemat saya sebab apa Hudud tidak menjadi keutamaan Melayu (Pas atau Umno) melainkan sebagai retorik politik menagih sokongan Melayu-muslim.

Mengapa Umno (bukan Umno Kelantan saja) sekarang menyokong pelaksanaan Hudud di Kelantan oleh Pas? Saya bersangka baiklah sebagaimana hampir 20 tahun bersangka baik Pas akan melaksanakan Hudud dengan jayanya. Eloklah Umno dan Pas bersatu demi Islam. Buktikan sekarang!

Orang pun tahu dalam PRU13, kemenangan BN bukan disumbangkan oleh kaum Cina. Cina dah menjadi penyokong PR-DAP.  Walaupun Cina tidak menyokong BN, namun Umno masih berkuasa dan mengetuai BN. Maka sebab itulah Umno tidak perdulikan Cina-MCA dalam bab Hudud. Pas pula memang sejak berkawan dengan DAP dan PKR buntu menjawab mengenai perjuangan Hudud atau negara Islam. Dalam PRU13 pun Pas sedar pengaruhnya dalam kalangan Melayu merosot, walaupun mendapat undi yang banyak daripada kaum Cina dan India.  Bagi Pas di Kelantan, tanpa undi Cina dan India pun Pas menang juga. Tidak ada sebab Hudud di Kelantan hendak dikorbankan demi Pakatan Rakyat.


Begitulah agaknya perubahan sikap Umno dan Pas sekarang. Daripada ‘apa yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’ baiklah dijaga apa yang sedang dikendongnya.  Maka, saya juga berharap usaha Umno-Pas ini sebagai jalan merobah ke arah struktur politik Melayu-Islam yang bersatu, bukan berbalah dan berpecah sebagaimana sekarang! Pas kena masuk BN, bekerja dengan Umno untuk melaksanakan Islam. Daripada tidak berjaya melaksanakan Islam yang besar sebab berpecah-pecah baik bergabung, dapat 70 peratus pun gagah juga.   Semoga Allah memudahkan kerja Umno dan Pas ini.

Sabtu, April 12, 2014

HARAM beribadah kecuali ada dalil yang memerintahkannya

ADA yang mudah memberikan kaedah penetapan hukum ibadah di sisi Allah iaitu, “Apa yang baik adalah ibadah”.  Selalunya kaedah ini muncul apabila berlaku dialog berkaitan amalan sunah dan bid’ah. Pengamal sunah memperteguh sikap mengenai amalan ibadah yang tidak ada dalam syariat merupakan ‘hal yang diada-adakan atau direka-reka’.  Bagi pihak yang tidak memperdulikan amalan sunah atau bid’ah, memang tidak suka dibahaskan perkara sunah dan bid’ah.  Maka mereka mesti berhujah yang semua amalan ibadah berdasarkan ‘apa yang baik adalah ibadah’.


‘Apa yang baik  adalah ibadah’ pun hujah yang sangat rapuh. Misalnya, mereka menerima semua bacaan dalam setiap rakaat adalah baik dan perkara itu memang ibadah, namun mereka terdiam apabila disaran menambah satu rakaat lagi dalam solat Subuh! 

Kaedah yang betul dalam penetapan ibadah dan hal keduniaan adalah seperti berikut: Hukum  asal bagi semua ibadah adalah haram (dilakukan) kecuali terdapat dalil yang memerintahkannya. Hukum asal bagi hal keduniaan adalah halal (dilakukan) kecuali terdapat dalil yang membataskannya.


Mohd Yaakub Mohd Yunus (2008) dalam buku Bid’ah Hasanah Tokok Tambah Amalan Rasulullah telah mencuplik catatan Imam Ibn Qayyim r.h dalam kitab I’lam al-Muwaqqi’in Jilid 1 (muka surat 344), “Kita sedia maklum tidak ada yang haram melainkan sesuatu yang diharamkan Allah dan rasul-Nya dan tidak ada dosa melainkan apa yang diakui sebagai dosa oleh Allah dan rasul-Nya bagi orang yang melakukannya.

“Begitu juga tidak ada yang wajib melainkan apa yang diwajibkan oleh Allah, tidak ada yang diharamkan melainkan apa yang diharamkan Allah dan tidak ada ibadah kecuali apa yang disyariatkan oleh Allah.  Hukum asal dalam akad dan muamalat adalah harus kecuali jika terdapat dalil yang melarangnya.

“Perbedaan antara kedua-duanya adalah Allah tidak disembah melainkan dengan apa yang disyariatkan-Nya melalui lidah para rasul-Nya.  Ini adalah kerana ibadah adalah hak Allah terhadap hamba-Nya.

Allah paling berhak terhadap urusan ibadah. Dia meredai sesuatu ibadah dan Dia juga yang mensyariatkannya.  Adapun hukum akad, meletakkan syarat dan muamalat adalah diharuskan (melakukannya), kecuali apabila terdapat dalil yang mengharamkannya.”

Perhatikan maksud hadis. Menurut A’isyah r.a. bahawa Rasulullah bersabda, “Jika sesuatu itu termasuk urusan dunia kamu, maka uruslah ia.  Jika ia merupakan urusan agama kamu, maka rujuklah kepadaku.” (Riwayat Ibn Majah)

Menurut Anas bin Mali r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), “Kamu lebih tahu hal ehwal dunia kamu.” (Riwayat Muslim)

Perbuatan mengada-adakan amalan ibadah baru selain yang telah dicontohkan oleh Rasulullah bukan perkara remeh-temeh atau ranting yang hanya dipandang sebelah mata.  Allah memberi amaran keras kepada sesiapa yang membuat syariat baru sebagai ajaran agama.  Lihat maksud ayat 21 surah as-Syura, “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan mana-mana bahagian daripada agama mereka sebarang amalan yang tidak diizinkan Allah?  Jika tidak kerna kalimah ketetapan menjadi pemutus (daripada Allah, iaitu untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa tertentu), tentulah dijatuhkan siksa dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim akan mendapat siksa yang besar.”

Agama Yahudi dan Kristian asalnya daripada ajaran utusan Allah, namun hari ini agama-agama itu sudah tidak tulen kerna (dahulu) terdapat ulama-ulamanya yang membuat (syariat) agama lalu dikatakan amalan itu sebagai ajaran agama Allah.


Jika kalangan ulama Islam tidak mengambil iktibar sejarah agama mereka, maka tidak mustahil Islam akan bercampur aduk antara ajaran (syariat) yang tulen dengan amalan bid’ah yang dikatakan amalan Islam. 

Isnin, April 07, 2014

ASAL agama wajib ikut Allah dan rasul-Nya

DARIPADA buku Soal-Jawab Agama, A Hassan (1950-an)
A Hassan @ Hassan Bandung 

Pertama: Yang dikatakan agama itu, ialah beberapa perintah Allah dan perintah rasul, dan beberapa larangan Allah dan larangan rasul.

Perintah-perintah itu ada dua macam.
Pertama, perintah yang berhubung dengan hal keduniaan.
Kedua, perintah-perintah yang berhubungan dengan hal ibadat.

Perintah-perintah keduniaan itu, mesti kita kerjakan, tetapi cara-caranya tidak mesti sama dengan perbuatan Nabi, seperti perang, umpamanya, Nabi kita lakukan dengan pedang dan panah, maka tidak ada halangan kita kerjakan dengan senapan dan meriam, karena yang diperintah dan yang dimaksudkan itu perangnya bukan caranya.

Adapun perintah-perintah yang berhubungan dengan hal ibadat itu, wajib kita kerjakan menurut sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi s.a.w. tidak boleh lebih, tidak boleh kurang, karena perkara ibadat itu, tak dapat diatur-atur dan difikir-fikir oleh manusia.

Misalnya, dapatkah kita fikirkan dengan jelas, mengapa kita diperintahkan tayamum waktu tidak ada air, dan mengapa diwaktu Shubuh diwajibkan dua rakaat sahaja, sedang Zhuhur empat rakaat, padahal Shubuh waktu yang lebih lapang.

Kedua: Tiap-tiap perkara dunia, pada ashalnya harus, yaitu boleh kita kerjakan, boleh tidak, melainkan yang mana diwajibkan oleh agama, maka wajib kita kerjakan, dan yang mana yang dilarang, tidak boleh kita kerjakan.

Ketiga: Tidak boleh kita berbuat ibadat yang sebenarnya, kalau tidak diperintah oleh agama, serta ditunjukkan oleh Nabi, dimana perlu.

Keempat: Berbuat bid’ah itu terlarang keras di dalam agama karena sabda Nabi s.a.w. (artinya) “Tiap-tiap bid’ah itu sesat, dan tiap-tiap kesesatan itu di neraka.” (H.S.R. Muslim dan Nasaie)

Tetapi jangan salah faham di tentang larangan bid’ah itu.  Bid’ah itu dilarang di dalam urusan ibadat, bukan di dlam hal keduniaan, karena sabda Nabi s.a.w. (artinya) “Kamu terlebih mengerti hal urusan dunia kamu.” (H.S.R. Muslim).

Bahkan dipuji orang yang mengadakan bid’ah yang baik di perkara dunia, dengan sabdanya (artinya) “Barang siapa adakan (atau mulakan) di dalam Islam satu cara (keduniaan) yang baik, maka ia dapat pahalanya dan (juga sebanyak) pahala orng-orang yang turut mengerjakannya dengan tidak kurang sedikitpun daripada pahala mereka itu”. (H.S.R. Muslim)

Kelima: Tidak boleh kitakan perkara itu wajib atau sunnat, dan perkara ini haram atau makruh, kalau tidak ada keterangan dari agama, karena wajib atau sunnat itu, artinya perkara dapat pahala, dan haram atau makruh itu, perkara yang tidak disukai oleh Allah.

Maka bagaimana bisa seorang menegetahui hal ghaib itu, kalau tidak diterangkan oleh agama?

Keenam: Di dalam agama dibenarkan qias, tetapi hanya di hukum-hukum keduniaan saja, tidak sekali-kali di hukum-hukum ibadat.

Tdak pernah seorng pun dari shahabat-shahabat Nabi mengambil qias di dalam ibadat, dan tidak pula imam-imam mujtahidien, bahkan telah berkata imam Syafi’ie (artinya) Tidak ada qias di (hukum) ibadat.

Dan juga kata imam Syafi’ie (artinya) Barang siapa menganggap baik satu (ibadat), berarti ia telah membikin agama.

Kata imam Ar Ruyanie (artinya) Dan barangsiapa membikin agama, kufurlah ia.

Maksudnya: Bahawa apabila seorang menganggap baika akan satu perkara ibadat dengan tidak ada keterangan dari agama, maka berarti orang itu, menambah satu ibadat, maka barang siapa menambah satu ibadat, tidak syak lagi ia jadi kafir.

Ketujuh: Kita wajib menerima ijma’, tetapi supaya tidak jadi salah faham, perlu kita dapat tahu ijma’ manakah yang wajib kita turut.  Ijma’ yang wajib kita turut itu, tidak lain, melainkan ijma’ para shahabat Nabi.

Turut ijma‘ itu, tidak berarti kita turut hukum yang mereka bikin dengan kemauan mereka sendiri, tetapi berarti kkta turut kerjakan salah satu ibadat atau hukum yang mereka ramai-ramai telah setuju mengerjakannya dengan kepercayaan kita, bahwa mustahil mereka bersetuju mengerjakan sesuatu, kalau tidak mereka lihat Nabi s.a.w. kerjakan di hadapan mereka.

Oleh sebab itulah Nabi kita telah bersabda (artinya) “Hendaklah kamu berpegang kepada cara-cara khalifah-khalifah yang lurus yang terpimpin.” (H.R. Abu Dawud).

Adapun ijma’ yang lain daripada itu, tidak boleh kita turut dan juga tidak ada.

Lantaran itu kata imam Ahmad bin Hanbal (artinya) Barang siapa mengaku ada ijma’, maka orang itu pendusta. 


(Sumber: Soal Jawab Agama, penerbit: Persatuan, Bangil Jawa Timur, 1985.)

Khamis, April 03, 2014

APA tujuan kita hidup di bumi ini?

SETIAP benda yang direka oleh manusia ada tujuannya. Sebagai contoh, jurutera automotif membuat lori sebagai alat pengangkutan barangan. Lori bukan kenderaan untuk membawa manusia, tetapi barangan.  Bas direka untuk membawa manusia ke suatu tempat yang lain.  Begitu juga, manusia mereka jarum sebagai alat untuk menjahit pakaian.

hanya hiasan

Oleh itu apakah tujuan Allah menciptakan manusia di bumi ini?  Alangkah ruginya kita sebagai manusia jika gagal menjawab mengapa kita hadir di bumi ini.

Allah yang menciptakan manusia, maka Allah yang menjelaskan matlamat penciptaan makhluk bernama manusia. Maksud firman Allah dalam ayat 54 surah Az-Zariat, “Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan (kecuali) supaya mereka beribadah kepada-Ku.”

Ayat itu sudah sangat jelas menyatakan tujuan Allah menciptakan seluruh manusia, iaitu supaya manusia beribadah atau menjadi hamba Alllah yang taat segala perintah-Nya.  Dalam Tafsir Ibn Katsir, pengarang mencatatkan atsar sahabat iaitu Ali bin Abi Talhah yang menuturkan ayatnya daripada Ibnu Abas iaitu, “agar mereka (manusia) mengakui Allah dan beribadah kepada Allah sama ada dalam keadaan suka atau terpaksa.”  Mudah bicaranya, suka atau terpaksa manusia tidak ada pilihan lain – mesti beriman kepada-Nya.  Beriman kepada Allah bererti mengakui Allah sebagai Tuhan dan menyembahnya sebagaimana diajarkan oleh para utusan-Nya.  Setiap zaman dan kelompok manusia, Allah melantik utusan untuk mengajar manusia supaya mengakui dan menyembah Allah sebagai Tuhan!

Apakah jika manusia tidak beriman kepada Allah maka kehebatan Allah semakin susut? Tidak sama sekali. Ayat-ayat seterusnya selepas ayat 56 itu pun secara jelas menyatakan Allah tidak meminta manusia memberi rezeki kepada Allah, sebaliknya semua manusia termasuk yang ingkar atau kafir terhadap Allah, diberi rezeki oleh Allah Tuhan Yang Maha Pemberi Rezeki.  Di sekitaran kita hidup pun ada manusia yang terang-terang menolak keesaan Allah, mengingkari Allah sebagai Tuhan malah ada yang menafikan terus wujudnya Tuhan, namun perut mereka tetap kenyang daripada rezeki yang Allah berikan.  Namun tunggu, Allah akan memberikan ‘kecelakaan’ pada hari akhirat kelak (ayat 60).


Adakah kita muslim akan mensia-siakan ilmu dan peluang di depan mata?  Masihkah lagi kita mahu mencari dalih untuk tidak taat atau melalaikan ketaatan kepada-Nya. Kita tahu ancaman ‘kecelakaan besar’ dan jaminan ‘kebahagiaan hidup’ di akhirat, namun ada antara kita masih sengaja melalaikan diri daripada beribadah atau taat kepada-Nya. Kita mencari dalih-dalih baru, walhal hari-hari mendengar berita manusia bergerak ke negeri akhirat sama ada suka atau terpaksa.