Pengikut

Selasa, Ogos 31, 2010

PERIHAL muslim dan Ahli Kitab

DALAM suasana Ramadan, yang kita masih memberatkan pembacaan al-Quran.  Al-Quran adalah kitab Allah sebagaimana kitab Allah terdahulu seperti Taurat dan Injil.  Dalam al-Quran, kaum Yahudi yang diberikan Taurat dan Nasrani yang mendapat Injil, Allah gelar mereka sebagai Ahli Kitab.  Banyak kisah dua kaum itu dalam al-Quran yang Allah khabarkan sebagai golongan sengaja berdusta sedangkan mereka tahu kebenaran (ada juga ahli kitab yang budiman – surah 3:75).  Apa erti kepada kita sehingga hari ini membaca kisah-kisah pengkhianatan ahli kitab itu?


Siapakah kita sebagai kaum muslimin?  Seperti Yahudi yang mempunyai Taurat dan Nasrani yang mempunyai Injil, maka muslimin diberikan al-Quran.  Maka jangan menolak apabila kita kaum muslimin diberi gelar sebagai ahli kitab juga. 

Al-Quran memaparkan kisah Yahudi dan Nasrani terhadap kebenaran al-Quran supaya kita mengambil pengajaran.  Bahawa dua kaum berkenaan sekalipun memiliki kitab Allah, ulama-ulama mereka menyembunyikan kebenaran untuk beriman kepada Allah.  Tambah dahsyat, mereka membuat hukum baru dalam agama tetapi mendakwa hukum ulama mereka sebagai hukum Allah.  Jika kisah ini bukan untuk dijadikan sempadan oleh muslim yang diberi al-Quran, apa lagi yang hendak difahami?

Kita teliti kisah ini dalam surah Ali-Imran sahaja, misalnya ayat 70 (maksudnya): Wahai Ahli Kitab, mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah, padahal kamu mengetahui kebenarannya?

Ayat 71 (maksudnya): Wahai Ahli Kitab, mengapa kamu mencampur-adukkan kebenaran dengan kebatilan, dan kamu menyembunyikan kebenaran, padahal kamu mengetahui?

Ayat 78 (maksudnya): Dan sungguh antara mereka ada segolongan yang memutar-balik lidahnya hanya membaca kitab agar kamu (muslim) menyangka (yang mereka baca itu) adalah sebagian isi kitab, padahal itu bukan daripada kitab, dan mereka berkata “itu daripada Allah”. Padahal itu bukan daripada Allah.  Mereka mengatakan yang dusta terhadap Allah padahal mereka mengetahui.

Dalam kalangan muslimin pun kadang-kadang sudah wujud kerenah seperti ahli kitab: Yahudi dan Nasrani.  Kerana kepentingan parti politik, perniagaan, adat resam bangsa dan pelbagai helah peribadi, maka keluarlah hukum-hukum baru sama ada untuk membenarkan tindakannya atau untuk mendapatkan keuntungan lain.

Demi adat resam bangsa, ada orang secara terbuka melanggar sunah Nabi dengan membuat amal-amal baru dalam ibadah yang dikatakan sunah (bukan wajib).  Mulut mereka hanya mengatakan amalan Islam sejak sekian lama.  Sebenarnya, apabila mendakwa itu adalah amalan Islam bermakna itu adalah hukum Allah kerana Islam itu daripada Allah.  Kalau benar itu adalah hukum Allah atau ibadah yang diperintahkan, sudah tentu mereka memberikan sumber daripada al-Quran dan sunnah.

Demi menjaga kepentingan parti politiknya, muncul pula hukum-hukum yang dianggap suci untuk partinya dan keji untuk parti lawannya.  Semuanya dilakukan atas nama kesucian agama atau rumah Allah.  Gambarannya ialah, itulah hukum Allah atau perintah dari langit! Kalaulah benar semua itu hukum Allah, tentulah mereka memberi dalil daripada wahyu Allah dan sunnah nabi-Nya.

Kesimpulannya, perangai manusia sama sahaja sejak zaman dahulu hingga kini menyebabkan kandungan al-Quran tetap sesuai untuk dijadikan panduan.  Moga Allah memberi petunjuk apabila kita membaca al-Quran agar apa yang dibaca bukan hanya sebagai bacaan kosong.

Sabtu, Ogos 28, 2010

NON Muslim masuk masjid: Ulasan Dr Danial










MALAYSIA merdeka baru 53 tahun

SALAM kemerdekaan Malaysia 2010, edisi ke-53. Laungan merdeka sejak 31 Ogos 1957 terhadap tanah jantung Semenanjung Tanah Melayu atau Malaya.  Dalam Persekutuan Tanah Melayu ada 11 buah negeri, Sembilan daripadanya mempunyai rajanya sendiri.  Kerana mengekalkan tradisi beraja, maka salah seorang raja bergelar Yang Dipertuan Agong merupakan Ketua Negara. Pada 16 September 1963 negara ini menjadi Malaysia dengan bertambah wilayah iaitu Singapura, Sabah dan Sarawak. Namun pada 15 Ogos 1965, wilayah Malaysia mengecut sedikit apabila wilayah Singapura dikeluarkan daripada Malaysia.


Menghayati kemerdekaan bererti menghayati perjalanan sejarah.  Kita tidak merasa erti apa-apa di sini pada hari ini jika tidak mengetahui sejarahnya kita di sini!  Namun ada orang sangat terluka dengan mengingat sejarah sebab sejarah yang dilalui menjadi beban sepanjang zaman.  Ada orang yang gembira dengan sejarahnya sebab, perjalanan sejarahnya sangat menguntungkan sepanjang zaman!

Kemerdekaan bererti melepaskan diri daripada penjajahan.  Penjajahan oleh kuasa luar bererti keburukan dan kerugian, oleh itu kemerdekaan adalah kebaikan dan keuntungan.  Kebaikan dan keuntungan bererti semua warga  boleh memilih apa yang kita mahu dan merasakan sendiri nikmat hidup.  Oleh itu jika sudah merdeka dan ada rakyat masih tidak merasa nikmat kehidupan, berapa puluh tahun pun dilaungkan ‘merdeka’ semua itu tidak membawa apa-apa erti.  Maka jangan kaget apabila mendengar keluhan daripada orang biasa, rakyat marhaen dan sesiapa saja yang mengatakan merdeka atau tidak kehidupan kami tidak banyak bedanya!

Apakah merdeka mesti ditandai dengan kemajuan fizikal?  Tidak juga, sebab ada wilayah yang masih dalam penjajahan seperti French Guyana di Amerika Selatan tetap berubah lanskap fizikalnya, tidaklah penduduknya masih bercawat seperti zaman purba.  Kepulauan Fakland yang berhampiran dengan Argentina masih dijajah British dan Pulau new Caledonia masih dalam jajahan Perancis.  Maka fahamilah bahawa bukan semua penjajahan membawa keburukan, malah kebaikan juga.  Di negara kita banyak aspek pentadbiran, undang-undang, pendidikan, kebudayaan dan pemikiran merupakan warisan zaman penjajahan British dan rakyat tidak mahu melepaskannya sekalipun itu atas nama  warisan penjajah.

Merdeka dengan pelbagai kaum, budaya dan pemikiran rakyat bukanlah mudah pula.  Sekalipun dahulu diakui teras negara Malaysia adalah Melayu: Raja Melayu, Bahasa Melayu, Kebudayaan Melayu, Hak Istimewa Melayu dan  Agama Islam, namun kerana berubahnya pemikiran masyarakat teras negara yang asalnya Melayu sudah cuba dikikis sedikit demi sedikit.  Dengan perkembangan dunia dan pemikiran ini,  untuk mengekalkan identiti negara cukup mencabar pada masa akan datang.

Eloklah belajar daripada negara-negara di Eropah yang dahulunya menjajah kita. Eropah pernah menempuh dua kali perang dunia yang mengorbankan puluhan juta manusia, namun hari ini sejarah perang itu benar-benar mengajar semua negara di sana untuk bertoleransi dan tidak mahu lagi bermusuhan.  Mereka tahu perang membawa kerugian dan kemusnahan. Oleh itu rakyat Malaysia wajib belajar bahawa permusuhan dan perselisihan akan membawa kerugian dan kemusnahan juga kepada negara.

Salam merdeka anak Malaysia!

Rabu, Ogos 25, 2010

HARI Nuzulul Quran: Al-Quran untuk apa?

SEMPENA hari yang digazetkan sebagai hari pertama diturunkan al-Quran kepada baginda nabi Muhammad s.a.w. iaitu 17 Ramadan, bagus jika difikirkan semula apa ertinya wahyu Allah kepada manusia.  Kepada kita yang ajam (bukan Arab) kebanyakannya mempunyai masalah memahami terus ayat-ayat Allah itu kecuali meneliti pula terjemahan sejadinya dalam Bahasa Melayu. 


Di balik usaha segolongan memahami al-Quran untuk diamalkan dalam kehidupan, ada pihak-pihak lain hanya menggunakan al-Quran sebagai penawar penyakit fizikal dan mental.  Jika difikirkan di rumahnya ada hantu, maka dibacakan surah Yassin atau ayat Qursi. Untuk yang hendak mengambil peperiksaan di sekolah, ada yang membaca surah Yassin pada setiap minggu demi membantu kelancaran dirinya dalam menjawab peperiksaan.  Berdasarkan kepada jaminan Allah mengenai kebajikan (pahala) di akhirat untuk pembaca al-Quran, maka banyak antara kita yang berlumba-lumba membaca al-Quran sekalipun tidak memahami ertinya,(terutama pada bulan Ramadan ini).

Sejarahnya, al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat berdasarkan isu atau keperluan yang berlaku pada zaman Rasulullah.  Seperti dipersetujui, ayat pertama di Gua Hira ialah berkenaan membaca atau iqra!  Tepatnya, surah al-Alaq merupakan kumpulan wahyu pertama.  Iqra, bukan sekadar membaca malah satu gesaan kepada muslim untuk berilmu.  Maka sepatutnya, setiap muslim menjadikan ilmu sebagai salah satu keutamaan dalam hidup.  Sudah bekerja dan pendapatan besar pun, ilmu perlu dicari terutama berkaitan hal akidah dan ibadah.

Mari perhatikan beberapa permulaan atau ayat-ayat awal surah dalam al-Quran mengenai tujuan al-Quran disampaikan kepada manusia.

Ayat kedua surah al-Baqarah (maksudnya): Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada mereka yang bertaqwa.

Ayat ketiga surah ali-Imran maksudnya): Dia menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepadamu dengan sebenarnya, membenarkan kitab yang diturunkan sebelumnya  dan menurunkan Taurat dan Injil.

Ayat kedua surah al-A’raf (maksudnya): Ini adalah sebuah kitab yang diturunkan kepadamu, maka janganlah ada kesempitan dalam dadamu kerananya, supaya kamu memberi peringatan dengan kitab itu, dan menjadi pelajaran kepada orang-orang yang beriman.

Ayat pertama surah Yunus (maksudnya): Alif lam ra, inilah ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hikmah.

Ayat pertama surah Hud (maksudnya): Alif lam ra, inilah satu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan dari sisi Allah yang maha bijaksana dan maha tahu.

Ayat pertama surah Yusuf (maksudnya): Alif lam ra, inilah ayat-ayat kitab (al-Quran) yang nyata (daripada Allah).

Ayat pertama surah ar-Ra’d (maksudnya): Alif lam ra, ini adalah ayat-ayat al-Kitab (al-Quran). Dan kitab yang diturunkan kepadamu daripada tuhanmu itu adalah benar, akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (kepada al-Quran).

Ayat pertama surah Ibrahim (maksudnya): Alif lam ra, (Inilah kitab) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya  mengeluarkan manusia daripada gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan izin Tuhan yang Maha kuasa lagi Maha Terpuji.

Ayat pertama surah al Hijr (maksudnya): Alif lam ra,  ini adalah sebagian daripada ayat-ayat al-Kitab (yang sempurna) iaitu Quran yang memberi penjelasan.

Demikianlah beberapa penjelasan tujuan al-Quran diturunkan yang tercatat pada awal surah-surah.  Jelasnya wahyu Allah ini untuk menjadi pedoman hidup yang membawa hidup sejahtera dunia dan akhirat. 

Pasti akan berlaku pertentangan antara fikiran, sikap dan perilaku kita sebagai manusia dengan kehendak-kehendak al-Quran.  Oleh itu, jelaslah al-Quran tetap berfungsi sebagai panduan atau pedoman hidup kepada yang percaya atau beriman.  Percaya tanpa soal, atau ‘kami dengar dan patuh!’

Ahad, Ogos 22, 2010

HUDUD: Karpal Singh patut berikan hujah.

HUDUD bergema lagi, tidak lain daripada Pas. Menteri Besar Kelantan TG Nik Aziz sinonim dengan pelaksanaan Hudud, iaitu undang-undang jenayah syariah berteraskan al-Quran dan Sunnah.  Isu ini timbul semula apabila kes pembuangan bayi sehingga membawa kematian yang kian sadis, merentap nurani semua pihak.  Semua pihak (agaknya termasuk yang dahulunya pernah terjebak dalam zina) mahu masalah pembuangan bayi ditangani segera. Ertinya selepas ini dengan cara apa pun tidak ada manusia membuang keturunannya sendiri.  Maka itu Mursyidul Am Pas mencadangkan undang-undang syariah.


Di Malaysia, yang konsisten mahukan Hudud ialah  TG Nik Aziz itu. Dan yang konsisten menentang hudud hingga ke titisan darah terakhir ialah si Penegerusi DAP, Karpal Singh.  Begitulah berulang kali seperti pusingan roda.  Kedua-duanya telah tua renta, entah siapa selepas ini yang akan mempusakai siri TG Nik Aziz dan Karpal ini.

Hak TG Nik Aziz untuk mencadangkan yang terbaik dalam menyelesaikan masalah jenayah.  OK katakanlah hak Karpal juga dalam negara demokrasi untuk menolak Hudud, tetapi janganlah menolak secara teknikal. Kata karpal, "Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud.”  OKlah, karpal peguam, secara teknikal dia betul.

Dalam dunia ilmiah dan demokrasi, menerima dan menolak perlukan hujah.  Malangnya si Karpal, tidak berani memberi hujah penolakan. Orang mahu tahu apa masalah besar atau kepincangan hudud itu.  Hujah balas ini perlu supaya kita semua dapat membanding antara kehebatan hudud dan Kanun Keseksaan yang diterima sekarang.

Ambil contoh cara menyebat pesalah mengikut Kanun Keseksaan yang dilakukan secara tertutup sedangkan hudud membenarkan hukuman itu dilaksana ditempat terbuka, disaksikan orang ramai supaya menjadi pendidikan. Dalam dunia global, senang cakap,  boleh dibuat siaran langsung seperti bolasepak Piala Dunia!  Hujahlah sepuas-puasnya mana yang baik dan buruk, mana yang memberi manfaat kepada orang ramai dan mana yang tidak.

Penyokong Hudud atau puak TG Nik Aziz pun janganlah cepat emosi apabila puak si Karpal memberi hujah yang memperlekeh Hudud.  Seperti Presiden MCA mendakwa negara Islam lain (baca yang berdasarkan Islam) banyak kes rasuah, malangnya penyokong Pas tidak membalas dengan hujah.  Mereka emosinal dengan mengatakan Chua Soi Lek tak faham Islam dan hanya berguru dengan Umno.  Respon ini bukan bijak malah menunjukkan watak muslim yang sombong.  Pada pandangan bukan muslim, konsep Islam tidak boleh dibahas dan hanya dipaksa terima.

Kepada pihak Karpal dan TG Nik Aziz, semua patut belajar mendengar dengan tekun hujah masing-masing.  Jangan pilih medium debat kerana itu bukan memberi manfaat, kecuali mempertajam perselisihan.

Malangnya isu hudud hanya dijadikan modal politik pihak yang berkepentinan. Jika budaya ini berterusan, 50 tahun akan datang pun masih keadaan seperti hari ini.  Inilah minda Malaysia!

Sabtu, Ogos 21, 2010

APA amal kita selepas Ramadan nanti?

Misal kedua, susahkah menunaikan solat pada bulan-bulan lain sedangkan keadaannya sama seperti sewaktu bulan berpuasa.  Eloklah kita fikir, semasa bulan Ramadan kerja yang dilakukan sama seperti pada bulan tidak berpuasa, tetapi mengapa selain Ramadan asyik terlepas saja untuk bersolat? PADA bulan Ramadan seperti ini kerap dijadikan masa untuk mengajak diri lebih menghampiri Allah.  Jika pada bulan lain tidak berapa menunaikan solat sunah, maka sebulan ini nampaknya jauh lebih banyak melakukannya.  Jika pada 11 bulan yang lain, hanya ke masjid seminggu sekali, syukurlah pada bulan berpuasa ini setiap malam ke masjid untuk solat tarawih.  Yang selama ini mendedahkan aurat, pada bulan ini mudah pula mencapai kain menutupi rambutnya.  Yang selama ini perokok tegar, dapat juga mereka kurang menghisap rokok.  Lebih menyeronokkan ialah yang selama ini tidak solat tetapi dengan kehadiran Ramadan, mereka menjaga solatnya!

 foto ahli www.al-fikrah.net  dalam satu sesi pertemuan ukhwah.

Susahkah mengamalkan ajaran Islam pada bulan-bulan bukan Ramadan?

Misalnya susahkah ke masjid pada waktu solat fardu sedangkan jarak rumah ke masjid dekat.  Pada waktu yang sama ada kenderaan, masa dan keluarga tidak pula menghalang.  Baik kita fikir, jika pada Ramadan boleh ke masjid, mengapa bukan Ramadan menjadi sukar.

Misal ketiga, susahkah membuka naskhah al-Quran untuk membacanya dalam setengah muka dalam sehari pada bulan bukan Ramadan sedangkan dalam bulan ini dapat membacanya sehingga lebih empat muka pada waktu malam.

Inilah Ramadan, bulan mendidik muslim kembali kepada fitrah sebagai hamba Tuhan.  Pada setiap masa, Allah tidak menyusahkan hamba-hamba-Nya, tetapi memberi kemudahan.  Pada logik akal pun mudah difahami, jika Allah menyuruh kita menjadi muslim, tentulah mengamalkan perintah dalam Islam itu mudah saja.  Tidak masuk akal, Allah yang pengasih sengaja menyusahkan hamba-hamba-Nya.

Maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185: Allah mengkehendaki kamu mendapat kemudahan dan Dia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran.

Maksud sabda Rasulullah: Agama itu mudah.  Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah.  Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka. (Riwayat Bukhari)

Antara faktor yang menyebabkan muslim agak sukar melaksanakan suruhan beramal sunah dalam agama ialah tafsiran terhadap hukum itu sendiri.  Apabila digunakan tafsir yang cerewet, maka susahlah jadinya.  Sebagai contoh dalam bab taharah, antara sebab remaja atau anak muda tidak solat (sekalipun sudah dekat dengan masjid) ialah mengatakan seluarnya kena tanah, debu, atau mungkin ada najis apa-apa kerana diguna untuk kerja atau berjalan-jalan.

Eloklah pada bulan ini pendakwah dan mualim juga berfikir kaedah yang nyaman untuk memberi kefahaman mengenai Islam kepada orang ramai.  Jika selama ini masyarakat lebih menganggap yang orang agama hanya suka memberi hukum, mungkin sampai masanya kaedah menyampaikan mesej dibuat dalam bentuk lain, yang mesra dan memberi pilihan mudah tapi sah.  Kadang-kadang seseorang guru (juga ustaz/ustazah/ulama) melihat sesuatu isu daripada kaca mata dirinya yang kuat iman, berilmu dan taraf hidupnya yang selesa.  Orang ramai mahu isu dirinya untuk beramal dalam agama diselesaikan berdasarkan kedudukan ilmunya, pekerjaannya, keluarganya dan segala macam berpunca daripada dirinya.  Dirinya yang mahu melakukan amal ibadah, bukan orang lain.  Maka isunya ialah daripada dirinya juga. Hal ini kurang diberi perhatian.

Khamis, Ogos 19, 2010

JUMPA, cinta, zina, hamil dan buang bayi

MEDIA bagai sengaja menyiarkan siri pembuangan bayi.  Isu ini tetap menjadi pelaris berita kerana emosi orang ramai mengenainya.  Namun, kalau tidak ada bayi yang dibuang, tidak ada berita yang dikeluarkan. Ini bermakna ada perbuatan jahat itu dilakukan setiap kali ada beritanya. Aduh, banyaknya bayi sudah dibuang sama ada yang masih hidup atau yang ditemui sudah mati.


Secara umum pula diketahui hampir semua bayi itu lahir daripada manusia keturunan Melayu atau pendatang asing Melayu.  Dikatakan juga semua bayi ini adalah hasil zina. Bayi dibuang untuk mengelak malu kepada masyarakat.  Masyarakat Melayu, sejahat mana pun masih tidak boleh menerima adanya bayi tanpa ayah dalam keluarganya.  Perkara ini dalam pengetahuan remaja Melayu, sebab itu jika remaja Melayu terhamil, pilihannya sama ada bernikah dengan teman lelakinya atau menghapuskan bukti zina itu.  Maka bayi suci itu dijadikan mangsa.

Kes ini adalah masalah Melayu.  Dalam hal ini, sangat dikaitkan dengan Islam kerana rasa malu mempunyai anak tanpa ayah itu kesan pemahaman kejinya gadis berzina.  Persoalan utama ialah mengapa zina berleluasa atau tanpa kawalan?

Punca utama ialah krisis akidah.  Banyakkah orang Melayu yang faham mengapa untuk menjadi muslim kena mengucapkan syahadah? Tiada Tuhan Melainkan Allah, dan Muhammad adalah Rasulullah.  Tak faham?  Minta maaf, sekadar menghafal Sifat 20 yang menjadi pedoman belajar akidah oleh orang Melayu tidak cukup membawa pemahaman syahadah yang membawa perubahan perilaku manusia.

Orang yang lemah akidahnya, sudah tidak perduli sangat soal halal haram.  Soal batas hubungan antara lelaki dan perempuan, adab wanita berpakaian di luar rumah, kawalan ibu bapa terhadap anak-anaknya dan 1001 satu hal dalam kehidupannya sudah terabai.  Anak lelaki membawa gadis menaiki motorsikal, tak apa…, mereka sekolah tinggi, tahu baik buruknya.  Anak gadisnya pulang lewat malam, apa nak buat…, memang anak zaman sekarang perlu kebebasan.  Anak-anak muda dengan senang hati memperkenalkan pasangan masing-masing kepada ibu bapa kerana pemikiran ibu bapa sudah menerima pergaulan bebas atas nama cinta.  Pesannya mudah, “berkawan saja, jangan buat apa-apa.”

Semua di atas merupakan contoh akibat rosak atau lemah akidahnya.  Orang yang lemah akidah, pemikirannya pun cetek, kontot dan keanak-anakan.  Patutlah rosak kehidupannya!

Pakaian wanita yang menutup aurat seperti arahan Allah dalam surah an-Nur ayat 31 dimain-mainkan.  Asalkan pakai tudung kepala, dikatakan sudah ikut wahyu Allah. Bertudung kepala ya. Baju sendat, tak berlengan dan seluar ketat itu orang yang kuat akidahnya?  Perempuan muda yang berpakaian tapi macam telanjang adalah cermin akidahnya yang rosak.

Hubungan cinta gelap antara lelaki dan perempuan kemudian disertai pertemuan-pertemuan sulit itulah puncanya zina. Maka hamil pula si gadis. Lalu dimusnahkan bayi yang konon memalukan diri dan ibu bapanya.  Orang yang benar akidahnya tidak akan melakukan perbuatan yang memulakan zina lagi.

Akidah atau tauhid mudah saja dipelajari.  Terima Allah itulah Tuhan, satu-satunya Tuhan yang berkuasa terhadap segala-galanya.  Oleh kerana kita sudah menerima Allah sebagai Tuhan, terima saja apa yang diarah atau ditegah oleh-Nya. Laksanakan arahan-Nya perlu dilakukan dengan perbuatan.  Tinggalkan larangan-Nya, kita diam sajalah, apa susah-susah.

Sudah, jangan perdulikan apa-apa kalau sudah menerima Allah sebagai Tuhan.  Jangan ingatkan apa kata teman-teman jika sudah mahu tinggalkan larangan Allah iaitu jumpa berdua-duaan, bersentuhan dan memadu asmara.  Memang ada dilema atau persimpangan antara terus berlepak-lepak bersama teman sehingga jauh malam atau tinggalkan mereka kerana takut terjebak dalam zina.  Kuat akidah kepada Allah, tinggalkan teman-teman yang merangsang nafsu cinta remaja.  Lemah akidah, terima ajakan teman-teman bergelandangan atau bercumbu mesra mengisi makna cinta!

Orang kata jangan drastik, perlu perlahan-lahan. Berilah mereka bertemu sekali dalam seminggu, selepas itu jumpa sekali dalam dua minggu, kemudian bolehlah sekali jumpa dalam sebulan! Adusss, malangnya sekali zina boleh terus hamil! Bayi itu nanti apa nasibnya?

Selasa, Ogos 17, 2010

MUAFAKAT DAP-MCA, PAS-Umno apa?

Biarlah saya meminjam pemikiran orang lain, bukan salah pun...yang salah ialah orang yang ego dan menganggap dirinya, kerabatnya, puaknya dan kabilahnya yang paling diredai Allah.
Monday, August 16, 2010
oleh Nobisha

Sudah berkali-kali saya bercakap di Astro Awani mengenai “politik muafakat.” Apabila saya menulis hal yang sama dalam buku “Tunggu Apa Lagi?” atau di blog “Bicara Nobisha,” maka adalah satu dua suara sumbang yang berkata, “Mengapakah sekarang baru nak bercakap tentang politik muafakat. Mengapakah saudara tidak bercakap hal ini sewaktu sebelum PRU12 dulu?”

Begitulah naifnya cara sesetengah orang berpolitik. Ada yang fobia penyatuan UMNO-PAS lalu mentafsirkan “politik muafakat” sebagai kedua-dua parti politik Islamn-Melayu itu perlu berpeluk dan bercium. Berkali-kali saya tegaskan bahawa “politik muafakat” bermaksud kesepakatan agenda perjuangan — ada hal-hal yang disepakati, ada hal-hal yang diperbahaskan.

Mustahil dalam perjuangan UMNO dan PAS tidak ada hal-hal yang dipersetujui. Malah, saya percaya sebenarnya lebih banyak perkara yang sama, berbanding perbezaan. “Politik muafakat” juga menentukan kedua-dua parti politik berusaha mencari banyak titik pertemuan. Satu skil yang tidak ada pada kebanyakan pemimpin politik Islam-Melayu ialah membentuk permuafakatan dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan bersama.

Akhirnya, saya gembira kerana seruan saya itu difahami oleh Presiden MCA, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek. Nampaknya beliau faham erti “politik muafakat.” Hari ini, Dr Chua berkata bahawa MCA tidak takut berkongsi pandangan yang sama dengan satu lagi parti majoriti Cina, DAP.

Nah, itulah politik muafakat.

Dr Chua Soi Lek tidak perlu tidur sebantal dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Namun, itu tidak bermaksud mereka tidak boleh berpakat demi kepentingan politik komuniti yang mereka wakili.

Biarkanlah UMNO dan PAS menjadi si luncai yang terjun dengan labu-labunya!
http://nobisha.blogspot.com/2010/08/politik-muafakat-mca-dap.html

Ahad, Ogos 15, 2010

MALANGNYA nasib bekas tahanan ISA

SELALUNYA dalam bulan Ramadan ini jiwa yang tersentuh disebabkan rasa pilu mengenang derita seseorang, seperti kemiskinan sesebuah keluarga atau juga penderitaan mangsa bencana alam seperti di Pakistan.  Tidak terduga juga sebelum ini, pada Ramadan saya tersentuh dengan ‘keputusan yang sangat adil’ yang dihadiahkan kepada orang yang mengemis keadilan di hadapan hakim yang arif lagi bijak sana.


Sebagai manusia yang ada perasaan dan fikiran, Abdul Malek Husin tersentak dan marah dengan tindakan kerajaan pada tahun 1998.  Dia bersama ribuan rakyat lain membuat demontrasi, menyatakan rasa tidak puas hati yang tidak boleh ditangguh-tangguh lagi melalui pilihan raya.  Ya, berdasarkan undang-undang dia boleh didakwa bersalah, tangkaplah dia dan hadapkanlah ke hadapan hakim.  Dia akan memberitahu hakim sebab apa dia menyemburkan rasa amarahnya di khalayak.  Tidak begitu, pihak berkuasa memilih untuk menangkapnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan soal siasat tertutup dan tahan tanpa bicara.

Sebagai rakyat biasa, Abdul Malek rasa sangat terhina maruahnya apabila diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan oleh penyaisat. Dia membawa kes penahanannya ke mahkamah dengan menghujah dirinya dipaksa meminum air kencingnya sendiri.  Tentu ini dalam sesi soal siasat.  Tidak ada sesiapa yang berakal percaya sesi soal siasat adalah musyawarah atau diolog peradaban!  Soal siasat terhadap orang yang memarahi pihak berkuasa adalah tekanan.  Bersumpahlah dengan nama Allah untuk sesiapa yang mahu menafikannya jika benar-benar beriman kepada Allah yang satu dan hari akhirat.

Mahkamah Tinggi (2007) memihak kepada Abdul Malek dan meminta pihak yang menahan dan menderanya membayar RM2.5 juta.  Dia gembira, bukan sangat dengan wang jutaan itu, tetapi kerana berjaya memberitahu dunia ada kezaliman terhadap orang yang tidak mempunyai apa-apa akses untuk membela diri dalam ISA.

Pihak kerajaan merayu ke Mahkamah Rayuan supaya keputusan hakim Mahkamah Tinggi itu dikatakan tidak betul. Dan rayuan ini diterima. Ini bermakna penderitaan Abdul Malek dalam tahanan adalah sah.  Betul, soal siasat bukan musyawarah dan dialog.  Opss, malang Abdul Malek bertambah apabila mahkamah ini memerintahkan dia membayar RM50,000 sebagai kos legitasi. Senang cakap, awak yang mulakan kes, memakan masa masa mahkamah kemudian didapati tidak betul, awak kena denda!

Abdul Malek merayu pula ke Mahkamah Persekutuan, mahkamah paling aulia yang tidak boleh diusik-usik lagi. Tanggal 12 Ogos 2010 takdir Tuhan tidak memihak kepadanya.  Ops, ada lagi iaitu Abdul Malek diwajibkan membayar RM20,000 pula kepada tiga responden yang hendak dikenakannya iaitu pegawai yang menyiasatnya, Ketua Polis Negara semasa dia disiasat dan Kerajaan Malaysia.  Nah, sudahlah Abdul Malek gagal dalam tuntutannya yang mahu dunia melihat dirinya didera, dia dipaksa pula membayar sejumlah RM70,000 setelah bertahun-tahun naik-turun mahkamah.

Moral cerita ini agaknya ialah jangan sewenang-wenang hendak mengadu ke mahkamah mencari keadilan sekalipun semasa di sekolah diberitahu dalam sistem demokrasi, mahkamah merupakan badan yang bebas dan adil. Maka mengadulah ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan. Banyak masalah rupanya dunia ini. Retorik ahli demokrat saja.

Pembesar negara pun pernah memberi amaran akan menggunakan ISA terhadap pihak yang cuba mencetus suasana huru-hara.  Saya cuma hendak faham ‘amaran’ itu ialah keperitan dalam tahanan tanpa bicara dan soal-siasatnya.  Kalau ditahan saja dan diberi makan-minum, beriadah, membaca buku dan berSMS, cukup 60 hari atau dua tahun kemudian dibebaskan, itu bukan amaran keras!  Menteri pun tidak berselera memberi amaran dengan ISA sebegitu. Yalah, tentu Abdul Malek benar-benar dipaksa menerima keperitan, maka dia pun mengadu kepada mahkamah.

Itulah dia, undang-undang dan sistem pengadilan mahkamah sebenarnya sangat teknikal.  Kesilapan teknikal boleh menyebabkan perubahan keputusan sesuatu kes.  Jangan mudah percaya keadilan dan kebenaran ada di mahkamah.  Seperti juga jangan percaya kebenaran ada pada parti-parti politik.  Inilah keadilan dunia.  Nak buat macam mana, tunggu dunia ini kiamat sajalah.

Keadaan ini menguatkan lagi keimanan saya bahawa Hari kebangkitan atau Hari Akhirat atau Hari Pembalasan benar akan wujud kelak untuk membalas yang terlepas di dunia ini.  Kelak, yang berkata-kata sebagai saksi bukan mulut, tetapi kulit, kuku, bulu dan sebagainya.  Tidak ada putar belit cakap peguam dan saksi atau ‘bias’ manusia dalam pengadilan.

Jumaat, Ogos 13, 2010

YANG sepatutnya bertaubat kepada Allah

SERUAN dalam khutbah Jumaat tadi ialah kembali pada ajaran al-Quran. Khatib mengingatkan, apabila kita dengan mudah berpuasa kerana menerima seruan wahyu Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 mengenai kewajiban berpuasa, maka sepatutnya ayat-ayat Allah yang lain juga diterima sebagaimana hukum berpuasa.


Eloklah dicatatkan semula antara isi al-Quran yang boleh diamalkan khasnya dalam bulan Ramadan sebagai bulan mendidik jiwa manusia.

Ali Imran ayat 133 -136 maksudnya: “Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.

“(Iaitu) orang yang banyak berinfak (sedekah/berbelanja ke jalan Allah) sama ada pada waktu lapang atau sempit, dan orang-orang yang menahan rasa marah, dan yang memaafkan (kesalahan) orang lain (terhadap dirinya).  Dan Allah mencintai orang-orang yang membuat kebaikan.

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, segera mengingat Allah, kemudian memohon ampunan atas dosa-dosanya dan siapa (lagi) yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain Allah?  Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedangkan mereka mengetahui .”

Intisari mudah tiga ayat berkenaan yang dibaca dalam tadarus qur’an  ialah:

1.    Seruan muslim segera bertaubat kepada Allah.
2.     Allah menjanjikan syurga yang sangat luas kepada orang yang bertaubat.
3.     Antara orang yang bakal mendapat balasan syurga Allah itu ialah orang yang
>      menginfakkan (membelanjakan wang atau hartanya untuk kepentingan pihak lain) sama ada dalam keadaan cukup wangnya atau masa ketidakcukupan wang belanja hidup.
>     berjaya menahan marah dalam keadaan dirinya sangat tercabar dan boleh saja hendak menunjukkan kemarahannya.
>      memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya sedangkan dia berpeluang untuk membalas dendam terhadap orang itu.
>      bertaubat daripada perbuatan keji atau dosa besar yang melibatkan dirinya dan orang lain seperti berzina, membuat tuduhan palsu atau mengapi-apikan permusuhan manusia.
  bertaubat daripada menzalimi diri sendiri iaitu dosa yang terkena dirinya sendiri.
4.    Maksud taubat dalam ayat 136 pula ialah berhentinya mereka daripada melakukan dosa sedangkan mereka berpeluang melakukan kesalahan atau dosa-dosa itu seperti pada masa lalu.

Wallahu aklam.

Khamis, Ogos 12, 2010

SELAWAT bersahut-sahutan tiada dalam Sunnah

SOLAT tarawih adalah ibadah khusus, bertaraf sunat.  Ibadah khusus merupakan satu mekanisme khusus atau khas hubungan manusia terhadap Allah.  Kalaulah Rasulullah tidak memberi tahu atau mengamalkan semasa hayat baginda sebagai seorang Rasul, yakinlah bahawa semua muslim tidak tahu apa-apa pun yang namanya solat tarawih.  Kalaulah Allah tidak mewajibkan puasa pada bulan Ramadan seperti dalam surah al-Baqarah ayat 183 (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan juga kepada orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” maka kita sebagai muslim tidak perlu puasa wajib ini.


Menjadi prinsip dalam amal ibadah itu mesti berdasarkan petunjuk al-Quran dan Sunnah Rasulullah.  Dalam urusan ibadah khusus seperti puasa dan solat, para muslim tidak ada kebebasan menentukan perlakuan ibadah itu sendiri, melainkan berdasarkan wahyu Allah dan petunjuk Nabi.  Jika ayat 184 surah al-baqarah menjelaskan sesiapa yang diharuskan tidak berpuasa, maka itulah ketetapan yang diguna sepanjang zaman.  Kita yang sudah ada pendidikan dari universiti tetap tidak ada hak untuk menggubal atau menambah apa-apa hokum ibadah.

Bagaimana muslim tahu solat tarawih itu dilakukan pada waktu malam?  Jawabnya berdasarkan hadis nabi.  Daripada A’isyah r.a. (maksudnya): Bahawa nabi mengerjakan solat di masjid, maka bersolat di belakangnya beberapa orang. Kemudian di malam berikutnya bersolat pula nabi, maka banyaklah orang yang menurutinya… (hingga akhir hadis). Riwayat Abu Dawud.

Berapa rakaat solat Tarawih nabi?  Jawabnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Jamaah (tujuh perawi) daripada A’isyah r.a. (maksudnya) “Bahawa nabi tidak mengerjakan solat malam, baik pada Ramadan atau selainnya lebih daripada 11 rakaat.”

Hadis lain daripada Jabir r.a. (maksudnya) “Bahawa nabi mengerjakan solat dengan mereka (sahabat) delapan rakaat dan mengerjakan witir.  Kemudian mereka menanti kehadiran nabi pada malam berikutnya, maka nabi tidak keluar ke masjid.” (riwayat Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)

Itulah petunjuk sunnah mengenai solat Tarawih.  Selain itu tidak ada hadis yang menerangkan mengenai surah-surah tertentu sahaja yang di baca pada rakaat pertama dan kedua atau seterusnya.  Oleh kerana tidak ditemui ketentuan surahnya, maka menjadi kebebasan untuk muslim membaca surah yang dikehendaki.

Tidak ada juga ditemui dalam sunnah baginda nabi tentang bacaan salawat dan doa-doa tertentu sebagaimana yang dilakukan oleh orang Melayu Islam sewaktu bertarawih.  Maka sesiapa yang pernah bertarawih di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tidak diserukan bacaan selawat ke atas nabi dan doa kepada empat khalifah Islam.  Setelah solat dua rakaat, tidak ada apa-apa petunjuk bacaan. Imam terus berdiri dan memulakan solat yang baru pula.

Menjadi amalan yang dikatakan ‘baik’ oleh masyarakat Melayu bersahut-sahutan selawat dan doa antara setiap dua rakaat tarawih.  Sayangnya cara berselawat dan mendoakan khalifah ini tidak ada dalam petunjuk sunnah.  Semua ini hanyalah rekaan orang-orang terdahulu atas fikirannya untuk mengisi ruang antara dua rakaat itu.  Kembali kepada hak menentukan cara dan di mana sesuatu ibadah dilakukan, itu adalah hak Allah dan diterangkan oleh rasul-Nya.  Oleh itu jika kita kerap mengatakan yang umat Islam perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah nabi, maka eloklah kembalikan mengikuti contoh ibadah solat Tarawih yang dilaksanakan oleh Rasulullah. 

Siapalah kita untuk menambah bentuk atau kaedah ibadah di celah-celah solat Tarawih itu.  Jika kita masih beranggapan cara kita orang Melayu bertarawih dengan diselang-seli selawat dan bersahut-sahutan sebagai lebih baik, ertinya cara yang nabi tunjukkan kurang baik!  Begitukah pendirian kita?

Selasa, Ogos 10, 2010

DI BALIK kemeriahan Tarawih di masjid

YANG tidak ketinggalan solat tarawih di masjid saban tahun, kian banyak pengalaman solat berasak-asak dalam masjid.  Semakin banyak orang solat, semakin banyak kerenah manusia bersolat.  Siapa yang senantiasa di baris paling hampir dengan imam, maka tidak dapat merasakan cabaran solat yang dikelilingi pelbagai jenis jemaah solat.

Semakin jauh daripada kedudukan imam solat, semakin bercelaru saf-saf solat jemaah, dan semakin ‘brutal’ kata orang muda.  Antara perilaku ahli jemaah solat Tarawih yang saban tahun ditemui di masjid ialah;


Ø  Tidak segera memulakan solat bersama imam, ertinya sebagian masih duduk dalam saf walaupun imam hampir habis membaca surah al-Fatihah. Jika diketahui yang imam kerap membaca ayat quran agak panjang, maka mereka ada kalanya memulakan solat setelah imam selesai membaca al-fatihah.  Bagi sesiapa yang solat di belakang mereka, inilah antara gangguan pandangan yang mencolok mata.  Sepatutnya apabila imam sudah bertakbir, semua ahli jemaah segera bangun dan bertakbir memulakan solat.

Ø  Terdapat ruang antara sesama jemaah solat yang sepatutnya saling rapat antara satu sama lain. Ada ruang yang agak luas sehingga boleh diisi seorang lagi jemaah.  Masalah ini ada saja setiap kali solat Tarawih di masjid.  Kadang-kadang terlihat secara jelas ahli jemaah yang sengaja meluaskan kedudukan agar di kiri dan kanannya ada ruang kosong.  Keadaan sebegini menyalahi adab solat berjemaah yang menuntut kerapatan atau saling bersentuhan bahu antara sesama ahli jemaah.  Inilah yang dinamakan solat berjemaah, yang merapatkan ukhwah dengan sentuhan fizikal, bukan menjaga kepentingan diri dalam saf-saf solat.

Ø  Terdapat beberapa saf yang putus walaupun dalam satu barisan, iaitu berlubang di tengah-tengah.  Ada pula kumpulan yang sengaja membina saf di luar dewan utama solat, iaitu di serambi walaupun terdapat ruang solat di dewan yang belum penuh.  Begitulah mereka bertarawih dari mula sehingga habis.  Sepatutnya mereka kian merapatkan ke dalam dewan dan mengisi ruang-ruang kosong dalam mana-mana saf yang sedia ada. 

Ø  Ada jemaah yang tidak mengerti dosa melintas di hadapan orang bersolat, terutama kanak-kanak. Kanak-kanak mungkin tidak mengerti, namun tidak patut sangat yang sudah dewasa melakukannya walhal perkara itu merupakan adab utama terhadap orang yang solat. Dalam majlis biasa pun adatnya tidak boleh melintasi orang yang duduk, terpaksa meminta izin, inikan pula di hadapan orang solat.


Ø  Kanak-kanak kerap berbuat bising kerana tidak solat.  Mengajak anak-anak ke masjid adalah usaha pendidikan baik, namun orang dewasa tidak boleh membiarkan sahaja mereka tanpa bimbingan seterusnya.  Ibu bapa yang membawa anak mereka ke masjid untuk tarawih patut meletakan kedudukan anak-anak di sisi mereka, bukan mengumpulkan kanak-kanak dalam saf berlainan di belakang.  Akibat cuba mengumpulkan kanak-kanak dalam saf, maka mereka akhirnya bertempiaran.  Ada yang mengatakan batal solat atau putus saf solat apabila ada anak-anak di sisinya.  Salah faham tu! Dalil yang sahih ialah pengakuan Ibnu Abbas yang masih kanak-kanak ditarik untuk ke sisi kanan Rasulullah  sewaktu solat.

Begitulah keadaan di mana-mana masjid sewaktu solat Tarawih.  Memang kehadiran solat tarawih di masjid lebih banyak digerakkan oleh adat atau budaya sebab itu seruan untuk solat yang menepati sunnah sangat sukar diterima.  Budaya beramai-ramai ke masjid itu akan kian susut setelah setengah bulan Ramadan.  Ini fenomena biasa, dan beruntunglah kepada mereka yang konsisten dengan hukum al-Quran dan Sunnah setiap kali solat berjemaah di masjid, sama ada solat fardu atau Tarawih itu.  Jumlah kumpulan berilmu itu tidak banyak, dan mereka merupakan orang yang biasa hadir ke masjid tanpa mengira bulan dan waktu pun.  Ramadan merupakan bonus dan selepas Ramadan mereka meneruskan sunnah berjamaah di masjid.

Isnin, Ogos 09, 2010

AYUH berdiri waktu malam Ramadan

TIDAK ada perselisihan hukum solat malam atau Tarawih pada bulan Ramadan. Hukumnya sunnah, bukanlah wajib. Satu hadis sabda Rasulullah saw., maksudnya “bahawsanya Allah swt telah memfardukan puasa Ramadan dan saya telah mensunnahkan qiyam pada malamnya.  Maka sesiapa berpuasa pada siangnya, dan salat pada malamnya kerna mengharap keredaan Allah swt, nescaya bersihkah dirinya daripada dosa seperti (sewaktu) dia dilahirkan oleh ibunya.” Riwayat Imam Ahmad.


Kemudian, mahu solat tarawih di mana, sama ada di masjid atau di rumah?  Telah menjadi kebiasaan masyarakat Islam seluruh dunia melaksanakan solat Tarawih secara berjamaah di masjid, surau atau membina pusat-pusat solat khas untuk solat Tarawih ini.  Asalnya memang baginda Rasulullah bersolat malam ini di masjid yang diikuti oleh para sahabat.  Maksudnya solat Tawarih atau solat malam itu berjamaah, kemudian baginda rasul tak melakukannya lagi di masjid hingga akhir hayat.  Sejak baginda tidak solat tarawih di masjid, muslimin zaman itu tidak melakukannya berjamaah sehingga pada zaman Sayyidina Umar menjadi Khalifah. Ertinya dua tahun pada zaman Khalifah Abu Bakar pun solat Tararih dilakukan secara sendiri-sendiri.

Satu hadis diriwayatkan oleh Abi Dawud daripada A’isyah ra., maksudnya “Bahawasanya Nabi saw. mengerjakan solat (Tarawih) di dalam masjid, maka bersolat pula di belakang baginda beberapa orang.  Kemudian pada malam berikutnya Nabi bersolat lagi, maka banyaklah orang mengikutinya pula.  Pada malam ketiga, mereka berkumpul lagi, akan tetapi Nabi saw. tidak keluar ke masjid.  Pada waktu paginya Nabi saw. berkata: Saya melihat apa yang kamu lakukan semalam. Tidak ada hal yang menghalang saya keluar ke masjid malam tadi selain saya takut difardukan solat itu (tarawih) atas kamu.”

Apabila Khalifah Umar menghidupkan semula solat tarawih berjamaah ini, yang memang telah berlaku seketika pada zaman Rasulullah, itulah yang menjadi asas solat berjamaah di masjid hingga sekarang.

Bagi yang tidak mahu melakukannya secara berjamaah di masjid pun tidak menjadi kesalahan kerana solat Tarawih ini merupakan solat sunnah yang Nabi sendiri telah lakukan sebagiannya di rumah.  Malah baginda Nabi memberi isyarat bahawa solat sunah ini lebih baik di rumah, sedangkan solat faardu itu berjamaah di masjid.  Maksud sabda Rasulullah, “Sebaik-baik solat ialah dilakukan di rumahnya, selain daripada solat fardu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar).

Kedua-duanya: Solat Tarawih di masjid atau di rumah adalah pilihan masing-masing, sebab tahap keimanan manusia tidak sama. Kalau mampu membaca ayat quran yang banyak sedangkan di masjid imamnya baca ayat yang pendek-pendek, maka Tarawihlah di rumah. Jika terbukti tidak mampu solat tarawih sendirian di rumah, eloklah ke masjid sepanjang malam Ramadan.

Isu lain yang kita patut maklum ialah kualiti solat.  Namanya pun solat Tarawih yang bererti senang-senang, bukan mengejar masa atau kuantiti.  Apa jenis solat sunah pun, bukan utamakan kuantiti, tetapi kualiti.  Tidak syak lagi yang solat 20 rakaat itu dalam masa 35 minit sangat tergesa-gesa.  Jika keupayaan mereka ialah selama 35 minit juga setiap malam, apa salahnya memilih lapan rakaat yang dapat dilakukan dengan nyaman! 

wa. 

Jumaat, Ogos 06, 2010

NASIHAT ulama Umno


Oleh: Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya

Masih teringat lagi tarikh keramat 25 Jun 2010, di PWTC. Saya dan beberapa sahabat menyerahkan borang penyertaan Umno kepada perdana menteri. 

Pelbagai respons diperolehi daripada teman-teman seperjuangan, juga masyarakat yang peka terhadap perkembangan politik semasa.
 

Ada yang memberi semangat dan ada yang memberi nasihat. Tidak kurang juga ada pihak yang mencemuh dan membuat pelbagai tuduhan palsu.

"Ustaz, teruskan perjuangan, teruskan dakwah. Ustaz, kena banyak nasihati Umno. Ustaz, lakukan perubahan dalam Umno, jadikan mereka cinta kepada Islam," kata mereka.
 

Respons positif seperti ini membuatkan kami terus bersemangat. Terima kasih kami ucapkan. Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa sesuatu nasihat itu bukan untuk Umno semata-mata. Bahkan nasihat adalah untuk semua manusia.
 

Rasulullah SAW bersabda:
 "Agama itu nasihat. Para sahabat bertanya, untuk siapa nasihat itu? Nabi bersabda, untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemerintah Muslim dan manusia umumnya."(Riwayat Muslim, hadis nombor 55).

al-Khatthobi ketika menjelaskan erti nasihat berkata: "
Menjamin atau menghendaki kebaikan bagi yang diberi nasihat." (lihat Syarh Shahih Muslim al-Imam al-Nawawi).

Adakah Umno sahaja yang sering melakukan kesilapan dan perlu dinasihati? Adakah PAS dan PKR tidak pernah melakukan kesalahan? Wahai manusia, usah terlalu prejudis.
 

Sibuk cari kesalahan orang

Sabda Nabi SAW, maksudnya: "
Setiap anak adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pesalah adalah yang bertaubat atas segala kesalahannya." (Riwayat al-Tirmidzi, hadis nombor 2499).

Nah, Rasulullah sendiri menyatakan setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan. Maka, usah kita tunding menuding antara satu dengan yang lain.
 

Sewajarnya, di mana ada kesalahan, maka di situ perlu ada nasihat tanpa mengira agama, parti, bangsa dan warna kulit.
 

Soal bagaimana nasihat itu perlu dilakukan, ia perlu kembali kepada etika-etika yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
 

Kadang kala, si
 jasus (mata-mata) yang sibuk mencari kesalahan orang lain terlupa tentang dirinya. Akidah, ibadah dan akhlaknya bagaimana? 

Jiwanya kacau, kerana itu mereka sering meracau.
 

Bagi pihak yang dikritik, sekiranya kritikan tersebut kena pada tempatnya, maka menjadi satu kewajipan baginya untuk menerima dengan hati yang terbuka.

Ustaz kena pastikan wanita Umno bertudung! 

Takutilah firman Allah, maksudnya:
 

"
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (surah al-A'raf, ayat 179).

Imam Ibnu Kathir ketika mengulas ayat di atas menyatakan: "
Mereka (ahli neraka) tidak memanfaatkan anggota yang Allah jadikan sebab untuk mendapat hidayah." (Tafsir Al-Quran al-'Adzhim).

Sebaliknya, jika kritikan tersebut merupakan fitnah dan tuduhan palsu, maka usah cepat melatah. Berdiam di samping muhasabah diri adalah tindakan bijak.
 

Teringat saya pada satu syair Imam Syafie: "
Berkatalah sesuka hatimu untuk menghina kehormatanku. Maka diamku dari orang yang hina adalah suatu jawapan . Bukanlah ertinya aku tidak memiliki jawapan, tetapi tidak pantas bagi seekor singa melayani kerenah anjing-anjing. (Lihat Diwan al-Syafi'e).

Bagaimana pula dengan sindiran seperti: "Selamat menjadi orang kaya. Ustaz kena pastikan semua orang Umno simpan janggut bulan depan! Ustaz kena pastikan semua wanita Umno bertudung! Ustaz kena pastikan hukum hudud dilaksanakan segera! Ustaz kena hapuskan rasuah!"

Terasa letih mendengar suara-suara sindiran sebegitu. Bagaimanapun, saya dan para sahabat jadikan ia sebagai satu dugaan dan cabaran.
 

Perjuangan tanpa dugaan ibarat berbuka puasa tanpa manisan. Apatah lagi Allah SWT telah menetapkan ujian bagi sesiapa yang beriman.

Rasuah, hudud dan mata duitan

Firman-Nya, bermaksud: "
Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum dari mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang berdusta." (surah al-'Ankabut, ayat 2-3)

Suara-suara sindiran tadi adalah harapan dalam berbentuk ugutan. Seolah-olah hidayah berada di tangan kami. Sedangkan Nabi SAW tidak mampu merubah hati saudaranya sendiri dari kekufuran kepada keimanan. Apatah lagi kami.
 

Hairan apabila manusia cuba mencabar tugas Allah.
 

Bahkan adakah amalan rasuah, menolak hudud dan mata duitan merupakan dasar Umno? Sudah tentu tidak.
 

Sebaliknya, mungkin ia berlaku pada individu-individu tertentu yang mendahulukan hawa nafsu mengatasi disiplin beragama. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
 

Sebenarnya kesalahan itu boleh berada di mana-mana dan pengawalnya adalah takwa, bukan parti politik atau kelompok tertentu.
 

Kerana itu, Allah berfirman, maksudnya: "
Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa." (surah al-Hujurat, ayat13). 

Oleh itu, isu melibatkan individu, usahlah dimaklumkan kepada umum kerana ia termasuk dalam kategori mengumpat.
 

Mungkin ada yang berkata, isu tersebut memberi kesan kepada masyarakat di Malaysia. Saya katakan: "Adakah anda telah menasihatinya?"


Fathul Bari Mat Jahya merupakan pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat (Ulama Muda UMNO (iLMU ). Graduan hadis daripada Universiti Islam Madinah dan Universiti Yarmouk Jordan itu kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam bidang yang sama di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau kini bertugas sebagai penasihat agama di Institut Jantung Negara.