DAHULU tidak kedengaran konsep kepemimpinan seperti
ini, “Pemimpin bukan muslim yang adil lebih baik daripda pemimpin muslim yang
zalim”. Ayat itu memberi maksud, jika
terdapat dua pemimpin untuk dipilih salah satunya, yang diutamakan ialah
keadilannya, bukan akidahnya.
Maksud keadilan mungkin berdasarkan pemahaman
masyarakat semasa. Pemimpin yang tidak menindas mana-mana golongan, tidak
melakukan penipuan atau penyelewengan dan sangat telus sehingga sukar menemukan
kesalahan tadbir urusnya. Yang sebalik
daripada itu adalah amalan pemimpin yang zalim.
Urusan pemerintahan selalunya bersifat subjektif.
Nilaian setiap orang berbeda. Yang nyata ialah orang awam tidak mengetahui hal
sebenar pentadbiran negara berbanding si pemimpin itu sendiri. Orang awam, misalnya
seorang peniaga ayam dan tinggal di sebuah pekan kecil hanya melihat keadilan
pemerintahan dari sudut dunia pekerjaan dan kehidupannya. Sedangkan pemimpin
mestilah membuat keputusan tadbir urus untuk semua lapisan masyarakat bagi
seluruh negara. Oleh itu mudah saja si
peniaga ayam tadi melihat dasar dan tindakan si pemimpin sebagai tidak adil
atau zalim apabila mendapati terdapat kenaikan kos perniagaannya.
Bagi mana-mana golongan atau personal yang
kehendaknya tertunai dengan dasar dan tindakan pemimpin, maka mereka membuat
kesimpulan pemimpin itu adil. Namun
bolehkah kehendak seluruh masyarakat yang tidak terbatas dipenuhi? Jawabnya,
tidak sama sekali. Seorang ayah yang
mempunyai lima orang anak pun tidak dapat memenuhi semua keperluan dan permintaan
kelima-lima orang anaknya. Oleh itu
mendakwa ‘seorang pemimpin bukan Islam yang adil lebih baik berbanding pemimpin
Islam yang zalim’ adalah satu falasi.
Apabila disebut antara yang Islam dan bukan Islam,
tidak lain ini persoalan akidah. Akidah adalah hal utama di sisi Allah. Jujurlah untuk menilai pemimpin (adil?) bukan
Islam itu dari sudut akidahnya. Apakah kedudukan ‘amal salihnya’ di sisi
Allah? Dan bagaimana kedudukan ‘dosa’ si
pemimpin Islam yang sedang dibencinya.
Orang yang tidak beriman kepada Allah, sebaik dan sehebat
mana ‘amal salihnya’ tidak ada nilai di sisi Allah. Kedudukan dia yang tidak beriman kepada
Allah, dalam ayat 55 surah al-Anfal: “Sesungguhnya makhluk bergerak yang paling
buruk dalam pandangan Allah ialah orang-orang kafir, kerna mereka tidak beriman
(tidak percayakan Allah dan rasul-Nya).”
Bagaimana ‘amal-amal salihnya’? Ayat 103-106 surah Al-Kahfi: “Katakanlah
(wahai Muhammad), ‘apakah perlu Kami beritahu kepada kamu tentang orang yang
paling rugi amalannya? (iaitu) orang yang sia-sia amalannya dalam kehidupan
dunia, sedangkan mereka menduga telah berbuat sebaik-baiknya’. Mereka itulah orang-orang yang mengingkari
ayat-ayat Tuhan mereka dan (tidak percaya) terhadap pertemuan dengan-Nya. Maka sia-sialah amal mereka, dan Kami tidak
memberi penimbangan terhadap (amal) mereka pada hari kiamat. Demikianlah, balasan mereka itu di neraka
Jahanam, kerna kekafiran mereka, dan kerna mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan
rasul-rasuk-Ku sebagai bahan olok-olok.”
Bagaimana pemimpin muslim yang dikatakan berdosa
atau zalim itu? Sejahat-jahat pemimpin (jika benar pun dia jahat) selagi dia
masih bersolat, beliau mesti diterima oleh umah. Ini berdasarkan hadis yang sahih.
Daripada Auf bin Malik bahawa Rasulullah
s.a.w sabda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka
menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk
pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu
melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”.
Kata para sahabat: “wahai Rasulullah, apakah
tidak boleh kami memerangi mereka?”
Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia
mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu
melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut
tangan daripada mentaatinya (dalam hal
makruf)”. (HR Muslim dan Ahmad)
Dan satu
lagi hadis Nabi s.a.w. Sabda Nabi
maksudnya: “Akan ada nanti pemimpin-pemimpin yang kamu suka amalan mereka dan ada
yang kamu benci (kerna amalannya maksiat), sesiapa yang mengenal pasti maksiat
yang dilakukan maka dia terlepas, sesiapa yang ingkar dia selamat, tetapi (yang
binasa) adalah yang reda dan mengikut”. Para Sahabat berkata: ‘Apakah tidak
boleh kami memerangi mereka?’ Kata baginda: “Tidak boleh selagi mereka bersolat”.
(HR Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, Ahmad).
Menurut
sunah nabi, sejahat-jahat pemimpin tidak boleh dilawan (tentulah tidak boleh
diganti dengan pemimpin bukan Islam) dengan syarat pemimpin itu terbukti masih
menunaikan solat. Solat merupakan hubungan paling kuat antar seorang hamba
kepada Tuhannya.
Dan
pemimpin muslim yang didakwa jahat itu tetap punya peluang cerah di sisi Allah.
Ayat 110 surah An-Nisa’: “Dan sesiapa
yang membuat kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia memohon ampun
kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
Wallahu
‘aklam