Pengikut

Rabu, November 28, 2012

UNDANG-undang Tuhan pun dilanggar inikan pula.....


DAHULU, apabila diterangkan bahawa kehidupan seseorang muslim adalah satu ibadah kepada Allah, terasa bahawa Islam memang satu sistem pengabdian hidup hamba kepada Tuhannya.  Bukan sahaja solat dan puasa sebagai ibadah, malah tidur dan makan juga ibadah.  Semua ini terkandung dalam maksud ayat 56 surah az-Zariat, “Aku tidak menciptakan jin dan manusia, melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.”

Menaiki kenderaan juga termasuk ibadah kepada Allah. Dan melihat statstik, setiap hari kira-kira 19 kematian akibat kemalangan di jalan raya, diharap kematian muslim akibat kemalangan itu kematian yang mulia di sisi Allah.  Zaman telah berubah, dan orang menunggang kenderaan ratus-ratus kilometer bukan hanya untuk sampai ke suatu tempat demi tujuan-tujuan tertentu pula.  Semakin banyak pula orang menunggang kenderaan hanya sebagai menghiburkan diri seperti orang bersantai di pinggir pantai untuk mendamaikan fikiran.


Lihat segolongan orang secara berbondong-bondong menunggang motorsikal kuasa tinggi di jalan-jalan raya, bolehkah perbuatan itu dimaksudkan sebagai satu ibadah kepada Allah juga?  Sebenarnya, termasuk juga yang menaiki kereta atau apa saja kenderaan, jika mematuhi peraturan atau adab-adabnya, jadilah pertualangan jauh dan dekat sebagai ibadah kepada Allah.

Namun, kelihatannya…. para penunggang motorsikal berkuasa tinggi dengan sengaja merancang untuk melanggar peraturan atau undang-undang jalan raya.  Had kelajuan paling tinggi ialah 110 km/j, namun semua penunggang motorsikal berkuasa tinggi dengan jelas menunggang kenderaan itu jauh lebih laju daripada yang dihadkan.  Adakah itu termasuk ketaatan kepada Allah?

Ya, semua bahagian pada undang-undang jalan raya hasil rekaan manusia, tidak disebut had laju 90 km/j atau 110 km/j itu dalam mana-mana surah al-Quran!  Secara jelas pula, Allah menyatakan hukum atau undang-undang Qisas dalam ayat 178 surah al-Baqarah.  Oleh kerana hukum Qisas tidak dikanunkan sepenuhnya, maka ‘orang pandai’ membuat kesimpulan undang-undang Allah tidak dilaksanakan di negara kita.  Maka masyhurlah ayat ‘sedangkan undang-undang Allah pun dilanggar, maka apa lagi undang-undang manusia’.  Semua ini merujuk kepada pemikiran ‘tidak apa’ melanggar undang-undang yang dibuat oleh pihak berkuasa, sebab pihak berkuasa didakwa mengabaikan undang-undang Allah.

Perhatikan pemikiran kita bab ibadah khusus seperti puasa.  Bukan main lagi semua mahu menjaga puasa supaya tidak ‘batal’, sehingga teliti sekali pertanyaan sama ada menangis itu membatalkan puasa atau tidak.  Ironisnya, tidak pula orang ‘meriah’ bertanya perkara-perkara yang membatalkan pahala ketika menunggang motorsikal atau menaiki kenderaan lain.  Ini sebagai gambaran, orang kita masih melihat kesucian atau keabsahan amal ibadah hanya ibadah khusus, bukan pada aktiviti kehidupan lain. Maka, orang akan pelik jika diberitahu, semakin banyak melanggar undang-undang jalan raya, semakin banyak pahala berkenderaan gugur hangus!

Allah mengiktiraf undang-undang yang dibuat oleh pihak berkuasa(yang disebut undang-undang dunia), seperti yang termaktub dalam ayat 59 surah an-Nisa’ “Wahai orang-orang yang beriman, patuhi Allah, patuhi rasul dan patuhi ulil amri (pihak berkuasa) dalam kalangan kamu…..”  Oleh kerana undang-undang jalan raya dibuat oleh pihak berkuasa untuk menjamin kesejahteraan semua penggunanya, maka kepatuhan terhadap undang-undang itu termasuk perintah kepada ‘orang-orang yang beriman’.  Tidak ada dikotomi kepatuhan kepada Allah dan rasul dengan ulil amri di sini.  Itulah yang dikatakan sistem Islam yang kaffah atau menyeluruh di dunia, patuh dalam ibadah khusus dan keduniaan lain.

Untunglah yang menjaga adabnya di jalan raya demi mematuhi perintah dalam al-Quran dan rugilah yang dengan sengaja memandang undang-undang jalan raya sebagai remeh temeh kerna dibikin manusia (ulil amri).  Orang yang bersikap mematuhi undang-undang Allah (sebab tertera jelas dalam al-Quran) dan mengabaikan undang-undang keduniaan lain, dari sudut politiknya berfikiran ‘politik suku agama suku’.

2 ulasan: