SALAHKAH sekumpulan umat membuat
persatuan berdasarkan kepentingan seperti bahasa, kegemaran, sejarah atau
kehendak politik? Islam meraikan amalan
demokrasi asalkan masih melandasi prinsip ajaran dalam al-Quran. Maka, tidak salah jika umah mahu membentuk
dua atau tiga parti politik, asalkan semua aktiviti dan perjuangan parti tidak
cenderung kepada amalan jahiliyah. Yang
salah ialah mengamalkan persatuan seperti cara orang Arab Jahiliyah berkabilah
atau berpersatuan.
foto hiasan
Yang dinamakan kabilah asabiyah
dan menyalahi ajaran al-Quran ialah seperti hanya mementingkan ahli kabilahnya,
dan menafikan kepentingan yang bukan ahli kabilahnya. Jika berlaku
pertelingkahan antara dua ahli kabilah, ahli setiap kabilah akan membela ahli
kabilahnya di samping memusuhi ahli kabilah yang dilawannya tanpa mengira
isunya benar atau salah. Misalnya, jika
kabilah A bermusuh dengan kabilah B, anak cucu dalam kabilah A diasuh supaya
memusuhi seluruh anggota kabilah B.
Segala sejarah dan asal-usul pertelingkahan antara kedua-dua kabilah
akan diajarkan supaya permusuhan itu diwariskan kepada generasi seterusnya, dan
perang kerana dendam wajib diteruskan.
Islam datang mendamaikan kabilah
yang bermusuhan. Perang Basus di Madinah antara suku Aus dan Khazraj pada zaman
jahiliyah tidak diteruskan setelah mereka menerima Islam. Malah Allah menyatakan bahawa perpaduan dalam
umah adalah nikmat sedangkan perpecahan merupakan dosa yang menempah azab
neraka.
Maksud ayat 103 surah Ali Imran, “Dan
berpegang teguhlah dengan tali Allah , dan janganlah kamu bercerai-berai, dan
ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahlu (zaman jahiliyah) bermusuhan,
lalu Allah mempersatukan hati kamu sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi
bersaudara, sedang (ketika itu) kamu berada di jurang api neraka. Lalu Allah
menyelamatkan kamu dari sana.
Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu agar kemu
mendapat petunjuk.”
Perhatikan pula ayat 105 surah Ali
Imran “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai-berai
dan berselisih setelah sampai kepada mereka keterangan yang jelas. Dan mereka
itulah orang-orang yang mendapat azab yang berat.”
Apakah tidak ada
perbedaan-perbedaan kumpulan masyarakat Islam pada zaman hidupnya nabi
s.a.w.? Secara tradisinya pun wujud
kabilah-kabilah Arab. Dalam masyarakat
Islam ada daripada Bani Hashim dan Bani Umayyah. Di Madinah pula terdapat golongan Muhajirin
dan Ansar. Dalam Masyarakat Ansar telah
bersejarah kabilah Aus dan Khazraj.
Setelah Makkah berjaya dikuasai oleh nabi s.a.w., berlaku Perang Hunain.
Setelah tamat perang, berlaku sedikit salah faham mengenai pembahagian harta
rampasan perang, bahawa Nabi s.a.w. melebihkan pembahagian kepada tentera Islam
Makkah (baru memeluk Islam) berbanding tentera Islam dari Madinah. Perbedaan
dalam kumpulan ada, tetapi mereka semua ‘dengar dan patuh’ terhadap wahyu Allah
dan saling berlapang dada serta memaafkan.
Oleh kerna membentuk persatuan itu
masih sah asalkan tidak bersifat kabilah jahiliyah, maka antara persatuan
khasnya yang bersifat politik tidak boleh sama sekali melanggar ayat 103 dan
105 di atas. Tidak ada alasan langsung
untuk membentuk persatuan demi melawan persatuan lain sedangkan kedua-duanya
masih muslim.
Ada yang berhujah, misalnya
persatuan X tidak mengamalkan ajaran Islam yang sempurna, maka patut umah
memasuki persatuan Y yang menjanjikan perjuangan dan amalan Islam yang sempurna. Jika itu prinsipnya, jelas sudah memecah
kesatuan umah sebab ‘berlaku gerakan mengajak masuk persatuan Y’ dan menolak
dengan berusaha membuktikan persatuan X salah, sekalipun semua ahli persatuan X
adalah muslim. Dalam prinsip Ahli Sunah
wal Jamaah, setiap orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah mesti diterima
sebagai muslim dan terjaga hak-haknya sesama muslim. Soal dia melakukan dosa atau tidak, itu
diserah kepada Allah.
Dalam keadaan wujud beberapa
persatuan atau parti yang dianggotai oleh muslim tidak boleh sama sekali saling
bertelingkah, apa lagi pertelingkahan hendak mendakwa kumpulannya sahaja yang
Islam dan yang lain tidak sempurna. Sejarahnya, puak Khawarij telah mengkafirkan
sahabat Nabi s.a.w. seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Muawiyah bin Abu Sufyan
dan Amru al-As, sedangkan asalnya Khawarij membawa slogan yang sangat baik
seperti ‘Tiada hukum selain kitabullah”. Sebab itu Khawarij tidak tergolong
dalam Ahli Sunnah wal Jamaah yang menjadi prinsip pegangan akidah kita di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan