KATA orang: Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula
tempat bermain. Salah satu tempat yang
penting dalam hidup saya ialah Maahad Ittiba’ us-Sunnah di Kampung Parit Kuala
Pilah Negeri Sembilan. Ditubuhkan sejak
tahun 1952, tetapi saya bukanlah antara pelajar sepenuh masa di maahad
itu. Namun pengembaraan saya ke sana
sekitar tahun 1987 hingga 1990 secara berkala untuk mencari titisan ilmu agama,
sangat bererti. Dari sana pemikiran saya
mengenai Islam sebagai agama dan sistem hidup sebagai titik tolak yang baru.
Maahad ini menawarkan sistem penterjemahan al-Quran
secara harfiah yang diusahakan oleh Ust Hashim Abd Ghani. Melalui sistem penterjemahan ini, seseorang
dapat memahami al-Quran tanpa merujuk kepada tulisan-tulisan terjemahan bahasa
Melayu. Mudah bicara, pelajar yang
berjaya, dia faham terus ayat-ayat al-Quran dalam bahasa Melayu.
Di samping itu, maahad ini juga memberikan pengajian berkenaan
sunah dalam ibadah. Semasa saya mula
hadir, ternyata kaget kerna imam solat memulakan lafaz bacaan al-fatihah tanpa
menyaringkan kalimah basmalah. Kemudian
pada akhir solat tidak ada bacaan wirid atau zikir bersama para makmum,
melainkan dilakukan sendiri-sendiri.
Apabila saya tanya salah seorang pelajar senior yang ada, jawabnya
mudah: Kami mengikuti sunah Nabi! Lalu
saya kaget, ‘apakah yang di luar madrasah ini tidak mengikuti sunah nabi?’ Maka saya terus belajar di sana.
Sebenarnya sejak keuzuran Ustaz Hashim, maahad ini
semakin kekurangan pelajar. Dan kini, maahad tidak mempunyai seorang pun
pelajar sepenuh masa. Maahad bertukar
fungsi sebagai pusat pengajian berkala dalam arena mengembangkan sunah nabi.
Ada faktor luar dan dalam yang menyebabkan kemerosotan
pengajian di maahad ini. Faktor dalaman
utama ialah tiadanya guru yang bertugas sepenuh masa di sana. Selama ini guru-gurunya bertugas secara suka
rela dengan sumber ekonominya secara berniaga atau bertani. Apabila guru itu meninggal dunia atau
penggantinya tidak lagi sanggup tinggal di desa itu, maka murid terpaksa
keluar.
Faktor kedua ialah sistem pengajian yang tidak
terancang. Maahad ini menerima pelajar
pada setiap masa, iaitu tanpa ada
permulaan dan akhiran sesi pengajian. Ini menyebabkan pelajar dan guru tidak
dapat membuat analisa pencapaian yang sistematik. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa tidak yakin
pelajar daripada sistem pengajian ini dapat diteruskan ke tempat yang lebih
jauh lagi.
Faktor luar ialah kepesatan pusat pengajian di luar
seiring dengan perkembangan dunia internet.
Diakui bahawa kemajuan dunia internet telah menyebabkan cara orang
belajar (termasuk bab agama) berubah dengan pantas. Maka untuk mendapat pengajian as-sunah,
dengan melayari internet jauh lebih berkesan berbanding tinggal di mana-mana
maahad. Tambahan pula maahad tidak
mempunyai senarai ustaz sebagai penal bab agama seperti hadis, tafsir, sirah
dan sebagainya.
Apa pun Maahad Ittiba us-Sunah telah memberi sumbangan
besar dalam pendidikan ilmu Islam. Entah
berapa banyak orang yang telah mendapat manfaat daripada maahad ini sama ada
secara langsung atau yang hadir secara eceran seperti saya. Nampaknya maahad tidak mempunyai rekod
pelajar-pelajar ini.
Pengalaman naik dan turunnya maahad ini wajar
dijadikan iktibar kepada mana-mana institusi agama untuk terus bertahan dan
berkembang seiring dengan perubahan zaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan