Pengikut

Jumaat, November 02, 2012

TAAT pemerintah: Antara UFB dan Maza


BUKAN rahsia, ustaz atau ulama muda yang berjuang atas manhaj sunah dan menyelisihi bid’ah rupa-rupanya sedang berselisih faham.  Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) mewakili satu pihak dengan Ustaz Fathul Bari (UFB)- foto kiri, di satu pihak lain.  Perselisihan mereka sebenarnya hanya aplikasi Islam dalam politik.  Umum sedia maklum UFB antara mereka yang disebut 40 ulama muda dalam Umno, manakala Dr Maza pula cenderung kepada politik Pakatan Rakyat (PR).  Di situlah gelanggang perbedaan pendapat mereka.

Golongan UFB mendakwa Dr Maza seorang rasionalis apabila mendakwa Islam membenarkan pemerintah dikritik secara terbuka seperti sekarang ini, dalam bentuk ceramah awam dan debat di institusi Perundang-undangan (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri).  Bagi UFB dan sahabat-sahabat ulama mudanya itu, pemerintah muslim tidak boleh ditegur atau dikritik di depan khalayak ramai.  Kumpulan ini bukan suka-suka berpegang kepada pendirian berkenaan, yang kepada pihak Dr Maza (foto bawah) pemahaman itu memandulkan pemikiran umah dan menjadikan pemerintah memerintah ‘beraja di mata bersultan di hati’.

UFB meletakkan dalil al-Quran dan hadis sahih, seperti wajib mentaati pemerintah dalam surah an-Nisa ayat 59. Kemudian beberapa hadis lain yang jelas bermaksud muslim dilarang menentang pemerintah.

Hadis ‘Irbadh bin Sariyah, (maksud sabda nabi s.a.w.): “Suatu hari Rasulullah s.a.w. solat bersama kami. Selesai solat, beliau menghadap kami lalu memberikan peringatan yang sangat mendalam, membuat berlinangan air mata dan menggetarkan hati. Hingga ada yang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, seakan-akan ini nasihat dari orang yang akan pergi. Lalu apakah yang engkau wasiatkan kepada kami?’. Beliau bersabda: ‘Aku wasiatkan kalian untuk bertaqwa kepada Allah, serta mendengar dan taat kepada pemimpin, walaupun dia adalah seorang hamba Habsyi…’” (HR Abu Daud 4607, disahihkan Al-Albani dalam Sahih Abi Dawud)

Maksud sabda  nabi s.a.w.: “Mendengar dan taatlah kalian (kepada pemerintah kalian), kecuali bila kalian melihat kekafiran yang nyata dan kalian memiliki buktinya di hadapan Allah” (HR. al-Bukhari dan Muslim)

Maksud sabda nabi s.a.w.: "Barangsiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati Allah, barangsiapa yang bermaksiat kepadaku maka ia telah bermaksiat kepada Allah. Barangsiapa yang mentaati amir/pemimpin maka ia telah mentaatiku, barangsiapa yang bermaksiat kepada amir/pemimpin maka ia telah bermaksiat kepadaku."  (HR. al-Bukhari dan Muslim)

Kepada UFB, pemerntah adalah pihak berkuasa bermula daripada Yang Dipertuan Agung sebagai Ketua Negara dan Badan Pelaksana atau Eksekutif. Eksekutif itu bermaksud kerajaan yang memerintah, yang kebetulan adalah Umno/Barisan Nasional.  Dr Maza juga mengakui pemerintah sebagaimana pemahaman UFB tetapi pemerintah masih boleh ditegur oleh muslim lain di depan khalayak terbuka.  Beliau juga memberikan dalil sahabat nabi s.a.w. iaitu Salman al-Farisi yang menegur Khalifah Umar secara terbuka.  Kepada Dr Maza ini adalah dalil generasi sahabat yang boleh diteladani dalam menegur pemerintah.  Namun pihak yang sefahaman dengan UFB pantas menyatakan bahawa kisah sahabat itu tidak mempunyai sanad, yang dalam pengkajian ilmu hadis, hadis tidak bersanad tidak boleh dijadikan dalil atau hujah!

Pada saya, UFB telah membawa satu pemahaman Islam berdasarkan amalan generasi salaf (terdahulu) yang cuba diaplikasikan dalam sistem demokrasi moden Malaysia.  Oleh itu manhaj UFB dan sahabat-sahabatnya sangat berlawanan dengan fikrah demokrasi yang dibawa oleh mana-mana ahli politik kepartaian termasuk ulama-ulama dalam Pas.  Maka tidak hairan, mereka yang berfikrah Islam alademokrasi (seperti zaman sekarang) pasti memberi gelar buruk seperti ‘kaki ampu dan penjilat pemerintah’ kepada UFB dan sahabat-sahabatnya.

Dr Maza dan kalangan sefikrahnya dalam Pas (misalnya) mahu membawa Islam dalam demokrasi berparti politik, maka mereka terpaksa menerima juga ayat 59 surah an-Nisa dan semua hadis bab ketaatan kepada pemerintah, tetapi difahami dalam ‘konteks semasa’.  Maknanya, semua dalil al-Quran dan sunah tidak boleh difahami secara harfiah atau literal, melainkan difahami berdasarkan zamannya.  Oleh kerna zaman sekarang sistem politiknya berasaskan demokrasi yang membenarkan teguran atau kritikan terbuka kepada pemerintah, maka sesiapa yang memahami dalil secara harfiah digolongkan sebagai ‘literalis’ atau jumud (kaku), tidak dapat memahami hal keduniaan yang sentaiasa berubah.

Saya pernah bertanya kepada salah seorang sahabat UFB, “bagaimana sekiranya Pas berjaya memerintah negara?” dan jawaban daripadanya ialah “wajib memberi ketaatan kepada pemerintah waktu itu (Pas)”.  Nampaknya UFB dan sahabat-sahabatnya berjalan atas prinsip.

Begitulah adanya di negara kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan