Halaman

Isnin, November 12, 2012

Maahad Ittiba' us-Sunah kenangan buat saya


KATA orang: Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.  Salah satu tempat yang penting dalam hidup saya ialah Maahad Ittiba’ us-Sunnah di Kampung Parit Kuala Pilah Negeri Sembilan.  Ditubuhkan sejak tahun 1952, tetapi saya bukanlah antara pelajar sepenuh masa di maahad itu.  Namun pengembaraan saya ke sana sekitar tahun 1987 hingga 1990 secara berkala untuk mencari titisan ilmu agama, sangat bererti.  Dari sana pemikiran saya mengenai Islam sebagai agama dan sistem hidup sebagai titik tolak yang baru.


Maahad ini menawarkan sistem penterjemahan al-Quran secara harfiah yang diusahakan oleh Ust Hashim Abd Ghani.  Melalui sistem penterjemahan ini, seseorang dapat memahami al-Quran tanpa merujuk kepada tulisan-tulisan terjemahan bahasa Melayu.  Mudah bicara, pelajar yang berjaya, dia faham terus ayat-ayat al-Quran dalam bahasa Melayu.

Di samping itu, maahad ini juga memberikan pengajian berkenaan sunah dalam ibadah.  Semasa saya mula hadir, ternyata kaget kerna imam solat memulakan lafaz bacaan al-fatihah tanpa menyaringkan kalimah basmalah.  Kemudian pada akhir solat tidak ada bacaan wirid atau zikir bersama para makmum, melainkan dilakukan sendiri-sendiri.  Apabila saya tanya salah seorang pelajar senior yang ada, jawabnya mudah: Kami mengikuti sunah Nabi!  Lalu saya kaget, ‘apakah yang di luar madrasah ini tidak mengikuti sunah nabi?’  Maka saya terus belajar di sana.

Sebenarnya sejak keuzuran Ustaz Hashim, maahad ini semakin kekurangan pelajar. Dan kini, maahad tidak mempunyai seorang pun pelajar sepenuh masa.  Maahad bertukar fungsi sebagai pusat pengajian berkala dalam arena mengembangkan sunah nabi.

Ada faktor luar dan dalam yang menyebabkan kemerosotan pengajian di maahad ini.  Faktor dalaman utama ialah tiadanya guru yang bertugas sepenuh masa di sana.  Selama ini guru-gurunya bertugas secara suka rela dengan sumber ekonominya secara berniaga atau bertani.  Apabila guru itu meninggal dunia atau penggantinya tidak lagi sanggup tinggal di desa itu, maka murid terpaksa keluar.

Faktor kedua ialah sistem pengajian yang tidak terancang.  Maahad ini menerima pelajar pada setiap masa, iaitu  tanpa ada permulaan dan akhiran sesi pengajian. Ini menyebabkan pelajar dan guru tidak dapat membuat analisa pencapaian yang sistematik.  Keadaan ini menyebabkan ibu bapa tidak yakin pelajar daripada sistem pengajian ini dapat diteruskan ke tempat yang lebih jauh lagi.

Faktor luar ialah kepesatan pusat pengajian di luar seiring dengan perkembangan dunia internet.  Diakui bahawa kemajuan dunia internet telah menyebabkan cara orang belajar (termasuk bab agama) berubah dengan pantas.  Maka untuk mendapat pengajian as-sunah, dengan melayari internet jauh lebih berkesan berbanding tinggal di mana-mana maahad.  Tambahan pula maahad tidak mempunyai senarai ustaz sebagai penal bab agama seperti hadis, tafsir, sirah dan sebagainya.

Apa pun Maahad Ittiba us-Sunah telah memberi sumbangan besar dalam pendidikan ilmu Islam.  Entah berapa banyak orang yang telah mendapat manfaat daripada maahad ini sama ada secara langsung atau yang hadir secara eceran seperti saya.  Nampaknya maahad tidak mempunyai rekod pelajar-pelajar ini. 

Pengalaman naik dan turunnya maahad ini wajar dijadikan iktibar kepada mana-mana institusi agama untuk terus bertahan dan berkembang seiring dengan perubahan zaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan