Pengikut

Rabu, April 03, 2013

PENJAJAHAN semula melalui pilihan raya


PILIHAN RAYA KE-13 akan dilaksanakan. Inilah janji demokrasi di Malaysia, satu bentuk pemilihan pemerintah atau sistem politik.  Demokrasi dan pilihan raya bukan berasal daripada Tamadun Melayu atau Islam. Secara jelas penjajah British yang memperkanalkan sistem pilihan raya seperti yang dilakukan di British.  Adakah British jujur terhadap negara kita apabila hendak memberi kemerdekaan dengan mengajar rakyat bahawa sistem demokrasi dengan pilihan raya?

gambar hiasan

Pilihan raya sudah dilaksanakan di Britain sejak kurun ke-16! Britain, seperti negara Barat yang lain mendakwa penjajahan bukan untuk mencarikekayaan, tetapi untuk menyebarkan tamadun.  Lebih dari itu ada yang mendakwa menjadi beban orang kulit putih untuk mengajar bangsa Asia mengenai peradaban atau tamadun!

Wilayah pertama diduduki British di Malaysia ialah Pulau Pinang, tahun 1786.  Berdasarkan catatan sejarah, tujuan Francis Light menguasai Pulau Pinang bukan untuk mengajar peradaban kepada rakyat Pulau Pinang atau Kedah.  Yang mereka mahu ialah sebuah pulau untuk dijadikan pelabuhan dan pangkalan tentera.  Selepas itu satu persatu wilayah Melayu dikuasai British, namun sehingga tahun 1942 (sebelum serangan Jepun di Malaya), tidak ada rekod apa-apa British mengajar rakyat berpolitik secara demokrasi seperti yang diamalkan di British sejak kurun ke-16.  Itu menjelaskan British memang tidak berniat langsung menjajah wilayah Melayu untuk mengajar tamadun demokrasi.

Hanya pada tahun 1949, apabila semakin banyak wilayah jajahan Barat di Asia mencapai kemerdekaan, dan mengetahui suara penduduk Melayu yang mahu merdeka, barulah idea mengajar erti demokrasi dan pilihan raya timbul. Sebelumnya pun sudah ada parti politik. Parti politik yang awal misalnya Parti Komunis Malaya (1931) dan Kesatuan Melayu Muda (1937).  Ada beberapa parti lain seperti Awas, Pemuda Insaf dan Hizbul Muslimin, tetapi British tidak pula mengajak diadakan pilihan raya sebelum Jepun datang.

Jadi mengapa mula tahun 1949 baru British berfikir hendak mengajar rakyat berpolitik dan pilihan raya? Ini ada kaitan dengan tujuan penjajahan dan terpaksa memberi kemerdekaan.  Tujuan penjajahan ialah mengaut kekayaan di wilayah Melayu, maka British membuat apa saja termasuk mengusung buruh dari India dan China. Jika wilayah Melayu merdeka tanpa orang Cina dan India, jelas kemerdekaan ini merugikan British sebab selama masa penjajahan, orang India dan Cina yang membantu British mengaut kekayaan Tanah Melayu.  Maka British memaksa semua pemimpin Melayu seperti Dato Onn Jaafar supaya menerima orang Cina dan Melayu sebagai rakyat.  Itulah syarat utama kemerdekaan, penerimaan Cina dan India sebagai rakyat.  Maka British membenarkan penubuhan parti politik kaum-kaum berkenaan.  Dari situlah, British mengajar bagaimana hendak membuat pilihan raya, dengan pilihan raya bandar Kuala Lumpur tahun 1952.

Apabila pilihan raya sudah menjadi sistem dan diterima, maka nyata niat British sudah tercapai. Pertama, beban mereka membawa semua buruh Cina dan India sudah dipindahkan kepada orang Melayu. Tanah Melayu yang asalnya 100 peratus hak orang Melayu, terpaksa dikongsi dengan 35 peratus bukan Melayu.  Kedua, British tahu orang Melayu ada tamadun dan budaya sendiri yang sangat berbeda dengan budaya British.  Dan British tahu kaum Cina dan India lebih mudah menerima peradaban atau tamadun Barat, berbanding orang Melayu.  Oleh itu, British memberi jalan kepada keturunan buruh Cina dan India untuk mengurangkan apa juga kehendak penduduk asal, iaitu Melayu.  Jalannnya ialah demokrasi dan pilihan raya.

Melalui pilihan raya banyak penjajahan British terus berlangsung walaupun Tanah Melayu mendapat kemerdekaan.
Pertama, inilah caranya memecahkan penguasaan orang Melayu dalam politik di Tanah Melayu.  Dengan pilihan raya, orang Melayu tidak akan sepenuhnya berkuasa, mereka mesti berkongsi kuasa.  Dengan cara ini orang bukan Melayu menjadi pengawas  atau pendesak utama jika ada usaha menjadikan Tanah Melayu sebagai negara tulen tamadun Melayu atau Islam.  Alasannya, suara bukan Melayu dalam demokrasi mesti didengar.

Kedua,  inilah caranya melemahkan kuasa  yang ada (65 peratus bangsa Melayu) di Malaysia  (dulu Tanah Melayu).  Dengan membenarkan penubuhan beberapa parti Melayu, maka 65 peratus bangsa Melayu berpecah-pecah sehingga tiada lagi kuasa politik 65 peratus.  Oleh itu pilihan raya yang diajarkan British pasti memberi keuntungan kepada sekutunya di negara ini iaitu kaum bukan Melayu.  Lihatlah saja hari ini, semua usaha parti politik Islam/Melayu hendak menguatkuasakan nilai-nilai dan budaya Islam mesti ditentang oleh kaum bukan Melayu.  Mana-mana parti Melayu/Islam mesti menagih pertolongan parti-parti bukan Islam/Melayu untuk berkuasa.  Apa lagi kuasa yang ada?  Inilah yang British mahu dahulu.

Walaupun al-Quran mengajar orang Islam/Melayu supaya bersatu dan mengharamkan perpecahan, namun semua tidak menghiraukannya.  Demokrasi dan pilihan raya adalah segala-galanya dan kepuasan hakiki.  

Jika orang Islam/Melayu berpegang kuat kepada ajaran al-Quran, mereka pasti bersatu dalam satu parti. Oleh itu mereka masih mempunyai kuasa yang besar (65 peratus) walaupun tidak semua 100 peratus.  Orang bukan Islam pun sentiasa sedar keadaan ini, sebab itulah mereka akan mengikat mana-mana parti Islam/Melayu agar tidak membuat apa-apa persetujuan antara satu sama lain.

Itulah  sebabnya pertelingkahan orang Melayu dalam politik sentiasa hangat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan