Pengikut

Sabtu, Mac 09, 2013

JANGAN bicara bid'ah, serukan solat!


DALAM forum malam Jumaat di kaca TV. Seorang panel menegaskan supaya jangan bicara soal remeh-temeh dalam agama seperti baca qunut atau tidak, tahlil itu sunah atau tidak!  Katanya lagi fokus utama sepatutnya berdakwah supaya orang Islam menunaikan solat.  Klise!  Sejak puluhan tahun, tema dan ayat yang sama diutarakan sebagai reaksi adanya diskusi berkaitan sunah dan bid’ah.  Secara peribadi saya, sejak tahun 1986 lagi, itulah yang diucapkan termasuk oleh rakan-rakan senior saya dalam usrah dahulu.

Adakah orang yang bicarakan sunah dan bid’ah sebenarnya mengabaikan atau melalaikan dakwah supaya orang melaksanakan solat? 

Adakah apabila sejak ditulis berkaitan sunah dan bid’ah dalam media, maka sudah kurang seruan supaya anak muda melakukan solat?

Adakah apabila ustaz menyebut pentingnya sunah dan bahaya bid’ah, maka ustaz-ustaz ini sudah tidak perduli soal krisis akidah yang mengakibatkan anak-anak dan remaja tidak menunaikan solat?

Berterus-terang saja, sebagian orang yang membuat ayat ‘jangan bicarakan sunah dan bid’ah, sebaliknya berdakwahlah supaya orang solat sebab banyak sangat anak muda yang tidak solat’ sebenarnya membuat ayat melarikan diri dalam isu sunah.  Dia seolah-oleh sedang memberitahu khalayak bahawa urusan dakwah supaya anak muda menunaikan solat tidak ada dalam sunah nabi s.a.w.!

Adalah dusta sama sekali orang yang menyatakan pentingnya sunah dan busuknya bid’ah merupakan orang yang melalaikan seruan supaya anak muda solat.  Malah, orang yang sayangkan sunah dan bencikan bid’ah itulah yang sangat tegas mendakwah supaya orang solat, malah pegangan mereka bab hukum solat berjamaah itu jauh lebih mantap berbanding dengan orang yang melalaikan pentingnya sunah.

Kemudian, satu lagi sindiran kepada ustaz atau orang yang menyebut sunah dan bid’ah, ialah mereka hanya sibuk perkara bid’ah tetapi melupakan maksiat orang muda atau pemerintahan yang zalim!  Ini pun satu lagi pelarian isu sunah atas sebab yang dia sendiri tahu.

Adakah skop sunah yang diperjuangkan tidak termasuk menyatakan sikap terhadap dosa pergaulan bebas dan rasuah? 

Adakah ustaz-ustaz yang mendakwahkan pentingnya melakukan sunah dalam ibadah merupakan orang yang jahil terhadap kemungkaran dalam sosial, ekonomi dan politik?

Hakikatnya, apabila apa yang selama ini dibuktikan sebagai tidak menepati apa yang Rasulullah seru (sedangkan selama ini mereka membentuk imej Islam), maka di situlah mereka mula berasa tercabar imej dirinya.  Maka mulalah mereka membuat helah-helah dan mempengaruhi orang lain agar tidak menyahut seruan kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunah.

Taktik yang selama ini berkesan untuk menghalang orang menyatakan cinta sunah dan benci bid’ah ialah ‘wahabi’.  Dan mereka memberi maksud wahabi sebagai ‘kerjanya hanya membid’ahkan amalan orang’.  Jika tidak tersentuh dengan pendedahan ayat-ayat alquran dan hadis sahih, mengapa perlu sesak nafas dan berpeluh?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan