BERAPA banyak berita dusta yang didengar hari
ini? Dan berapa banyak pula berita dusta
pada esok hari dan seterusnya?
Hakikatnya berita dusta ada di mana-mana dan penyebarnya juga mungkin
saja diri kita sendiri atau orang-orang yang dekat dengan kita.
Mengapa kita suka mendengar berita dusta? Sebabnya dalam fikiran kita sudah padat
bersarang anggapan buruk terhadap sesuatu.
Maka asal saja ada berita yang ‘tidak enak’ berkenaan hal dia, tentu
akal fikiran kita pantas menyambut dengan sangkaan buruk yang panjang
mengenainya. Jika kita tidak bermasalah
dengannya, tidak ada anggapan buruk. Maka mudah saja kita menerima berita
berkenaan dia menjadi ‘seadanya saja’, tidak sangka buruk lagi!
Ada sebab lain berita dusta menjadi hidangan lazat,
iaitu kerja tukang fitnah. Kepakarannya
mengulas dengan rinci sesuatu berita yang masih belum jelas atau tuntas,
menjadikan berita itu satu kelazatan deria.
Telah berlaku kepada isteri Rasulullah s.a.w., iaitu ‘Aisyah binti Abu
Bakr saat kehilangan kalung dan kemudian beliau tertinggal oleh konvoinya. Kemudian ‘Aisyah ditemui seorang pemuda iaitu
Syafwan, yang membawanya kepada konvoi Rasulullah. Nah, ini berita! Isteri muda Rasulullah s.a.w. berjalan dengan
lelaki muda (walau ‘Aisyah di atas unta dan Safwan berjalan kaki).
walhal hanya andaian yang tidak atau belum dipastikan
benar atau salahnya.
Maka gegerlah masyarakat. Orang yang selama ini beriman kepada
Rasulullah s.a.w. pun turut terpaut dengan berita ‘Aisyah, sehingga Allah
memberitahu hal sebenar. Surah an-Nur
ayat 11, “Sungguh orang-orang yang membawa berita dusta itu adalah daripada
kalangan kamu juga. Janganlah kamu
mengira berita dusta itu buruk bagi kamu, bahkan ia adalah baik (juga) bagi
kamu. Setiap seorang daripada mereka
mendapat balasan dosa yang dikerjakan.
Dan sesiapa antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam
penyebaran berita dusta itu baginya siksaan yang besar.”
Aeri ayat 12 pula, “Mengapa pada waktu kamu
mendengar berita dusta itu lelaki dan perempuan yang beriman tidak BERSANGKA
BAIK terhadap diri mereka sendiri dan tidak berkata ‘ini adalah berita dusta’.
Sebenarnya Allah menempelak sebagian hamba-hamba
yang beriman waktu itu. Selama ini
mereka sangat bersangka baik kepada Rasulullah dan keluarganya, tetapi pada
peristiwa itu sebagian mereka mendengar dan menyebarkan berita dusta yang
dibawa oleh si munafik!
Ada satu pengajaran yang berguna dalam kehidupan
kita.
Pertama:
Dalam perkara yang jelas mengenai orang yang baik akhlaknya, jika timbul
cerita buruk maka berita itu sangat perlu diteliti. Malah bersangka baik dahulu sangat dituntut.
Kedua: Pihak
musuh (contohnya munafik) memang telah
padat dengan buruk sangkanya. Oleh itu
jika ada kejadian yang ‘aneh’ ini menjadi peluang kepadanya membuat tafsiran
yang buruk. Golongan seperti ini
sebenarnya dapat dikenal dengan kebiasaannya, suka membuat tafsiran buruk apa
saja untuk mencapai niat jahat kepada orang/pihak yang tidak disukainya.
Inilah pengajaran al-Quran. Jika orang mengatakan
kebobrokan masyarakat muslim akibat tidak mengamalkan ajaran al-Quran, maka
eloklah sedaya upaya kembali kepada ajarannya.
Kepada yang telah mendakwa bersikap dan memperjuangkan Islam, jauh lebih
elok jika dirinya terdahulu menepati ajaran al-Quran.
Apa yang kita mahu?
Jangan menjadi tukang cerita atau tafsir keburukan. Itu sudah jelas arahan Allah. Bayangkan berapa banyak kedamaian masyarakat
jika 50 peratus orang yang selama ini menjadi penjaja berita dusta, kini
menghantikannya kerna beriman dengan al-Quran.
Masalah utama ialah kecenderungan ahli masyarakat
yang berpengaruh dalam politik kepartaian.
Politik ini sangat terjebak kepada buruk sangka antara partai dan
orang-orang yang tidak disukainya.
Kemudian orang bawah-bawah kerap menjadi penyebarnya. Malanglah jika orang yang menyebarkan berita
dusta termasuk seperti Si Munafik zaman Nabi s.a.w. yang tidak mendapat rahmat
keampunan. Namun beruntunglah jika yang
telah terjebak segera bertaubat kemudian mendapat rahmat keampunan Allah. Seperti maksud firman Allah dalam ayat 14 surah an-Nur, “Sekiranya tidak ada kurnia
Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua
di dunia dan akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar, kerna pembicaraan
dusta itu.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan