Pengikut

Selasa, Februari 12, 2013

SOLAT apa yang dalilnya 'tidak ada dalil'?


HANYA muslim yang hilang akal akan mengatakan ayat-ayat al-Quran sebagai ‘tidak baik’.  Semua muslim pun setuju bahawa membaca al-Quran merupakan satu ibadah khusus kepada Allah.  Pembacanya akan diberi pahala oleh Allah.  Solat juga satu ibadah khusus kepada Allah. Juga, hanya muslim yang hilang akal akan mengatakan solat sebagai ‘tidak baik’.


Jika membaca al-Quran dan solat itu memang amalan baik, bolehkah orang bersolat membaca al-Quran sewaktu sujud dalam solat?

Berdasarkan pertimbangan akal, tentulah kita mengatakan ‘baik’ membaca mana-mana ayat al-Quran ketika sujud. Namun ibadah bukanlah berdasarkan pertimbangan akal manusia, melainkan diberi contoh oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pesuruh Allah.  Oleh kerna Nabi s.a.w. menyebut dalam hadisnya (maksud) “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” (HR al-Bukhari dan Muslim), maka menjadi kewajiban mengikuti pergerakan dan bacaan yang dilaksanakan oleh Nabi s.a.w.  Oleh kerna surah al-Fatihah dibaca oleh Nabi s.a.w. pada setiap baginda berdiri dalam solat, maka itulah dalil di mana ayat al-Quran dibaca dalam solat.  Oleh kerna sewaktu sujud, Nab s.a.w. membaca tasbih, tidak membaca ayat al-Quran, maka itulah dalil tidak boleh dibacakan ayat al-Quran dalam sujud solat.

Jika orang bertanya, “Salahkah membaca ayat al-Quran ketika sujud?  Bukankah tidak ada dalil Nabi s.a.w. melarang membacanya.”

Jawabnya memang salah sebab menyalahi arahan Nabi s.a.w. “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat”.  Jika masih berhujah bahawa ‘tidak munasabah dilarang membaca wahyu Allah dalam sujud”, juga baginda Nabi s.a.w. sudah berkata (maksud), “setiap amalan yang tidak daripada suruhan kami, maka ia tertolak” (HR Muslim).  Ini bermakna betapa hebat hujah akal manusia untuk melakukan amal ibadah jika tidak sesuai dengan petunjuk sunah Nabi s.a.w., hanyalah amalan yang sia-sia. Hanya mendapat penat lelah dan membuang masa!

Begitulah juga kepada beberapa persoalan berikut:

Mengapa orang tidak melakukan solat sunat rawatib (solat sebelum dan sesudah solat fardu) secara berjamaah, sedangkan Nabi s.a.w. mengatakan pahala solat berjamaah berganda-ganda berbanding solat sendirian.  Jawabnya, tidak ada dalil atau petunjuk sunah Nabi s.a.w. untuk berbuat begitu.

Mengapa orang tidak melakukan solat Subuh empat rakaat sedangkan waktunya dalam hening dan sangat sesuai beribadah kepada Allah?  Mengapa pula solat zuhur empat rakaat, sepatutnya dua rakaat sahaja sebab waktu itu sangat sibuk dan suasana hirup-pikuk siang hari.  Jawabnya tidak ada dalil atau petunjuk sunah Nabi s.a.w. solat Subuh empat rakaat dan Zuhur dua rakaat saja.

Setelah itu bagaimana sebilangan orang melakukan amal ibadah yang tidak ada dalil atau petunjuk Sunah Nabi s.a.w. seperti berikut:

Solat hajat berjamaah. Hadis solat memohon kepada Allah ditunai hajat ada, melakukannya secara berjamaah tidak ada pula.

Membaca ayat al-Quran (surah al-Fatihah) yang pahalanya dihadiahkan kepada Junjungan Besar Nabi s.a.w. dan para sahabat.  Tidak ada dalil atau petunjuk sunah Nabi s.a.w.

Cukuplah dua contoh untuk kita bermuhasabah supaya sentiasa mengembalikan amal ibadah berdasarkan sunah Nabi s.a.w.  Hal ini bermakna, kita mestilah juga sentiasa mencari ilmu khasnya dalam bab ibadah.  Amatlah pelik apabila kita yakin bahawa hal ibadah merupakan yang utama diperhitungkan di sisi Allah berbanding kerja-kerja harian mencari harta, tetapi dalam bab yang utama Allah akan perhitungkan itu masih dibuat secara ‘umum’ sedangkan hal kerja mencara harta kita cukup mahir dalil (sumber ilmu) dan tafsirannya (selok-beloknya)!

1 ulasan:

  1. sebenarnya ada dalil hadis larangan membaca al-quran semasa rukuk dan sujud. Harap dapat tingkatkan pembacaan dan bertanya yang lebih arif.


    Salahuddin

    BalasPadam