KELAK, orang dalam syurga Allah bisa berdialog
dengan ahli neraka! Sekali fikir, seolah-olah antara syurga dan neraka hanya
dipisah batas-batas seperti sempadan sawah ladang. Lalu orang dalam ladang kanan
bertanya kepada orang dalam ladang kiri. Memahami dahsyatnya neraka dan
nyamannya syurga, akal pun berfikir tak mungkin begitu dekat dan tipis sekali
sempadan antara kedua-duanya. Namun
dengan adanya teknologi komnikasi di dunia ini, kian memberi faham kehebatan
alam syurga sehingga orang di dalamnya langsung bicara dengan orang yang dalam
azab yang sangat dahsyat!
Maksud ayat 41-48 surah Al-Muddatsir, “Apakah
yang memasukkan kamu dalam Saqar (neraka)? Mereka menjawab, ‘kami dahulu (di
dunia) tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat, dan tidak pula
memberi makan orang miskin. Dan kami
membicarakan hal batil (salah) bersama orang-orang yang membicarakannya. Dan kami juga mendustakan Hari Pembalasan,
hingga datang kematian.’ Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafaat daripada
orang-orang yang memberikan syafaat.”
Walaupun dalam tafsir Ibnu Katsir dan Al-Azhar
tidak memberikan catatan sama ada mereka di dunia muslim atau bukan, namun
boleh disimpulkan bahawa orang yang dihukum dalam neraka Saqar mengaku muslim. Jawaban
bahawa ‘kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat’ jelas
mereka mengaku muslim, namun mengabaikan sama sekali kewajiban solat. Mengaku muslim, tidak solat maka tempatnya di
Saqar. Orang-orang yang sama mengaku kikir, tidak prihatin dengan orang lain
yang susah kehidupannya, maka Saqar juga tempatnya. Ketiga, mereka juga suka berkata-kata yang
batil, salah, keji, termasuklah mengumpat atau menggunjing peribadi orang,
tempatnya juga Saqar. Oh rupanya selama hidup mereka juga tidak mahu percaya
adanya pembalasan hari akhirat.
Penulis tafsir Al-Azhar menyatakan, “misalnya ada
orang yang taat mengerjakan sembahyang, padahal dia tidak menyediakan makanan
untuk orang miskin, percumalah sembahyangnya itu dan belumlah berarti ibadahnya
kepada Tuhan. Atau sebaliknya, dia
seorang yang berkhidmat dalam masyarakat, suka menolong orang susah, suka menyediakan
makanan bagi orang yang melarat dan
miskin, padahal dia tidak mengerjakan sembahyang mengingati Allah. Kebajikan sesama
manusia pun tidak ada artinya, karena
dia tidak mengadakan hubungan baik dengan Tuhannya. Di samping itu (di
baliknya. pen.) maka orang yang taat sembahyang dan hidup berkasih-sayang
dengan sesamanya manusia itu, dengan sendirinya tidak mahu mencampuri perkataan
yang tidak keruan, yang tidak ketentuan hujung pangkal….”
Bagi dosa ketiga, kata Qatadah “Iaitu setiap orang
yang menyimpang (tersasar ucapannya. pen.) maka kami mengikutinya.”
Kata guru saya Dr. Mohd Yusof Hassan yang mengajar
Pemikiran Saintifik dahulu, “politik selalu membesar-besarkan perkara kecil.
Yang sejengkal dijadikan berjela-jela.”
Nampaknya, di sekeliling kita banyak orang yang suka membualkan
kebejatan orang dengan menokok tambah atau membuat tafsiran-tafsiran atas nama
politik, bukanlah orang yang tidak solat atau kikir terhadap orang miskin. Berjaga-jagalah, jangan kita fikir solat tak
pernah cuai malah ada kalanya menjadi imam dengan lilitan serban menjadi satu
kepercayaan kuat bahawa sudah sempurna sebagai muslim lalu, berbicara palsu
atau mendengarnya bukan lagi penyebab dimasukkan ke dalam Saqar!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan