Pengikut

Jumaat, Februari 08, 2013

APAKAH berpartai itu bukan asabiyah?


ISLAM tidak melarang muslim menyertai apa juga persatuan berdasarkan bangsa atau partai politik.  Malah Allah telah mengiktiraf kepelbagaian suku kaum dalam surah al-Hujurat.  Yang dilarang ialah fanatisme suku kaum dengan melakukan kezaliman terhadap suku kaum selainnya.  Sebenarnya, kezaliman atau tidak adil itulah yang menjadi teras keharaman dalam berpersatuan atau berpartai.


Zaman Arab Jahiliah tidak ada partai politik berteraskan ideologi, tetapi lumrah pembentukan kabilah berdasar kaum yang memang jelas untuk merebut kekuasaan.  Maka tidak sukar untuk mencari perbandingan antara kegiatan berkabilah zaman Jahiliyah dengan berpartai politik zaman demokrasi kini. Dalam Sirah Ibnu Hisyam tercatat persaingan sengit antara kabilah Bani Abdul Manaf bin Qusai dengan Bani Abdudaar bin Qusai untuk melayani para Jemaah haji di Makkah.  Begitu juga sangat jelas permusuhan antara sesama Arab di Yastrib iaitu kabilah Aus dengan Khazraj.

Persoalan dasar dalam asabiyah yang diharamkan dalam Islam bukan menyertai kabilah atau partai, tetapi fanatisme atau ketaatan membabi-buta terhadap kabilah atau partai.  Sangat jelas dalam system berkabilah Arab Jahiliyah ialah setiap anggota kabilah mesti mempertahankan anggotanya tanpa mengira mereka benar atau salah.  Anggota kabilah sanggup berperang dan mati demi anggota kabilahnya!  Kabilah-kabilah Arab juga bergabung membentuk pakatan dan menjadi tangung jawab satu kabilah membela kabilah lain yang bergabung dengan kabilahnya.  Ini dapat dibuktikan dalam Perjanjiah Hudaibiyah, pihak Makkah dan Madinah bebas menerima mana-mana kabilah yang mahu menyertainya.

Oleh kerna Islam itu agama persaudaraan dan membawa kesejahteraan, agama ini tidaklah melarang fitrah setiap manusia yang suka dengan suku kaumnya sendiri.  Bahawa Nabi s.a.w. daripada Bani Hasyim dan mendapat manfaat daripada amalan asabiyah berkabilah ini.  Abu Talib bin Abdul Mutalib merupakan tokoh besar dalam kabilah Bani Hasyim merupakan pembela Nabi Muhammad sekalipun beliau tidak mengakui kerasulan ponakannya, Muhammad bin Abdullah.  Apabila Abu Talib meninggal dunia, hilanglah pembela utama Nabi s.a.w.

Berpartai politik pada zaman moden demi mengisi ruang demokrasi masih tidak salah seperti kedudukan Nabi dalam budaya berkabilah Arab.  Namun fanatisme terhadap partai merupakan amalan jahiliyah yang dibenci Nabi s.a.w. sehingga baginda menyebut sesiapa yang mati dalam usaha fanatisme kabilah atau partai, matinya mati jahiliyah, mati bukan dalam iman! Maksud sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, “Barangsiapa berjuang di bawah bendera kefanatikan, bermusuhan kerna kesukuan dan menyeru kepada kesukuan, serta tolong menolong atas dasar kesukuan maka bila dia terbunuh dan mati, matinya seperti jahiliyah”. ( HR. Muslim )

Permusuhan antara muslim yang berdasarkan membela suku kaumnya, juga satu bentuk asabiyah.  Ini telah berlaku dahulu. Dari Jabir bin Abdillah r.a., dikatakan, "Kami pernah berperang bersama Nabi Muhammad s.a.w. kemudian salah seorang daripada kaum Muhajirin menolak salah seorang daripada kaum Ansar. Orang Anshar tersebut berkata, 'Wahai orang-orang Ansar!' Orang muhajirin pun berkata, 'Wahai orang-orang Muhajirin!' Lalu Rasulullah saw berkata, 'Ada apa dengan panggilan jahiliyah tersebut?' Mereka berkata, 'Wahai Rasulullah sesungguhnya salah seorang daripada kaum Muhajirin menolak salah seorang daripada kaum Ansar.' Kemudian Rasulullah saw bersabda, 'Tinggalkanlah panggilan jahiliyah tersebut kerna ia berbau busuk'." (HR Muslim).  Sehingga Nabi s.a.w. sangat tegas menyatakan "Bukan dari golongan kami siapa saja yang mengajak kepada asabiyah, bukan pula daripada golongan kami orang yang berperang kerna asabiyah, dan tidak juga termasuk golongan kami orang yang mati kerna asabiyah." (HR Abu Dawud).  Wailah bin al-Aqsa pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Apakah yang dimaksud dengan asabiyah itu?" Maka jawab Rasulullah s.a.w., "Kamu membela golonganmu pada kezaliman." (HR Abu Dawud).

Perhatikanlah perjalanan dan semangat fanatisme dalam parti-parti politik hari ini.  Tidak jauh bedanya dengan semangat kesukuan Arab jahiliyah dahulu, walhal partai-partai itu didukung oleh muslim.  Kerna mempertahankan partainya dalam perebutan kuasa,  misalnya partai A sentiasa mencerca partai B.  Apa saja kelemahan anggota atau peribadi ahli parti B akan dihebohkan dan dibesar-besarkan supaya parti A hilang sokongan.  Jika ada anggota parti A yang melakukan kesalahan, akan disembunyikan dan dibela atas kewajaran tertentu.  Kepada anggota partai B yang berpaling tadah kepada partai A akan diraikan sebagai tetamu istimewa.  Sebaliknya jika anggota parti A yang menyeberang ke parti B, pasti dicerca dan dibongkar segala kebusukannya yang selama ini disembunyikan.  Begitu juga apa yang dilakkan oleh partai B terhadap mushnya, partai A.

Jika perbuatan seperti di atas bukan asabiyah yang diharamkan oleh Islam, mahu dikatakan apa lagi.  Bukan soal partai itu Islam atau tidak, soalnya ialah kezaliman dalam berpartai politik sesama muslim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan