Mudah orang memberi contoh adat Minangkabau jika mahu
memberi bukti orang mengutamakan adat berbanding agama. Di tempat saya pun …, sejak kecil sering
mendengar ungkapan yang orang Minangkabau lebih mengutamakan adat berbanding
agama. Kalau di sekolah guru menyebut ‘Biar
mati anak jangan mati adat’ maka tergambarlah orang Minangkabau!
bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan
mahram juga adat bukan ajaran agama.
Fakta yang salah! Kita bicara orang Melayu di Malaysia
saja. Sejak dahulu kala, adat dan agama
susah dipisahkan. Kepada orang Melayu
adat itu seperti agama dan begitulah sebaliknya. Berbaju Melayu dan bersongkok pada hari
Jumaat itu adat Melayu, tapi sudah digazetkan sebagai pakaian agama pula. Susah juga hendak meyakinkan orang bukan
Melayu bahawa adat-adat Melayu bukan agama Islam. Susah…!
Lihat kebijakan British dahulu mengambil hati Sultan
dengan memberi baginda hak kekuasaan ke atas agama Islam dan adat resam Melayu. Lalu orang Melayu pun reda apa juga tindakan
British asalkan Raja-raja Melayu masih ada kuasa. Sampai sekarang sudah termaktub dalam semua
perlembagaan negeri bahawa Raja atau Sultan berkuasa dalam hal agama dan adat
resam Melayu.
Rakan-rakan dalam Facebook yang memperjuangkan
ketepatan agama mengeluh mengenai adat orang Melayu melayan bulan Ramadan dan
Hari Raya. Berpuasa siang hari sepanjang
Ramadan itu ibadah dalam agama, jadi mana yang adat Melayunya? Adat Melayunya ialah berduyun-duyun ke masjid
kerna keseronokan bersama jiran dan teman.
Bab seronok memang tidak lama.
Begitulah saban tahun dalam Ramadan, orang Melayu memenuhi masjid pada
awal Ramadan dan menghilang pada penghujungnya.
Itulah adat. Susah nak hilangkan
adat ini sebab seakan itulah kehendak agama.
Hari raya pun ibadah, sehari saja. Yang sehari itulah umat digesa solat sunat
eid, memakai pakaian baru, bertakbir, menziarahi rumah jiran dalam suasana
gembira. Hari kedua apa? Hari kedua
sebenarnya sudah balik seperti hari-hari biasa, tetapi orang Melayu masih panas
berhari raya: Ziarah dan makan di sana sini.
Itu adat saja, bukan lagi dalam ibadah.
Oleh kerna adat Melayu ini besar, maka persiapan melaksanakan adat hari
raya juga mestilah memakan masa dan kos yang agak tinggi. Itu yang dua minggu
sebelum hari raya sudah terperap di rumah hendak menghias rumah, menjahit baju
dan membakar kuih-muih. Jika hari raya
betul-betul hanya sehari, pasti tidak ada jualan mega atau promosi sejuta
barangan seluruh kota. Apa mahu pakai
dan makan untuk sehari? Tak perlu persiapan dua minggu.
Kerna kita orang Melayu mengutamakan adat hari raya
itulah maka dikorbankan masa solat jamaah Isyak
dan tarawih. Harap-harap betul
mereka tarawih atau solat malam sendiri di rumah. Jika tidak solat malam juga, sahlah mereka
utamakan adat berbanding agama. Betul
kata peribahasa: Biar mati anak jangan mati adat. Boleh ubah sedikit, tapi agak
kasar: Biar mati agama asal jangan mati adat!
Gembira Hari Raya itu apa? Ketawa, main bunga api dan
ketawa di depan peti TV? Itu semua adat
melayu dalam bergembira. Gembira dalam
agama bersyukurlah, senyum kepada orang lain dan berceritalah yang indah-indah
ketika bertemu supaya suasana tidak bersedih atau pilu.
Boleh diubahkah adat-adat ini? Susah… Oleh itu
janganlah mudah mengatakan yang lebih mengutamakan adat berbanding agama hanya
orang Minangkabau! Betulkan tanggapan
anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan