Halaman

Khamis, Ogos 16, 2012

ORANG Minang atau Melayu beradat Hari Raya?


Mudah orang memberi contoh adat Minangkabau jika mahu memberi bukti orang mengutamakan adat berbanding agama.  Di tempat saya pun …, sejak kecil sering mendengar ungkapan yang orang Minangkabau lebih mengutamakan adat berbanding agama.  Kalau di sekolah guru menyebut ‘Biar mati anak jangan mati adat’ maka tergambarlah orang Minangkabau!

bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan
mahram juga adat bukan ajaran agama.

Fakta yang salah! Kita bicara orang Melayu di Malaysia saja.  Sejak dahulu kala, adat dan agama susah dipisahkan.  Kepada orang Melayu adat itu seperti agama dan begitulah sebaliknya.  Berbaju Melayu dan bersongkok pada hari Jumaat itu adat Melayu, tapi sudah digazetkan sebagai pakaian agama pula.  Susah juga hendak meyakinkan orang bukan Melayu bahawa adat-adat Melayu bukan agama Islam.  Susah…!

Lihat kebijakan British dahulu mengambil hati Sultan dengan memberi baginda hak kekuasaan ke atas agama Islam dan adat resam Melayu.  Lalu orang Melayu pun reda apa juga tindakan British asalkan Raja-raja Melayu masih ada kuasa.  Sampai sekarang sudah termaktub dalam semua perlembagaan negeri bahawa Raja atau Sultan berkuasa dalam hal agama dan adat resam Melayu.

Rakan-rakan dalam Facebook yang memperjuangkan ketepatan agama mengeluh mengenai adat orang Melayu melayan bulan Ramadan dan Hari Raya.  Berpuasa siang hari sepanjang Ramadan itu ibadah dalam agama, jadi mana yang adat Melayunya?  Adat Melayunya ialah berduyun-duyun ke masjid kerna keseronokan bersama jiran dan teman.  Bab seronok memang tidak lama.  Begitulah saban tahun dalam Ramadan, orang Melayu memenuhi masjid pada awal Ramadan dan menghilang pada penghujungnya.  Itulah adat.  Susah nak hilangkan adat ini sebab seakan itulah kehendak agama.

Hari raya pun ibadah, sehari saja.  Yang sehari itulah umat digesa solat sunat eid, memakai pakaian baru, bertakbir, menziarahi rumah jiran dalam suasana gembira.  Hari kedua apa? Hari kedua sebenarnya sudah balik seperti hari-hari biasa, tetapi orang Melayu masih panas berhari raya: Ziarah dan makan di sana sini.  Itu adat saja, bukan lagi dalam ibadah.  Oleh kerna adat Melayu ini besar, maka persiapan melaksanakan adat hari raya juga mestilah memakan masa dan kos yang agak tinggi. Itu yang dua minggu sebelum hari raya sudah terperap di rumah hendak menghias rumah, menjahit baju dan membakar kuih-muih.  Jika hari raya betul-betul hanya sehari, pasti tidak ada jualan mega atau promosi sejuta barangan seluruh kota.  Apa mahu pakai dan makan untuk sehari? Tak perlu persiapan dua minggu.

Kerna kita orang Melayu mengutamakan adat hari raya itulah maka dikorbankan masa solat jamaah Isyak  dan tarawih.  Harap-harap betul mereka tarawih atau solat malam sendiri di rumah.  Jika tidak solat malam juga, sahlah mereka utamakan adat berbanding agama.  Betul kata peribahasa: Biar mati anak jangan mati adat. Boleh ubah sedikit, tapi agak kasar: Biar mati agama asal jangan mati adat!

Gembira Hari Raya itu apa? Ketawa, main bunga api dan ketawa di depan peti TV?  Itu semua adat melayu dalam bergembira.  Gembira dalam agama bersyukurlah, senyum kepada orang lain dan berceritalah yang indah-indah ketika bertemu supaya suasana tidak bersedih atau pilu.

Boleh diubahkah adat-adat ini? Susah… Oleh itu janganlah mudah mengatakan yang lebih mengutamakan adat berbanding agama hanya orang Minangkabau!  Betulkan tanggapan anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan