TAQABBALLAHU minna wa minkum…, salam eid. Salam
Lebaran maaf zahir batin. Ini adalah
hari kemenangan, hari kegembiraan.
Budaya dan kebiasaannya ialah umat saling bermaaf-maafan, meredai
ahlinya yang lain dengan harapan dirinya juga akan diredai oleh ahli-ahlinya
yang lain. Dengan itu diharap Hari Raya
menjadi satu ruang saling memberi maaf dan mengapuskan dosa sesama manusia.
Semua orang atau komuniti melalui jalan kehidupan yang
bermuamalah dengan manusia yang lain.
Itulah sejarah kehidupan yang adakalanya menempuh zaman yang baik dan
buruk. Ada yang pernah dikhianati dan
dirugikan bertahun-tahun. Ada yang merasa
aman tanpa kesusahan dalam sejarahnya.
Sejarah umah pada zaman nabi juga bukan luar biasa malah menjadi satu
pengajaran kepada generasi kemudian, termasuk zaman kita ini. Lihat sahaja sejarah perpecahan, perbalahan
dan peperangan antara dua kaum Arab iaitu Aus dan Khazraj di Yastrib (Madinah) sebelum mereka menerima
Islam. Namun dengan Islam yang terasnya
ajaran al-Quran dan Sunah nabi s.a.w. permusuhan berbuyutan dapat dilenyapkan
dan diganti persaudaraan yang luar biasa indahnya.
Bangsa Melayu juga telah melalui zaman jahiliyah
sebelum Islam yang dirakam penuh perpecahan dan permusuhan. Kemudian Allah memberi petunjuk atau hidayah
iman, maka sebagian besar bangsa Melayu menerima iman dan Islam. Maka masyhurlah bahawa Melayu Islam itu
bersaudara. Kemudian kerana kepentingan
yang bukan daripada ajaran al-Quran dan Sunah nabi, maka berlaku juga
permusuhan sesama Melayu yang muslim.
Apakah sikap kita sesama bangsa yang sama-sama mengaku
muslim dan beriman pada hari akhirat.
Adakah kita hendak meneruskan perbalahan dan perpecahan yang memang
menjadi agenda kaum yang tidak beriman atau memulakan buku hidup baru yang
menguatkan persaudaraan, persefahaman serta mengurangkan perbedaan. Apakah Hari Raya hanya ruang memberi kemaafan
sesama muslim dalam hal-hal yang kecil seperti terambil wang RM10.00 atau termakan
dan terminum? Apakah Hari Raya bukan
ruang memberi kemaafan kepada saudara muslim kerna kesalahan dan perkhianatan
yang dilakukan pada zaman jahiliyah dahulu?
Perhatikan maksud firman Allah ayat 37 surah as-Syura:
“…..dan apabila mereka marah segera memberi maaf….”
Ayat 40 surah yang sama pula bermaksud: “Dan
balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi sesiapa yang
memaafkan dan berbuat baik (kepada yang berbuat jahat) maka pahalanya daripada
Allah. Sungguh, Dia tidak menyukai orang
yang zalim.”
Sungguh, Islam bukan hanya memberi ruang kejayaan di
dunia, malah sampai ke akhirat. Ada
perkara yang tidak ditunaikan di dunia, maka Allah akan memberi balasan di
akhirat kelak. Itulah keistimewaan Islam
yang membuat orang berasa aman dengan
jaminan keadilan dan keselamatan dari dunia hingga akhirat. Sedangkan semua ajaran hidup selain Islam, hanya
terhenti di dunia ini, maka seolah-olah apa yang berlaku di dunia hendak
dilunasi sehabis-habisnya di dunia ini saja.
Selamat Hari Raya, maaf zahir batin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan