HARI ini tanggal 31 ogos 2012 hari sambutan
kemerdekaan negara kali ke-55. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan
pada 31 Ogos 1957 setelah mula dijajah oleh kuasa Barat pada tahun 1511 oleh
Portugal di Melaka. Antara penjajah yang
menjajah negara kita ialah Siam, Portugal, Belanda, Jepun dan British.
Semakin lama negara meninggalkan zaman penjajahan
semakin banyak warga negaranya yang merasai zaman penjajahan kian surut. Semakin lama usia negara merdeka, semakin
banyak warga negara yang kian tipis pengetahuan sejarah negara yang
dijajah. Semakin banyak juga yang tidak
memahami apa arti negara yang dijajah dan kemerdekaan.
Bagi negara yang mencapai kemerdekaan dengan jalan
peperangan seperti Indonesia, jauh lebih mudah mengekalkan semangat kemerdekaan
dan kecintaan kepada negara kerana sejarah darah yang tumpah ke bumi. Revolusi kemerdekaan Indonesia dirasai jerih
payahnya oleh setiap rakyat. Berapa
banyak ibu kehilangan anak lelakinya, berapa banyak anak-anak kehilangan ayah,
berapa banyak isteri kehilangan suami dan berapa banyak kerosakan harta benda
serta kegawatan ekonomi kerna jalan perang melawan Belanda.
Sejarah jalan kemerdekaan Tanah Melayu (kemudian
menjadi Malaysia) juga berdarah. Jangan hanya membaca sejarah Perang Perak oleh
Dato Maharaja Lela melawan British, Tok Janggut dan Mat Salleh yang terbunuh di
Kelantan dan Sabah. Mat Kilau pun
menumpahkan darah di Pahang, tetapi itu siri peperangan melawan penjajah pada
zaman British yang awal, yang selepas peperangan itu seluruh negara dalam
genggaman penjajah. Yang mengangkat senjata melawan British ialah Partai Kumunis Malaya. Malanglah, sebab PKM itu komunisme, maka gerakan itu ditolak sebagai perang kemerdekaan.
Perang kemerdekaan lebih kepada detik-detik akhir
melawan penjajah sehingga si penjajah berambus keluar dengan terpaksa dan malu
dari tanah yang dijajahnya. Pada saat
itu anak pribumi akan melaungkan kemerdekaan dengan bangga dan bergaya! Apa juga yang selama ini dimiliki penjajah
diambil kembali untuk negara merdeka. Mengapa sebelum tanggal 31 Ogos 1957
bukanlah zaman perang kemerdekaan di
Tanah Melayu?
Seorang penulis buku sejarah, Muslimin Fadzil
mengatakan bahawa Tunku Abdul Rahman Putra telah mempertimbangkan antara
gerakan merdeka secara perang atau secara rundingan. Menurutnya, perang kemerdekaan ternyata
memakan korban nyawa dan harta benda. Semakin panjang zaman perang itu semakin
banyak pula kerugian fizikal, walaupun jika berjaya dalam perang bermakna
segala harta yang selama ini dikuasai penjajah akan diambil semula. Bagaimana pula jika kalah perang? Merdeka
secara rundingan bermakna penjajah mengenakan syarat-syarat penting yang
selalunya menguntungkan pihak penjajah juga.
Tunku Abdul Rahman Putra telah memilih jalan rundingan
sebagai jalan merdeka. Memang perjanjian
London 1956 antara Parti Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra dengan
kerajaan British memihak kepada penjajah itu.
Hanya kuasa politik pemerintahan yang diserah kepada anak watan
sedangkan semua milikan ekonomi British dalam negara yang nilainya berbilion
ringgit tidak boleh diusik. Pertimbangannya adalah masih lebih baik tidak
kehilangan ribuan nyawa dengan terpaksa kehilangan sebagian besar ekonomi!
Adakah jalan merdeka secara rundingan itu tidak
bermaruah?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan