Halaman

Jumaat, Ogos 31, 2012

MANA perang kemerdekaan Tanah Melayu?


HARI ini tanggal 31 ogos 2012 hari sambutan kemerdekaan negara kali ke-55. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 setelah mula dijajah oleh kuasa Barat pada tahun 1511 oleh Portugal di Melaka.  Antara penjajah yang menjajah negara kita ialah Siam, Portugal, Belanda, Jepun dan British. 


Semakin lama negara meninggalkan zaman penjajahan semakin banyak warga negaranya yang merasai zaman penjajahan kian surut.  Semakin lama usia negara merdeka, semakin banyak warga negara yang kian tipis pengetahuan sejarah negara yang dijajah.  Semakin banyak juga yang tidak memahami apa arti negara yang dijajah dan kemerdekaan.

Bagi negara yang mencapai kemerdekaan dengan jalan peperangan seperti Indonesia, jauh lebih mudah mengekalkan semangat kemerdekaan dan kecintaan kepada negara kerana sejarah darah yang tumpah ke bumi.  Revolusi kemerdekaan Indonesia dirasai jerih payahnya oleh setiap rakyat.  Berapa banyak ibu kehilangan anak lelakinya, berapa banyak anak-anak kehilangan ayah, berapa banyak isteri kehilangan suami dan berapa banyak kerosakan harta benda serta kegawatan ekonomi kerna jalan perang melawan Belanda.

Sejarah jalan kemerdekaan Tanah Melayu (kemudian menjadi Malaysia) juga berdarah. Jangan hanya membaca sejarah Perang Perak oleh Dato Maharaja Lela melawan British, Tok Janggut dan Mat Salleh yang terbunuh di Kelantan dan Sabah.  Mat Kilau pun menumpahkan darah di Pahang, tetapi itu siri peperangan melawan penjajah pada zaman British yang awal,  yang selepas  peperangan itu seluruh negara dalam genggaman penjajah. Yang mengangkat senjata melawan British ialah Partai Kumunis Malaya. Malanglah, sebab PKM itu komunisme, maka gerakan itu ditolak sebagai perang kemerdekaan.

Perang kemerdekaan lebih kepada detik-detik akhir melawan penjajah sehingga si penjajah berambus keluar dengan terpaksa dan malu dari tanah yang dijajahnya.  Pada saat itu anak pribumi akan melaungkan kemerdekaan dengan bangga dan bergaya!  Apa juga yang selama ini dimiliki penjajah diambil kembali untuk negara merdeka. Mengapa sebelum tanggal 31 Ogos 1957 bukanlah zaman perang kemerdekaan  di Tanah Melayu?

Seorang penulis buku sejarah, Muslimin Fadzil mengatakan bahawa Tunku Abdul Rahman Putra telah mempertimbangkan antara gerakan merdeka secara perang atau secara rundingan.  Menurutnya, perang kemerdekaan ternyata memakan korban nyawa dan harta benda. Semakin panjang zaman perang itu semakin banyak pula kerugian fizikal, walaupun jika berjaya dalam perang bermakna segala harta yang selama ini dikuasai penjajah akan diambil semula.  Bagaimana pula jika kalah perang? Merdeka secara rundingan bermakna penjajah mengenakan syarat-syarat penting yang selalunya menguntungkan pihak penjajah juga.

Tunku Abdul Rahman Putra telah memilih jalan rundingan sebagai jalan merdeka.  Memang perjanjian London 1956 antara Parti Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra dengan kerajaan British memihak kepada penjajah itu.  Hanya kuasa politik pemerintahan yang diserah kepada anak watan sedangkan semua milikan ekonomi British dalam negara yang nilainya berbilion ringgit tidak boleh diusik. Pertimbangannya adalah masih lebih baik tidak kehilangan ribuan nyawa dengan terpaksa kehilangan sebagian besar ekonomi!

Adakah jalan merdeka secara rundingan itu tidak bermaruah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan