Pengikut

Jumaat, Julai 31, 2009

ULAMA banyak pentingkan remeh-temeh

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) - Ulama hari ini memberi lebih banyak tumpuan kepada isu-isu remeh berkaitan individu berbanding masyarakat, sekaligus membantutkan kemajuan dunia Muslim, kata Ketua Pengarah Institut Kemajuan Islam Malaysia (Ikim) Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Beliau berkata daripada memberi tumpuan kepada fardhu kifayah, ulama ini sebaliknya menghadkan pandangan mereka kepada fardhu ain, atau memberi tumpuan kepada "apa yang perlu dibuat dan yang dilarang" oleh kaum Muslim. "Dalam dunia Muslim, apa yang dibangkitkan mereka ialah isu yang tidak penting, isu pakaian, apa itu pakaian Islam, dan kemudian muncul banyak pihak yang beritahu macam-macam mengenai apa yang perlu dipakai, dan apa itu kod pakaian Islam mengikut pandangan mereka.

"Ini bukan isu yang akan memberi manfaat kepada masyarakat, ia akan menguntungkan sesetengah individu sekiranya anda ingin memakai pakaian ini. Ia sebenarnya terpulang kepada individu, jika tidak mahu berpakaian begini juga ia terpulang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa mengenai "Umat Islam dan Ruang Ilmu Abad ke-21: Isu, Prospek dan Cabaran" di sini.

"Jangan salah anggap, saya bukan katakan yang fardu ain tidak penting; kedua-duanya fardhu ain dan kifayah adalah penting, tapi fardhu ain lebih berupa individu," katanya. Beliau berkata dari satu sudut, pandangan sempit ulama ini turut melahirkan kumpulan ekstrem dalam masyarakat. "Mereka (ekstrem) terpukau oleh simbol-simbol seperti McDonalds, k-Mart, Disneyland, internet...semua ini adalah simbol, simbol teknologi dari barat, dan mereka diberitahu yang ini tidak boleh, ini tidak baik, perlu ditampilkan yang Islam.

"Hasilnya muncul kumpulan dalam masyarakat yang mendengar kata-kata ulama ini, yang menjadi ekstrem, dan mereka inilah yang membangkitkan masalah, yang membunuh orang, mereka inilah pengganas. Mereka dipukau oleh simbol-simbol, mereka berjuang menentang simbol dan melupakan asasnya," katanya.

Syed Ali juga berpendapat bahawa pemimpin politik mengabaikan ulama sebenar, manakala barat mempergunakan sepenuhnya pengetahuan ulama sebenar ini. "Contohnya di mana pemenang hadiah Nobel untuk fizik ketika ini? Dia berada di University of California, dia seorang Muslim dari Mesir, tapi mereka (Mesir) tidak mempedulikannya, sebab itu dia ke sana," katanya.

"Barat bergantung kepada Muslim. Barat sering bergantung kepada dunia Muslim, dan mereka masih bergantung kepada Muslim sekarang ini. Sekiranya Muslim ingin maju, mereka perlu bergantung kepada ulama sebenar ini," tambahnya.

Beliau berkata ketika ini ulama dilihat bergantung kepada pemimpin politik sebelum memberikan pendapat. "Mereka tidak seharusnya merujuk kepada pemimpin politik, sebaliknya pemimpin-pemimpin politik ini yang perlu merujuk kepada ulama... ulama sebenar.

Pemimpin politik seharusnya mendapatkan nasihat daripada para ulama, bukan sebaliknya," tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan