Pengikut

Selasa, Julai 21, 2009

BERGADUH dan jual hak bangsa

KATA orang, sejarah adalah perjalanan kemanusiaan. Oleh itu perisitwa yang dilalui oleh manusia pada masa silam kerap berulang semula. Patutlah orang mengatakan sejarah adalah guru yang bijak. Ini ada cerita sejarah kehilangan hak bangsa kerana kegilaan pemimpin dan tidak sanggup menjadi manusia biasa.

Pulau Singapura asalnya milik mutlak kerajaan Melayu Johor. Namun apabila mangkatnya Sultan Johor, Tengku Hussein yang sepatutnya mewarisi takhta tidak dilantik kerana berada jauh di Pahang. Maka pembesar yang dalam pengaruh penjajah Belanda melantik adik Tengku Hussein sebagai Sultan Johor yang sah. Tentulah Tengku Hussein sangat tidak puas hati dan berusaha juga untuk menaiki takhta Sultan Johor.

Maka Tengku Hussein mencari pihak yang boleh menyokongnya menjadi Sultan Johor yang baru. Stamford Raffles sebagai wakil British memang sangat memahami situasi perbalahan takhta ini dan terus menyambar peluang. Hal ini berlaku tahun 1819. Tengku Hussein mahu megah sebagai Sultan Johor dan bersedia memberi habuan kepada British. Habuan itu adalah Singapura yang selama ini adalah hak bangsa Melayu.

Bagi Raffles cukup memiliki pulau Singapura yang sebelumnya milik Kesultanan Melayu Johor. Bagi Tengku Hussein, menjadi Sultan tanpa kuasa dan tinggal di Singapura sudah cukup, yang penting imej bagus dan dapat melepaskan dendam terhadap adiknya, Tengku Abdul Rahman yang sebelumnya ditabal sebagai Sultan. Untuk Tengku Hussein, Singapura diambil British pun tidak apa, malah dirinya tidak ada apa-apa kuasa dan pengaruh terhadap kerajaan Johor pun masih tak apa juga!

Moral cerita sejarah ini ialah ada pemimpin bangsa Melayu yang sepatutnya menjaga hak bangsa sanggup menjualnya kerana mahukan imej dan hidup glamour semata-mata. Akhirnya apa? Sultan Hussein terpaksa keluar dari Singapura dan keturunannya tidak pun menjadi pewaris Kesultanan Johor. Singapura pula tergadai sehingga kiamat kot!

Hari ini ada orang terdesak mahu menjadi Perdana Menteri (PM) kerana dahulu dia dikira sudah hampir menaiki takhta PM. Nasibnya tidak baik, dia dipecat. Dia dibuang daripada partinya, maka terpaksalah membina parti baru untuk membawa dirinya ke takhta PM. Untuk mendapatkan kuasa PM, dia juga macam Tengku Hussein yang menyerahkan hak bangsanya kepada bangsa lain demi sokongan. Tidak bolehkah dia bertegas menjaga hak-hak bangsanya sambil berusaha menjadi PM?

Di sebelah sana pula sudah menjadi PM tetapi tercabar dan takut kehilangan kuasa. Maka dia pun sudah mula melepaskan hak bangsanya kepada pihak lain semata-mata mahu sokongan agar kekal sebagai PM. Tidak bolehkah dia berusaha mengekalkan kedudukannya sambil menjaga hak bangsanya?

Kesimpulannya, sejak dahulu perbalahan mendapatkan kuasa itulah punca kelemahan bangsa Melayu hingga tergadainya negeri dan hak-hak kehidupan sebagai salah satu bangsa di dunia. Entah berapa kali sejarah seperti ini akan berulang? Agaknya sehingga habis sisa-sisa yang ada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan