Pengikut

Isnin, Julai 20, 2009

MINUM arak dapat enam sebatan

BERITA di Kuantan Pahang ialah Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhi hukuman denda RM5000.00 dan enam sebatan kepada Kartika Sari Dewi Shukarnor (namanya pun hebat, macam nama anak Presiden Sukarno: Kartika Sari anak dengan Ratna Sari Dewi). Kartika mengaku salah meminum arak di Cherating Bay Lounge, hotel Legend. Saya pun pernah beberapa kali menginap di hotel itu. Sebenarnya di mana-mana hotel, kalau rajin menyiasat akan ditemui anak-anak Melayu (tentulah muslim), yang meneguk arak. Pernah sekali saya di sebuah resort di Cherating, mendengar suara perempuan meracau jam 11 malam di tepi kolam mandi. Heh, rupa-rupanya mabuk kerna minum arak.. Tengok mukanya Melayu dan daripada risikan, memang ada beberapa orang Melayu tempatan sengaja masuk ke lounge hotel waktu malam untuk minum.

Saya ada pengalaman di Pekan Pahang semasa banjir tahun 1997. Oleh kerana bandar Pekan digenangi air dan saya memang perlu untuk ke kedai menjual alatan memancing, terpaksalah masuk ke laluan kedai pancing melalui sebuah restoran milik orang Cina. Kebetulan saya memakai pakaian kerja rasmi dan bersongkok hitam. Apabila saya masuk ke restoran itu, saya pun terkejut melihat beberapa orang lelaki Melayu macam kaget dan seperti hendak beredar melihat saya. Oh rupa-rupanya di atas mejanya ada botol arak. Dan mereka menyangka saya ini pegawai penguatkuasa agama!

Sebenarnya semakin lama arak itu biasa diteguk oleh orang Melayu Islam, bukan hanya di pub, lounge atau restoran bukan Islam. Misalnya di Perkampungan Permatang Badak Kuantan, pernah kedai Seven Eleven menjual arak sedangkan kawasan itu 100 peratus penduduk Islam. Saya tegur dan rasa marah dengan penjual di kedai berkenaan. Sebelum kedai itu menghentikan jualan araknya, banyak botol arak ditemui di kawasan tempat tinggal saya itu. Dan pernah melihat dengan mata sendiri dua lelaki muda Melayu sengaja membuang botol arak di tepi jalan waktu siang, dalam kawasan rumah yang semua muslim. Saya yakin mereka minum arak di rumah dan membuang botolnya di simpang jalan.

Berkenaan hukuman sebat enam kali di Malaysia, tidak pasti pula bolehkah hukuman ini dilaksanakan terhadap perempuan. Berdasarkan pengetahuan saya, kalau kesalahan jenayah yang hukumannya ada sebatan rotan, hukuman rotan ini tidak dikenakan terhadap perempuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan