Pengikut

Sabtu, Julai 04, 2009

HADIS palsu Rejab dari masjid

KALAUlah ada laporan mengatakan mayat yang hanyut dilaut dimakan ikan dan ikan itu dijual di pasar, pasti orang tidak membeli ikan itu. Kenapa? Jawabnya tidak sanggup memakan ikan yang memakan mayat manusia. Kalaulah pula ada laporan menyatakan gelatin haiwan haram digunakan dalam pembuatan makanan, tentulah banyak orang Islam yang mahu tahu jenis makanan itu. Ertinya sedikit pun tidak mahu menyentuh makanan yang diragui sahnya di sisi Allah dan rasul-Nya.

Adakah sensitiviti kebanyakan umat Islam terhadap ketulenan ibadah seperti prihatinnya terhadap isu makanan tercemar di atas? Jawabnya, tidak. Malah kebanyakan mereka bagai tidak perduli ada atau tidak bahan tercemar dalam pegangan akidah dan ibadahnya.

Kalau dalam bab makanan yang diragui halal-haramnya, umat Islam di desa-desa pun cepat menuding jari kepada pihak berkuasa seperti Jakim untuk bertindak, dalam bab halal-haram amalan ibadah hendak menuding jari kepada siapa? Bukankan institusi agama yang menjaga agama, tidak mungkinlah orang-orang di sana yang menjadikan amal ibadah dalam keraguan. Ya tak ya juga…

Baru-baru ini saya mengambil sehelai kertas edaran oleh Biro Dakwah sebuah masjid yang mengandungi 22 ayat-ayat yang dicatat berkenaan bulan Rejab di sisi Allah dan rasul-Nya. Ada yang dicatat sebagai sabda Rasulullah, dan kata-kata Sayyidina Ali. Yang lainnya hanya dicatat berssumberkan ‘al-Hadis’. Sekali pandang saja sudah dapat dikesan batilnya maksud ayat-ayat itu sekalipun dikatakan maksud al-Hadis.

Perhatikan petikan ke-16: ”Berkata Saidina Ali: Puasa Rejab 13 hari seperti puasa 3 ribu tahun. Puasa Rejab 14 hari seperti puasa 10 ribu tahun. Puasa 15 hari seperti puasa 100 ribu tahun!” Dari mana Biro dakwah masjid ini mendapat kata-kata Sahabat Rasulullah ini? Tidak dinyatakan sumbernya.

Perhatikan yang ke-20: “Puasa sehari daripada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadah seumur hidup.” Dengan hanya menyatakan ‘mafhum Hadis’ tentu pembaca yakin bahawa ayat itu adalah ucapan Rasulullah. Malanglah kerana tidak diberikan riwayat hadis ini.

Secara teknikal sahaja semua ini meragukan halal-haramnya, seperti makanan yang diragui kehalalannya. Ilmuan tempatan seperti Dr Mohd Asri sejak awal lagi telah mendedahkan banyaknya hadis palsu berkaitan bulan Rejab. Rencananya terbaru bab ini ada dalam http://drmaza.com .

Kenyataan lain ialah:
Imam Syafie pula berkata, ''aku tidak menyukai seseorang itu berpuasa penuh sebulan pada bulan lain seperti bulan ramadhan.''

Kata Imam Ahmad bin Hanbal, ''mereka yang berpuasa Rejab haruslah berbuka sehari atau dua hari.''

Pengarang menulis sebagai berikut: ''...tidak ada hadis sahih daripada Nabi s.a.w. yang menjelaskan tentang puasa bulan rejab dan keutamaanya. Semua hadis dalam hal ini adalah merupakan hadis-hadis lemah bahkan palsu dan tidak sahih sama sekali... Beberapa ulama lain berpendapat bahawa berpuasa pada bulan rejab dianjurkan kerana bulan Rejab termasuk bulan haram, bukan kerana Rejab memiliki keistimewaan tersendiri dari bulan-bulan lainnya. Inilah pendapat yang menurut saya lebih mendekati kebenaran...''

Demikian bersumber daripada Syaikh al-Muhaddis Usamah Abdul 'Aziz, dalam Shiyam at-thatawwu' fadail wal ahkam, terbitan Dar ad-Dhiya', Tanta, Mesir -

Selain itu ustaz Nawawi, seorang bloger dan aktivis manhaj salaf menampilkan kajiannya seperti berikut.

"Ada pun mengkhususkan puasa di bulan rejab, seluruh hadisnya lemah dan palsu. Ahli ilmu tidak menjadikannya sebagai sandaran sedikit pun." - Syaikhul Islam Ahmad b. Abdul Halim al-Harani.
"Setiap hadis yang menyebutkan tentang puasa rejab, solat di sebahagian malamnya, semuanya adalah dusta." - Imam Ibnul Qayyim rahimahullah.

"Tidak ada hadis yang sahih yang dapat dijadikan hujjah berkaitan amalan khusus di bulan rejab, sama ada puasa mahu pun solat malam dan sejenisnya. Dan dalam menegaskan perkara ini, aku telah didahului oleh Imam Abu Ismail al-Harawi al-Hafiz, kami meriwayatkan darinya dengan sanad sahih, demikian pula kami meriwayatkan dari selainnya." - al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani.

Dinukil dari Abu Ubaidah Yusuf as-Sidawi, Ensikolpedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, Pustaka Ilmi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan