Pengikut

Selasa, Disember 09, 2008

TUDUHAN kerna dendam dan benci

KALAU berada di luar wilayah, kita berasa bebas dan telus melihat yang ada dalam wilayah kediaman kita sendiri. Seperti kita sebagai lelaki dengan bebas membuat penilaian dan persepsi terhadap kaum wanita, maka begitu juga sebaliknya. Kalau kita sebagai ibu bapa kepada anak-anak bersekolah dengan bebas sekali membuat telahan terhadap pihak di sekolah. Orang-orang kaya pun tidak ada had untuk menilai kehidupan orang-orang miskin sebagai malas, kotor dan susah hendak dirobah. Orang-orang miskin pun mungkin kerna putus asa dan dengki bukan main lagi umpatannya terhadap orang kaya. Ah, begitulah..

Kita di Malaysia sedang melihat dengan penuh jelek dan hairan dengan kehendak sebagian (mungkin lebih 50 persen) muslim di Turki yang menolak sekuat-kuatnya wanita muslim memakai tudung kepala. Di negara ini, sekalipun ada wanita yang tidak pernah memakai tudung kepala, tidaklah mencemooh wanita yang bertudung. Tetapi di Turki, sampai peringkat pengharaman bertudung dalam bangunan kerajaan dan universiti! Huh, salah besar bertudung dalam sebuah negara yang 99 persen penganut Islam!

Orang Turki sebagai orang luar kepada Malaysia atau mana-mana negara umat Islam pun tentunya sedang melihat dengan jelek adab wanita muslim bertudung. Orang-orang yang antitudung di Turki itu entah punya berapa ribu sebab dan hujah bahawa bertudung kepala sebagai salah, goblok dan kolot.

Penulis mendapat satu emel yang disertakan satu foto permainan jenis ‘lego’ yang memaparkan aksi patung lelaki dan wanita sedang bersenggama. Di sisinya tercatat ayat menghina Rasulullah yang telah berkahwin dengan 23 orang wanita! Demikian, kerna perasaan benci dan dendam kepada Islam, fakta yang ada dieksploitasi untuk memanjangkan kebencian kepada orang lain terhadap Islam.

Namun kepada muslim yang sangat menyanjung peribadi Rasulullah dalam mengakui baginda mengahwini beberapa wanita, bahawa semua perkahwinan itu bukan kerana desakan seksual melainkan kerana dakwah dan penghormatan terhadap wanita. Orang yang memang bencikan Islam sama ada sengaja atau tidak telah melalaikan keupayaan luar biasa anugerah daripada Allah terhadap seorang lelaki bergelar Nabi. Rasulullah pernah mengalahkan seorang ahli gusti, baginda pernah mengangkat batu besar ketika menggali parit atau daya ingatannya yang cukup hebat. Rasulullah seorang manusia biasa tetapi terpeliharan akhlaknya sepanjang hayat. Semua itu tidak ada perkiraan telus kepada musuh.

Namun ada rakaman sejarah yang salah bahawa Rasulullah berkahwin dengan Saydatina A’isyah pada usia enam tahun yang juga diterima oleh umat Islam. Fakta salah inilah yang dipergunakan untuk menyorak Rasulullah, tetapi umat Islam membisu kerana mengatakan sumbernya dikatakan ‘sahih’. Sayang, muslim sunnah tidak dapat melihat perangkap musuh merosakkan imej dan maruah Rasulullah dan Saydatina A’isyah, sedangkan puteri Sayidina Abu Bakr itu berusia kira-kira 19 tahun sewaktu bernikah dengan Rasulullah!

Begitulah orang yang sedang membenci sesuatu akan melihat fakta dari sudut kebencian. Kemudian kerana dendam dan benci itu, lahirlah bahasa kasar dan tidak hormat sekalipun yang dihadapnya adalah manusia juga.

Mudah, untuk mencemooh dan mengeji sesuatu, berdirilah di luar lingkungan itu. Ah…, sama juga dengan semangat asabiyah zaman jahiliyah dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan