Pengikut

Rabu, Disember 10, 2008

CATATAN haji: mencari raudhah

Catatan oleh kendedes

Musim haji 2001: Semasa saya dan rakan hendak masuk ke masjid nabi ada sedikit kalut. Maklumlah tempat orang dan tak tahu bahasa arab. Jumpa orang arab keluar perkataan ‘rijal’ yang menunjukkan arah tempat lelaki, kami ditunjukkan satu pintu masuk. Macam di Malaysia, masuklah dan sandal diletakkan di rak sebaik saja masuk ke dalam. Kami meneruskan langkah menuju ke hadapan sebab nampaknya banyak lagi ruang kosong.

Jalan, terus jalan masih belum jumpa mana bahagian yang hadapan. Yalah, masuk masjid, mestilah cari tempat paling hadapan.

“Dah jauh jalan, mana dia?” tanyaku kepada rakan bernama Nasir.

Dalam hati memang hendak cari raudhah, yang dikatakan tempat doa yang makbul. Raudhah ini macam mana dan dalam ceramah hanya diberi tanda tiangnya berwarna lain. Maka saya pun melihat-lihat tiang untuk membedakan warna sambil terus berjalan. Orang belum ramai untuk solat zuhur.

Sampai di satu tempat yang orang duduk dan payah lagi hendak berjalan, kami berhenti dan solat tahiyatul masjid. Selesai solat Nasir tunjukkan arah yang lantainya agak tinggi, mungkin itu raudhah? Bukanlah, tiangnya tak ada istimewa pun.

Tidak jauh ada sekumpulan jemaah Indonesia berkumpul dan berdoa. Dalam hati berkata, itulah raudhah. Kalau bukan raudhah buat apa banyak jemaah berpusu-pusu di sana dan berdoa. Tapi nampaknya tempat itu macam mihrab, tempat imam berdiri solat saja. Pulak itu ada lebih daripada satu. Dah cuak di hati.

“Tengok tiang di hadapan tu, kan warnanya nampak lembut. Tu sebelah kirinya nampak lain saja, makam nabi tu.” Saya mengagak kepada Nasir.

Nasir yang pendiam ini senyum saja dan mengangguk. Tapi kami tidak dapat masuk ke kawasan itu sebab semua ruang duduk sudah penuh. Oleh itu duduk saja di tepi salah satu tiang tidak jauh daripada yang disyak sebagai raudhah.

Semasa balik barulah terasa jauh lagi berjalan ke pintu di belakang sebab sandalnya di sana, sedangkan ada beberapa pintu yang dekat untuk keluar. Rusa masuk bandar betul!

Setelah balik ke hotel dan bercerita dengan rakan lain barulah dapat kepastian yang mana satu raudhah. Kebetulah hari keduanya dalam masjid itu terlihat ada seorang dari Indonesia yang tampil ke hadapan tempat yang menjadi tumpuan jemaah dari sana. Kata seorang itu bahawa tempat yang disangka paling makbul berdoa itu tidak ada apa-apa istimewa. Yalah, mihrab-mihrab itu…

Setelah faham kedudukan Masjid Nabi, tahulah saya hendak masuk mengikut pintu mana yang mudah. Kedudukan hotel ikut seselah kiri masjid, jadi saya akan masuk melalui babul baqi. Saya akan menyusup di celah-celah orang agar sampai ke tempat belakang imam. Tempat itu diletakkan beberapa rehal dan dikawal orang. Apabila sudah hampir masa solat masuklah imam dan krewnya. Dapatlah beberapa kali berdiri dekat dengan imam Masjid Nabi.


Satu pagi selepas solat subuh saya keluar ikut pintu yang digunakan imam kerana mengikuti perjalanan jenazah ke kuburan baqi. Rupaya sudah ada banyak lubang menunggu jenazah di kuburan itu. Di sana selepas siap jenazah ditanam, cukup yang hadir berdiri sebentar dan berdoa apa yang perlu. Tiada bacaan talkin dan tahlil.

Di Madinah juga saya diketemukan dengan rakan sekolah semasa di Kedah iaitu Cikgu Azimoha dari Kelantan dan Zulkifli Awang dari Terengganu.

10 disember 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan