Pengikut

Selasa, Disember 16, 2008

PELIK, syaitan suruh pergi haji

BAGAI tak betul jadinya jika dikatakan syaitan menyuruh seseorang mengerjakan haji. Telah disebut oleh Allah dalam alquran bahawa syaitan adalah musuh manusia, mana mungkin musuh menyuruh manusia membuat amal ibadah yang begitu agung.

Ibadah haji merupakan kemuncak amal ibadah hamba kepada Allah dan kewajiban ini hanya sekali seumur hidup. Rasululah pun mengerjalan haji sekali sahaja, itulah yang dinamakan Haji Wada atau Haji Perpisahan. Betul, ada orang yang telah membuat dua tiga kali haji dalam hidupnya dan masih bercita-cita untuk menunaikan haji untuk beberapa kali lagi.

Siapa tidak mahu mendapat haji mabrur, haji yang menjadikan diri suci bersih daripada pelbagai dosa. Dan katankanlah, jika sebaik sahaja menunaikan haji (yang dicita-citakan mabrur itu), tup-tup mati. Mati pula di Makkah, tentulah disolati oleh para hujaj dan akan dimakamkan di tanah suci. Waduh nampak hebat sekali akhir impian hamba Allah. Macam tak percaya pula kalau sudah begitu, almarhum ini tak masuk syurga.

Syaitan dah lama tahu prinsip-prinsip haji dan emosi manusia. Makhluk ini sudah advance membuat kajian dan hasilnya juga lumayan. He…, he…, syaitan tidak akan mengajak ahli agama pergi ke kelab malam minum arak atau bermesra-mesra dengan GRO. Geng syaitan akan mengutuk tolol dan goblok jika ada puak syaitan lain nak menggoda Pak Haji hebat menyelinap dalam mana-mana bilik di Bukit Bintang! Pak Haji ini kebal beb!

Syaitan pun tahu fiqh aulawiyyat. Kalau kita manusia sering kata mengutamakan yang besar atau menerima masalah yang kecil berbanding yang besar, syaitan pun begitu juga. Dengan cara begitu, syaitan dapat hasil lumayan dan hasutannya tidak dikesan.

Mengapa syaitan menghasut orang berhaji untuk beberapa kali? Jawabnya supaya pak-pak haii dan mak-mak hajah ini hanya bertumpu pada ibadah sunat yang memakan kos tinggi. Haji yang kedua dan seterusnya hukumnya sunat. Sekalipun orang sudah berhaji, ada lagi perkara wajib yang mesti dilakukan sebagai amal ibadah seperti membantu perjuangan Islam, berdakwah, termasuk juga membantu orang miskin dan pendidikan anak-anak orang melarat.

Oleh kerana syaitan tidak mahu pak-pak haji tadi membuat hal-hal wajib itu, maka dimekapnya minda mereka bahawa pergi haji lagi itu lebih bagus dan bagai gerenti masuk syurga. RM 10 ribu untuk menunaikan haji, di samping itu dapat pergi ke luar negara, naik kapal terbang lagi. Ada gengsi betul, selain harapan haji mabrur. Kalau RM 10 ribu diagih-agih kepada orang miskin dan taja anak-anak miskin sekolah, diri sendiri apa dapat kat dunia ini? Habis begitu saja, nak minta diambil gambar masukan dalam blog pun nanti orang tuduh sedekah untuk pujian. Malah ustaz selalu pesankan hadis nabi ‘sedekah tangan kanan yang tangan kiri tak tahu’.


Setelah difikir bolak balik, rugi kalau RM 10 ribu disedekah begitu saja, baik pergi haji. Maka tepatlah maksud firman Allah dalam surah al-An’am:112 “Demikian kami jadikan setiap nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, sesetengahnya membisikkan kepada sesetengah yang lain kata-kata dusta yang indah untuk memperdaya pendengarnya”.

Sabar sajalah pak aji dan mak aji. Nak bersabar pun payah juga, satu hal lagi. Hish.., mengapalah dengki sangat syaitan ni..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan