Pengikut

Isnin, Disember 29, 2008

BUAT apa kalendar Hijrah?

TAHUN hijrah ini ialah sudah 1430, ertinya sudah seribu empat ratus dan tiga puluh tahun peristiwa penting dalam sejarah umat Islam sehingga mendorong Khalifah Umar mengambil peristiwa itu sebagai titik tolak pengiraan kalendar Islam.

Di sekolah-sekolah murid-murid pun sudah diajar sebab-sebab yang menolak di Makkah untuk penghijarahan Nabi dan para sahabatnya. Juga sebab-sebab yang menarik dari Yastrib atau Madinah. Jangan lupa bahawa hijrah itu satu perintah dari langit selepas peristiwa isra’ mikraj yang fantastik itu.

Kita muslim banggalah sebab ada kalendar sendiri yang 12 bulan setahun. Kalendar Hijrah berdasarkan pusingan bulan terhadap bumi sementara kalendar Lunar berdasarkan pusingan bumi terhadap matahari. Tidak mengapakah, ini urusan matematik. Hari dan malam tetap sama. Selain kalendar Hijrah dan Lunar, orang Cina pun ada kalendarnya, sebab itu ada awal tahun juga, iaitu Tahun Baru Cina. Hebat dan meriah.

Apa faedahnya muslim ada kalendar sekarang sedangkan satu dunia pun sepakat menggunakan kalendar Lunar. Urusan semua muslim pun menggunakan kalendar Lunar, kecuali apabila hendak mengira tarikh urusan ibadah seperti puasa, iedul fitri dan iduladha. Untuk mengira pelaksanaan hari-hari ibadah itu pun sudah kacau, apa lagi untuk mengurus dunia. Maka memang tercabar, adakah kalendar Hijrah relevan dengan dunia atau hanya dimasukkan dalam kotak ibadah muslim saja. Malu dan marah? Suka hatilah….

Bayangkan Makkah sudah menyambut 10 zulhijah, tapi Malaysia belum lagi sedangkan bumi itu berputar dari timur. Ertinya Malaysia yang jumpa mentari dahulu, kita yang berjumpa hari baru dulu kemudian barulah Arab Badwi Makkah itu. Aneh, kita orang Malaysia pula pura-pura lewat sehari. Bukan itu saja, malah dalam sepuluh negara Asean yang semua ada muslim tidak berkongsi tarikh hari mula puasa dan hari raya yang sama. Itu sudah ratusan tahun dan mungkin terus hingga kiamat.

Bukan salah kalendar Hijrah, tapi salahnya para ilmuan Islam yang tidak maju mindanya. Dengan kemajuan ilmu, masih tidak mampu mengatasi kecelaruan 1000 tahun dahulu. Patutlah Islam dikatakan agama kehidupan zaman unta!

Berdosa dan gugur imankah kalau Kalendar Hijrah sudah menetapkan sejak awal lagi semua tarikh permulaan ibadah untuk seluruh dunia? Selama ini kalau orang Malaysia masih berpuasa dan orang Indonesia sudah lebaran, berdosakah orang Malaysia? Kalau selama ini tidak ada tuduh-menuduh sah atau haram, maka patut mudah saja tetapkan tarikh-tarikh ibadah untuk satu dunia sama saja.

Selagi ilmuan tidak dapat menyatu fikiran dalam hal kalendar Hijrah ini, jangan banyak cakaplah hendak bersatu ekonomi dan politik yang memang ruang untuk manusia berbalah dan berperang! Jangan mimpi negara-negara Islam hendak bersatu melawan Amerika dan Israel, satukan penggunaan kalendar pun tak mampu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan