Pengikut

Rabu, September 12, 2012

MENCARI cinta Ramadan dalam Syawal



ENTAH berapa puluh kali kita mendengar ayat ‘Ramadan dinanti kehadirannya dan ditangisi pemergiannya’.  Berapa banyak pula orang menulis kepada rakan-rakannya menggambarkan betapa sedihnya saat Ramadan kian ke penghujungnya.  Cuba lihat semula catatan dalam SMS atau di facebook.

Apa ertinya kita memerlukan Ramadan, kalau bukan kerna cinta bulan yang dimuliakan itu.  Dan kini, Ramadan telah meninggalkan kita, tetapi adakah benar kita rasa seperti kerugian dengan pemergian Ramadan.  Kita sebenarnya perlu membuktikan kecintaan terhadap Ramadan ketika berada pada bulan-bulan selain Ramadan itu. 

Pada bulan Ramadan kita menjaga masa agar tidak terlepas solat berjamaah Isyak dan Subuh di masjid.  Cuba tanya diri kita sendiri, adakah sikap kita masih seperti pada bulan yang lalu itu.  Saya melihat  saat hujan pun, kaum wanita berlari-lari menuju ke masjid, inikan pula kaum lelaki! 

Kalau benar kita sangat sayang dan rindu Ramadan, buatlah seperti berada pada bulan Ramadan itu.  Mahu buat apa lagi?

Keadaan sekarang seolah-olah sayang dan rindu Ramadan hanya mainan bibir, seperti bait-bait kata anak muda bercinta. Demi cinta, laut dan badai diredah!  Sangat minoriti yang sanggup meredah hujan demi setia beribadah seperti masa Ramadan.

Adakah setelah Ramadan sudah tiada lagi fadilat atau jaminan kepada ahli ibadah?  Ya, adakah hanya pada Ramadan dilonggokkan segala jaminan pahala dan syurga?

Cuba perhatikan maksud-maksud hadis nabi s.a.w., jelas tanpa memberi perbedaan sama ada dalam Ramadan atau pada bulan-bulan lain.

“Sesungguhnya solat yang paling berat bagi mereka yang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh, kalaulah mereka tahu kelebihan kedua-duanya nescaya mereka akan datang melaksanakannya meskipun dalam keadaan merangkak.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Apa ertinya terpaksa merangkak untuk solat di masjid? Tentu kerna jaminan yang Allah akan berikan kepada yang melakukannya.  Sungguh, kita yakin jika pemerintah negeri memberi wang seribu ringgit kepada setiap yang solat  subuh berjamaah di masjid, pasti akan kelihatan orang yang asalnya uzur tetapi terpaksa bertongkat, berkerusi roda atau merangkak demi berjaya solat di masjid. Selesai solat terima seribu ringgit!  Tak sabar menanti subuh esok hari.

“Barangsiapa yang solat Isyak secara berjamaah seumpama bangun mengerjakan qiam separuh malam dan barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjamaah seumpama dia solat keseluruhan malam”. (HR Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan