ENTAH berapa puluh kali kita mendengar ayat ‘Ramadan dinanti kehadirannya dan ditangisi pemergiannya’. Berapa banyak pula orang menulis kepada rakan-rakannya menggambarkan betapa sedihnya saat Ramadan kian ke penghujungnya. Cuba lihat semula catatan dalam SMS atau di facebook.
Apa
ertinya kita memerlukan Ramadan, kalau bukan kerna cinta bulan yang dimuliakan
itu. Dan kini, Ramadan telah meninggalkan kita, tetapi adakah benar kita
rasa seperti kerugian dengan pemergian Ramadan. Kita sebenarnya perlu
membuktikan kecintaan terhadap Ramadan ketika berada pada bulan-bulan selain
Ramadan itu.
Pada
bulan Ramadan kita menjaga masa agar tidak terlepas solat berjamaah Isyak dan
Subuh di masjid. Cuba tanya diri kita sendiri, adakah sikap kita masih
seperti pada bulan yang lalu itu. Saya melihat saat hujan pun, kaum
wanita berlari-lari menuju ke masjid, inikan pula kaum lelaki!
Kalau
benar kita sangat sayang dan rindu Ramadan, buatlah seperti berada pada bulan
Ramadan itu. Mahu buat apa lagi?
Keadaan
sekarang seolah-olah sayang dan rindu Ramadan hanya mainan bibir, seperti
bait-bait kata anak muda bercinta. Demi cinta, laut dan badai diredah!
Sangat minoriti yang sanggup meredah hujan demi setia beribadah seperti masa
Ramadan.
Adakah
setelah Ramadan sudah tiada lagi fadilat atau jaminan kepada ahli ibadah?
Ya, adakah hanya pada Ramadan dilonggokkan segala jaminan pahala dan syurga?
Cuba
perhatikan maksud-maksud hadis nabi s.a.w., jelas tanpa memberi perbedaan sama
ada dalam Ramadan atau pada bulan-bulan lain.
“Sesungguhnya
solat yang paling berat bagi mereka yang munafik ialah solat Isyak dan solat
Subuh, kalaulah mereka tahu kelebihan kedua-duanya nescaya mereka akan
datang melaksanakannya meskipun dalam keadaan merangkak.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Apa
ertinya terpaksa merangkak untuk solat di masjid? Tentu kerna jaminan
yang Allah akan berikan kepada yang melakukannya. Sungguh, kita yakin
jika pemerintah negeri memberi wang seribu ringgit kepada setiap yang
solat subuh berjamaah di masjid, pasti akan kelihatan orang yang asalnya
uzur tetapi terpaksa bertongkat, berkerusi roda atau merangkak demi berjaya
solat di masjid. Selesai solat terima seribu ringgit! Tak sabar menanti
subuh esok hari.
“Barangsiapa
yang solat Isyak secara berjamaah seumpama bangun mengerjakan qiam separuh
malam dan barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjamaah seumpama
dia solat keseluruhan malam”.
(HR Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan