Pengikut

Sabtu, Julai 21, 2012

BERJAMAAH tarawih bukan bid'ah


SELAMAT melaksanakan kebaikan-kebaikan amal pada bulan yang mulia Ramadan.  Syukur kepada Allah kerna masih banyak antar umat Muhammad s.a.w. yang mendatangi masjid untuk salat tarawih.  Hal ini kerna mahu merebut tawaran banyaknya ganjaran daripada Allah untuk bekalan pada hari akhirat kelak.


Salat tarawih berjamaah juga telah dijadikan hujah oleh sekian banyak orang bahawa Sahabat Nabi iaitu Umar al-Khattab r.a. seorang yang membuat bid’ah (dalam agama).  Maka dikatakan ini petunjuk sahabat yang terpimpin untuk diikuti. Maka, hal ini difahami menjadi dasar orang agama membuat bid’ah (tentunya dalam agama).  Misalnya diakui bahwa hadis salat hajat itu memang disuruh buat, tapi tidak pula disebut secara berjamaah.  Oleh kerna Umar al-Khattab membuat bid’ah (bid’ah hasanah) dengan menjadikan tarawih berjamaah, maka solat hajat juga bid’ah hasanah jika dibuat berjamaah.  Begitulah adanya.

Adakah Umar al-Kattab itu memang secara sedar membuat panggilan berjamaah tarawih, iaitu amalan yang tidak ada petunjuk daripada baginda nabi s.a.w.?  Tidak sama sekali, sebab solat tarawih berjamaah sudah dilaksanakan oleh baginda nabi s.a.w..  Oleh  kerna baginda nabi s.a.w. bimbang orang menyangka salat tarawih sebagai salat wajib, maka baginda s.a.w. berhenti salat tarawih itu di masjid.  Maka sejak itu, sehingga wafatnya baginda nabi s.a.w. dan masuk zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar tidak ada para sahabat mendirikan salat tarawih secara berjamaah.  Mereka buat secara sendiri-sendiri di masjid atau di rumah.
Apabila Umar al-Kattab menjawat khalifah, beliau ada wewenang. Maka beliau melaksanakan tarawih secara berjamaah sebagaimana yang pernah dilaksanakan oleh baginda nabi s.a.w. dahulu.  Beliau faham bahawa umat tidak lagi keliru sama ada salat tarawih itu wajib atau sunat. Maka Umar al-Kattab mengembalikan perjalanan salat tarawih seperti pada zaman nabi s.a.w. (sebelum nabi menghentikanya). Adakah Umar al-Kattab melakukan bid’ah (membuat aturan baru dalam ibadah)?  Jawabnya tidak sama sekali.  Maka tindakan Umar al-Kattab di sini tidak bisa dijadikan hujah untuk membuat bid’ah dalam agama.

Di bawah ada dua hadis, pertama berkenaan peristiwa Umar al-Khattab mengumpulkan orang berjamaah tarawih. Hadis kedua mengenai tarawih yang dilaksanakan oleh baginda nabi s.a.w. secara berjamaah di masjid.
Menurut Abdul Rahman bin Abdul Qari (maksudnya): "Pada satu malam pada bulan Ramadan, aku keluar bersama Umar al-Khattab r.a ke masjid. Kami dapati orang ramai berselerakan. Ada yang solat bersendirian, ada pula yang bersalat dan sekumpulan muslimin datang menjadi makmumnya. Umar berkata: Jika aku himpunkan mereka dengan seorang imam adalah lebih baik. Kemudian beliau melaksanakannya. Maka dihimpunkan mereka dengan diimamkan oleh Ubai bin Ka'ab. Kemudian aku keluar pada malam yang lain dan aku dapati orang ramai  bersalat dengan imam mereka (iaitu Ubai bin Ka'ab). Umar berkata: Ini adalah sebaik-baik bid'ah. Mereka yang tidur untuk bangun bersalat pada akhir malam adalah lebih baik daripada mereka yang bersalat pada awal malam."
(Hadis riwayat al-Bukhari.)


Menurut A’isyah binti Abu Bakr r.a. (maksudnya): "Rasulullah s.a.w keluar pada pertengahan malam (pada bulan Ramadan) untuk bersalat di   Masjid   Nabawi.   Beberapa   orang lalu  datang menjadi makmum kepada baginda. Orang ramai (yang melihat perkara tersebut) mula   bercerita   mengenainya.   Maka lebih ramai orang berkumpul untuk bersalat tarawih keesokan harinya. Pada malam kedua, Rasulullah  keluar bersalat dan beberapa orang turut salat bersama baginda. Orang ramai terus bercerita mengenai salat tarawih tersebut. Maka, bertambah ramai orang yang datang bersolat tarawih  di   masjid.   Pada   malam ketiga, Rasulullah s.a.w. keluar bersalat dan mereka ikut salat bersama. Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat untuk jemaah bersalat  menyebabkan Rasulullah tidak keluar bersalat tarawih. Seorang lelaki memanggil Rasulullah untuk bersalat tarawih berjamaah namun baginda tidak keluar sehinggalah masuk waktu salat Subuh. Selesai menunaikan salat Subuh baginda menghadap orang ramai, kemudian baginda mengucap syahadah lalu bersabda: Sesungguhnya aku bukan tidak tahu penantian kamu  semua (di masjid pada malam tadi) tetapi aku bimbang difardukan salat tarawih ke atas kamu lalu kamu tidak mampu."
(Hadis riwayal Muslim.)

1 ulasan:

  1. May Allah Bless you ! dont forget to visit http://hanascribble.blogspot.com/ :) Salam Ramadan !

    BalasPadam