Pengikut

Rabu, Ogos 25, 2010

HARI Nuzulul Quran: Al-Quran untuk apa?

SEMPENA hari yang digazetkan sebagai hari pertama diturunkan al-Quran kepada baginda nabi Muhammad s.a.w. iaitu 17 Ramadan, bagus jika difikirkan semula apa ertinya wahyu Allah kepada manusia.  Kepada kita yang ajam (bukan Arab) kebanyakannya mempunyai masalah memahami terus ayat-ayat Allah itu kecuali meneliti pula terjemahan sejadinya dalam Bahasa Melayu. 


Di balik usaha segolongan memahami al-Quran untuk diamalkan dalam kehidupan, ada pihak-pihak lain hanya menggunakan al-Quran sebagai penawar penyakit fizikal dan mental.  Jika difikirkan di rumahnya ada hantu, maka dibacakan surah Yassin atau ayat Qursi. Untuk yang hendak mengambil peperiksaan di sekolah, ada yang membaca surah Yassin pada setiap minggu demi membantu kelancaran dirinya dalam menjawab peperiksaan.  Berdasarkan kepada jaminan Allah mengenai kebajikan (pahala) di akhirat untuk pembaca al-Quran, maka banyak antara kita yang berlumba-lumba membaca al-Quran sekalipun tidak memahami ertinya,(terutama pada bulan Ramadan ini).

Sejarahnya, al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat berdasarkan isu atau keperluan yang berlaku pada zaman Rasulullah.  Seperti dipersetujui, ayat pertama di Gua Hira ialah berkenaan membaca atau iqra!  Tepatnya, surah al-Alaq merupakan kumpulan wahyu pertama.  Iqra, bukan sekadar membaca malah satu gesaan kepada muslim untuk berilmu.  Maka sepatutnya, setiap muslim menjadikan ilmu sebagai salah satu keutamaan dalam hidup.  Sudah bekerja dan pendapatan besar pun, ilmu perlu dicari terutama berkaitan hal akidah dan ibadah.

Mari perhatikan beberapa permulaan atau ayat-ayat awal surah dalam al-Quran mengenai tujuan al-Quran disampaikan kepada manusia.

Ayat kedua surah al-Baqarah (maksudnya): Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada mereka yang bertaqwa.

Ayat ketiga surah ali-Imran maksudnya): Dia menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepadamu dengan sebenarnya, membenarkan kitab yang diturunkan sebelumnya  dan menurunkan Taurat dan Injil.

Ayat kedua surah al-A’raf (maksudnya): Ini adalah sebuah kitab yang diturunkan kepadamu, maka janganlah ada kesempitan dalam dadamu kerananya, supaya kamu memberi peringatan dengan kitab itu, dan menjadi pelajaran kepada orang-orang yang beriman.

Ayat pertama surah Yunus (maksudnya): Alif lam ra, inilah ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hikmah.

Ayat pertama surah Hud (maksudnya): Alif lam ra, inilah satu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan dari sisi Allah yang maha bijaksana dan maha tahu.

Ayat pertama surah Yusuf (maksudnya): Alif lam ra, inilah ayat-ayat kitab (al-Quran) yang nyata (daripada Allah).

Ayat pertama surah ar-Ra’d (maksudnya): Alif lam ra, ini adalah ayat-ayat al-Kitab (al-Quran). Dan kitab yang diturunkan kepadamu daripada tuhanmu itu adalah benar, akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (kepada al-Quran).

Ayat pertama surah Ibrahim (maksudnya): Alif lam ra, (Inilah kitab) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya  mengeluarkan manusia daripada gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan izin Tuhan yang Maha kuasa lagi Maha Terpuji.

Ayat pertama surah al Hijr (maksudnya): Alif lam ra,  ini adalah sebagian daripada ayat-ayat al-Kitab (yang sempurna) iaitu Quran yang memberi penjelasan.

Demikianlah beberapa penjelasan tujuan al-Quran diturunkan yang tercatat pada awal surah-surah.  Jelasnya wahyu Allah ini untuk menjadi pedoman hidup yang membawa hidup sejahtera dunia dan akhirat. 

Pasti akan berlaku pertentangan antara fikiran, sikap dan perilaku kita sebagai manusia dengan kehendak-kehendak al-Quran.  Oleh itu, jelaslah al-Quran tetap berfungsi sebagai panduan atau pedoman hidup kepada yang percaya atau beriman.  Percaya tanpa soal, atau ‘kami dengar dan patuh!’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan