Pengikut

Jumaat, Oktober 09, 2009

No comment, tiada hujahan


BLOG Nobisha memilih tajuk isu pilihan raya Bagan Pinang seperti ini, NO COMMENT: Saya calon Pas Bagan Pinang. Rupa-rupanya calon Pas dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang Negeri Sembilan Encik Zulkefly Mohamad Omar hanya melepaskan kata-kata ‘no comment’ terhadap pertanyaan wartawan yang mahukan pendirian dan pemikirannya berkaitan dasar dan isu dalam kerajaan Pakatan Rakyat. Senang cakap, ahli politik yang sepatutnya murah air liur tidak boleh membisu terhadap apa juga isu. Memang itu kerja ahli politik, bercakap, bercakap dan bercakap.


Dalam blog saya ini ditemui cerita hampir sama, iaitu orang yang sepatutnya bercakap tidak bercakap. Ada antara isi-isi blog ini agak menyimpang dengan pemikiran dan pendirian beberapa pihak institusi agama atau perseorangan. Maka dalam ruangan kecil cbox kerap muncul tulisan mengecam, menghina, mengutuk dan menuduh saya sebagai si jahil yang bercakap hal agama. Terima kasih kerana pengkirit blog ini sentiasa memantau dan mahu berinteraksi dengan saya.


Kalau pengkritik itu sudah mengutuk, mengatakan saya salah dan jahil tentulah pengkritik ini bukan orang biasa, tetapi golongan agama atau bertaraf ustaz. Saya fikir dalam tulisan-tulisan yang diterbitkan di sini disokong oleh mana-mana ayat al-Quran dan hadis, atau setidak-tidaknya bertepatan dengan prinsip kedua-dua sumber utama dalam Islam. Kemudian daripada kedua-dua itu tulisan-tulisan di sini menyentuh isu-isu semasa termasuk hal-hal akidah, ibadah, sejarah, politik, sosial dan ekonomi.


Selain seorang ustaz yang gemar menukar nama samaran, banyak ustaz yang menulis satu dua ayat untuk terus menghukum tanpa memberi alasan. Yalah, satu budaya dalam masyarakat bahawa golongan agama gemar mengeluarkan hukum saja. Dan berkali-kali saya mempelawa supaya penghukum-penghukum ini untuk memperjelas hukumannya dalam sebaris ayat itu kepada huraian yang panjang. Ada seorang ulama muda yang saya kenal dan gemar menghukum sesuatu hal, dengan murah hati saya menyediakan ruangan untuk dia bersilat sebebas-bebasnya. Namun ustaz ini memilih menjadi askar gerila, kerja main tembak dan lari. Maka ustaz dan ulama lain yang gemar menghukum dalam cbox langsung tidak akan memberi hujahan kepada saya.


Jadi apa? Sama seperti calon Pas di Bagan Pinang yang hanya mahu orang mengundi dirinya menjadi Wakil Rakyat tanpa dia bersusah payah memberi hujahan daripada pemikirannya. Ustaz dan ulama yang suka menghukum dalam cbox ini juga tidak memberi apa-apa hujahan atau mempertahankan pendiriannya setelah menghukum. Tabiat supaya orang menerima dirinya sebagai betul dan hebat tanpa menjalani proses penilaian bukanlah prinsip keilmuan yang dianjurkan oleh Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan