Pengikut

Isnin, November 10, 2008

KAYU sula

SI jurubom dalam tregedi Bali 2002 yang mengorbankan 202 jiwa, Amrozi, Ali Ghufron dan Imam Samudra sudah menjadi arwah selepas menghadapi skuad penembak masing-masing. Seperti biasa ada yang meragui bahawa ketiga-tiga mereka adalah jurubomnya dan sebagian lagi cukup yakin dan berterima kasih dengan selesainya hayat tiga manusia ini. Allah juga yang Maha Tahu!

Tulisan ini cuma mahu menyusup mengenai keyakinan manusia menghadapi mati dan sebagian besar lagi (mungkin termasuk penulis) cukup gerun dengan khabar kematian sendiri. Khabarnya ketiga-tiga finalis pengebom Bali cukup bersemangat untuk menerima hukuman mati kerana sudah terbayang alam syurga bagi para syuhada. Ya, kerana keyakinan bahawa perbuatan itu, mereka akan menempuh syahid. Biarlah Allah yang menentukan benar salahnya mereka.


Pejuang kemerdekaan Filipina Jose Rizal juga mengakhiri hidupnya dengan menerima hukuman tembak daripada pemerintahan Sepanyol. Dikhabarkan apabila tubuhnya tertiarap kerana ledakan senjata api penembak, Jose Rizal berusaha untuk menelentang sebagai tanda tetap melawan penjajah sekalipun sudah di hujung nyawa. Demikian berani dan yakinnya seorang pejuang.

Umar Mukhtar seorang pejuang dari Libya juga akhirnya digantung oleh penjajah Itali sekitar tahun 1930-an kerana aksi-aksinya menggerakkan rakyat melawan penjajahan. Kepada rakyat muslim Libya, Umar Mukhtar telah menjadi syahid tetapi kepada Itali dan pendukungnya Umar mati sebagai pemberontak. Dalam filem digambarkan Umar tenang saja menerima hukuman yang disaksikan oleh jutaan rakyat Libya!

Tokoh Ikhwanul Muslimin Mesir yang mendapat hadiah tali gantung pada zaman Presiden Gamal Abdul Nasir ialah Abdul Qadir Audah dan Syed Qutb. Diberitakan mereka tidak mahu memohon apa-apa ampun daripada sang Presiden dan bersedia mati kerana pekerjaan mereka.

Dalam fiksyen novel Keluarga Gerilya oleh Sasterawan Besar Indonesia Pramoedya Ananta Toer seorang tokoh pejuang kemerdekaan bernama Saaman mengakhiri watak hebatnya di hadapan skuad penembak. Mungkin kerana itu hanya cerita sastera, maka pengarangnya menggambarkan hebatnya Saaman menghadapi skuad penembak daripada kalangan bangsanya sendiri. Saaman seperti tidak akan rugi apa-apa dengan kematian, malah tidak mahu pula matanya ditutup supaya dapat menyaksikan anak-anak muda bangsanya melepaskan peluru pembunuh untuk menamatkan riwayat pejuang kemerdekaan bangsanya sendiri. Indahnya dalam sastera seorang pejuang!

Berdasarkan cerita tukang gantung dalam penjara di dalam negara, banyak banduan akhir yang sudah lemah lutut atau tidak bermaya sebelum tubuhnya ditegakkan untuk digantung sampai mati. Sejahat-jahat dan hebat manapun manusia akan mencari jalan akhir untuk menyelamatkan nyawanya daripada direnggut kecuali mereka yang penuh keyakinan bekerja dan berjuang kerana di jalan benar dan sanggup menerima kematian itu! Orang-orang seperti ini penuh yakin bahawa sebaik sahaja mati menjemput, rohnya diraikan sebagai tetamu kebesaran Allah!

Malangnya belum ada para petugas di penjara akhir yang berfikiran kreatif lalu menjadikan pengalaman mereka sebagai modal penulisan cerpen atau novel. Oleh itu segalanya tinggal misteri dan hilang tanpa rakaman penulisan abadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan