Pengikut

Sabtu, Jun 13, 2015

INILAH dalil Al-Qur'an tentang Kenduri Arwah

LUPAKAN  sama ada Kenduri Arwah itu adat resam Melayu atau ibadah dalam agama Islam. Orang pun telah banyak yang menjelaskan keadaan itu. Hakikatnya, Kenduri Arwah merupakan satu perkara mesti dalam masyarakat Islam di Nusantara sebagai ‘acara wajib’ ketika ada kematian atau saat-saat mengenang orang yang telah mati.

Ringkasnya Kenduri arwah merupakan satu ritual ibadah. Kenduri Arwah sebagai satu set modul pemerolehan pahala daripada Allah yang pahalanya dipindahkan kepada para arwah yang dikenang dan dikasihi.  Maksudnya, orang yang membacakan ayat-ayat al-Quran dalam set modul Kenduri Arwah telah berniat bahawa semua pahala itu dengan reda diserahkan kepada arwah-arwah berkenaan. Ini merupakan satu pertolongan orang yang hidup terhadap kepayahan (atau menambah kesenangan) orang dalam kubur. Sebagai ganjaran dunia, orang-orang yang meredakan pahalanya diserah kepada orang mati akan diberi penghargaan: jamuan makan.

dalil kalam ulama bukan kalam Allah dan Nabi

Setakat ini pembela tidak memberikan dalil-dalil khusus mengenai berkesannya pahala-pahala yang diserahkan itu kepada si mati.  Paling habis mereka memberikan kata-kata ulama sebagai dalil sahnya amalan itu sebagai salah satu ibadah di sisi Allah.  Walhal Allah telah merakamkan dalil-dalilnya dalam al-Quran sejak sekian lama.

Ayat 46 surah al-Fusilat, “Sesiapa yang mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang yang berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri. Dan Tuhanmu tidak sesekali menzalimi hamba-hamba-Nya.”

Ayat 48 surah al-Baqarah, “Dan takutlah kamu pada hari (ketika) tidak ada seorang pun dapat membela orang lain sedikit pun.  Sedangkan syafaat dan tebusan apa pun daripadanya tidak diterima dan mereka tidak akan ditolong.”

Ayat 110 surah al-Baqarah, “Dan segala kebaikan yang kamu kerjakan untuk dirimu, kamu akan mendapatkannya (pahala/ganjaran) di sisi Allah.”

Ayat 54 surah Yaasin, “Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikit pun dan kamu tidak akan diberi balasan, kecuali sesuai dengan apa yang telah kamu kerjakan.”

Ayat 17 surah Ghafir, “Pada hari ini setiap jiwa diberi balasan sesuai dengan apa yang telah dikerjakannya.  Tidak ada yang dirugikan pada hari ini.  Sungguh Allah sangat cepat perhitungannya.”

Itulah beberapa ayat Allah yang membawa maksud setiap amal salih seseorang balasannya hanya terhadap dirinya sendiri. Maknanya amal salihnya membaca beberapa ayat al-Quran dalam Kenduri Arwah, pahalanya hanya untuk dirinya dan tidak berguna kepada mana orang sama ada yang masih hidup atau telah mati.


Allahu ‘aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan