Pengikut

Khamis, Ogos 29, 2013

MALAYSIA juga merdeka dengan DARAH!

"Malaysia Berdaulat: Tempat Tumpahnya darahku"

MALAYSIA merayakan hari merdekanya pada tanggal 31 Ogos. Tahun ini sudah 56 tahun negara ini merdeka.  Oleh kerna negara ini memberi hak bersuara kepada rakyatnya, maka antaranya berkata bahawa kemerdekaan negara tidak bermakna merdeka sebenar.  Merdeka Malaysia tidak menitiskan darah!  Kerna itu para pemimpin negara dahulu didakwa pula sebagai pengecut dan menjadi antek atau tali barut penjajah!

Mengeji atau memuja memang mudah.  Belum tentu yang mendakwa orang takut mati berdarah, dia adalah orang yang dengan rela ditumpahkan darahnya. 

Tanah Malaysia bukan mula dijajah kuasa Barat pada tahun 1955 dan kemudian pada tahun 1957 mendapat kemerdekaan.  Jika hanya tempoh dua tahun itu negara dijajah dan merdeka pula, saya pun setuju tidak ada darah tumpah ke bumi kerna perjuangan melawan penjajahan.  Tetapi negara mula dijajah kuasa Barat sejak tahun 1511.  Sejak tahun itu sahaja, entah berapa ratus pejuang-pejuang tanah air di bawah pimpinan Sultan Mahmud Syah (mantan Sultan Melaka) gugur sebagai perwira kerna mahu menghalau bangsa Portugis dari bumi Melaka.  Perjuangan berdarah melawan Portugis untuk membebaskan Melaka disambung pula oleh putera almarhum Sultan Mahmud yang telah membina negeri Johor.  Berapa banyak yang tewas, darah tumpah ke bumi? 

Antara pejuang yang hebat mahu membebaskan Melaka dari penjajahan Barat ialah Yam Tuan Muda Raja Haji yang berpangkalan di Johor-Riau.  Namun darah Raja Haji juga tumpah di ditanah tercinta.  Itu berlaku pada abad ke-18, sebelum datangnya British dan Jepun menjajah negara.

Berapa banyak pula yang tumpah darahnya akibat melawan British di Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak?  Perjuangan Maharaja Lela, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Rentap dan Mat Salleh bukan dengan lisan dan air mata, tetapi dengan mengalirkan darah ke bumi!

Jangan hanya melihat Perang Revolusi Indonesia melawan Belanda untuk kemerdekaan totalnya tahun 1949 sebagai kayu ukur cara kemerdekaan Malaysia.  Benar tidak ada revolusi melawan British sehingga Malaysia merdeka, tetapi perjuangan bukan hanya dengan cara bertempur dan merusuh.  Bertempur di medan perang pun akhirnya tetap ke meja rundingan untuk mengikat janji antara yang menang dan kalah.

Sejarah perjuangan kemerdekaan Malaysia sangat panjang, sepanjang sejarah penjajahan bangsa-bangsa asing seperti Portugis (Portugal), Belanda, Jepun dan British.  Perjuangan secara tempur atau perang telah ditempuh dengan panjang berserta linangan air mata dan darah, maka sampai masa perjuangan merdeka ditukar dengan cara debat dan lisan.  Akhirnya Malaysia merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957!

Hari ini Malaysia terus berdaulat dan menjadi salah satu negara yang gah di dunia.  Meskipun Malaysia berwilayah kecil penduduknya 28 juta jiwa, namun kejayaan menjaga kemerdekaan  dan memajukan negara menjadikan Malaysia tumpuan pencari kerja dari Indonesia, Bangladesh, Filipina, Thailand, Kemboja, Mnyanmar, Nepal dan India.  Bukankah negara-negara berkenaan terlebih awal merdeka berbanding Malaysia, yang antaranya dengan perang revolusi untuk mengalahkan penjajah Barat!  Akhirnya mereka ke Malaysia juga mencari rezeki keluarganya.

Seluruh rakyat Malaysia berhak merasa bangga dan bersyukur dengan kemerdekaan negara serta meneruskan jalan keamanan dalam negara.  Jelas fitrah manusia ialah mahukan keamanan! Kalau Malaysia tidak aman, tidak ada rakyat asing yang ke Malaysia, malah sepatutnya rakyat Malaysia yang keluar ke negara lain. Ini  tidak berlaku dalam sejarah Malaysia merdeka!


Dirgahayu Malaysia!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan