SESIAPA saja di serata dunia yang mahu melihat dan
merasai kehidupan yang tidak tenteram, penuh pertikaian, dendam kesumat dan
mayat bergelimpangan, datanglah ke negara-negara atau wilayah yang berpenduduk
Islam. Sungguh ironis dengan maksud
Islam sebagai sejahtera, yang didakwahkan kepada masyarakat ‘masuk Islam maka
kamu akan sejahtera’.
kemusnahan di Mesir, negara yang ada Uni. al-Azhar |
Wilayah kecil yang memang sentiasa panas seperti di
Palestin, Myanmar, Mindanao dan Pattani hari ini ditenggelami oleh pertempuran
dan pembunuhan berskala besar di Syria dan Mesir. Maka tidak hairan jika persepsi masyarakat
bukan Islam serata dunia terhadap orang Islam sangat tidak elok. Orang Islam
dikatakan ganas dan mudah menjadi pengganas.
Dunia Islam adalah wilayah paling tidak selamat, mundur dan sangat tidak
beretika.
Memang tamadun Islam yang muncul di Makkah abad
ke-7 dahulu bukanlah bertujuan mewujudkan masyarakat Islam yang sedemikian
teruk. Sejarahnya, masyarakat yang belum
menerima ajaran Islam itu yang teruk, kemudian mereka menjadi hebat dan
dijadikan sebagai contoh akibat menerima Islam.
Hari ini perkara itu sudah terbalik.
Tidak semua masalah ini akibat pemikiran dan
tindakan masyarakat Islam. Banyak orang
cerdik dalam kalangan dunia Islam membuat kajian dan menemui punca masalah
ini. Antaranya ialah konspirasi
masyarakat Barat yang sejak lama melihat masyarakat Islam sebagai ancaman
tamadun mereka. Tamadun Islam telah
bertapak di Sepanyol begitu lama. Perang Salib antara Islam dan Kristian juga
tidak dapat dilupakan. Malah antara kesan permusuhan Islam dan Barat (baca
Kristian) ialah kemusnahan tamadun Melayu di Melaka dahulu. Sejak itu bangsa Melayu yang Islam di semua
wilayah Nusantara menjadi bahan kezaliman dan kekayaan bangsa Barat!
Apabila komunisme tumbang pada akhir tahun 1990
dahulu, orang tidak sangsi lagi menyatakan bahawa yang menjadi musuh kepada
Barat ialah Islam. Hal ini semua kerana
sejarah yang dilalui sejak munculnya tamadun Islam di Makkah pada zaman
Rasulullah. Sejak itu Islam menjadi satu
kuasa besar yang meruntuhkan kuasa besar Barat iaitu Rom atau Byzantiun, khasnya
di Eropah Timur. Jangan tidak tahu
bahawa kota tamadun Barat di Eropah Timur paling penting ialah Constantinopel
berjaya diambil oleh kuasa Islam Turki dan sekarang menjadi Istanbul. Sejarah tidak pernah padam, maka jangan
abaikan bahawa Barat memang memerlukan ‘musuh’ untuk terus berbangga sebagai
satu kuasa, Islamlah musuh mereka.
Tidak susah memahami bahawa malapetaka dunia Islam
dalam perancangan tamadun Barat. Lihat sejarah Eropah dulu dan sekarang. Eropah sebagai pusat tamadun Barat dan
Kristian sebenarnya pusat peperangan dunia. Perang Dunia Pertama (PD1) dan
Perang Dunia Kedua (PD2) berpusat di sana dan semua negara Eropah terlibat
sehingga ratusan juta penduduknya mati.
PD2 sendiri merupakan hasil PD1. Sangat
aneh yang berlaku sekarang. Hari ini semua negara Eropah membentuk kesatuan
dalam semua perkara seolah-olah semua negara di sana tidak pernah menghadapi
permusuhan atau peperangan yang merugikan negara mereka. Rakyatnya diajak melupakan sejarah permusuhan….
demi kejayaan satu bangsa Eropah menguasai dunia hari ini.
Sangat berlawanan, ketika semua negara Eropah
bersatu dan melupakan permusuhan, di semua negara Islam suasana permusuhan dan
peperangan semakin besar! Ada sahaja
masalah yang tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam di semua negara
Islam. Akibatnya, berlakulah demontrasi
berhari-hari dan berbulan-bulan. Ada
sahaja pemimpin di negara Islam yang didakwa melakukan kezaliman dan rakyatnya
bersiap sedia untuk memberontak.
Anehnya, tidak ada kes-kes seperti ini di negara-negara Eropah atau
negara-negara sekutu Eropah lain.
Seperti yang disebutkan di atas bahawa orang sedar
siapa yang menjadi batu api pada semua masalah dunia Islam. Masalah utamanya ialah para pemimpin Islam
yang tidak dapat melepaskan diri daripada menerima nasihat, risikan dan hasutan
ejen-ejan Barat. Barat adalah pakar
menentukan bagaimana kesosakan umat Islam dulu dan sekarang.
Janganlah kaget lagi. Sebagian siri pertelagahan sesama muslim
adalah mereka daripada kumpulan yang dikatakan perjuangkan Islam. Dengan mendakwa sebagai kumpulan fundamental
Islam, banyaklah perkara yang tidak Islam yang dibuat oleh pemerintah
Islam. Perkara itu sudah cukup untuk
menjadi ramuan permusuhan dan kemusnahan besar. Jihad dan mati syahid!
Jadi teruskanlah berperang kerana Barat telah
mengajar bahawa Islam disebarkan dengan pedang!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan