Pengikut

Khamis, Julai 07, 2011

TATKALA ceramah sebelum khutbah....

BEBERAPA tahun yang lalu dalam sebuah surau ada yang bertanya: Apakah hukumnya diperdengarkan bacaan al-Quran daripada kaset atau CD sebelum khutbah jumaat?  Si ustaz nampaknya dalam dlema hendak memberi satu jawaban yang tuntas sama ada tidak boleh atau boleh.  Beliau masih berkira-kira mengenai hak orang yang beriktikaf, yang mahukan suasana hening tetapi dia juga merasakan perlunya kemeriahan pada hari Jumaat!


Agaknya keputusan yang tidak jelas begitu menyebabkan orang pun masih berbeda-beda pendapat mengenainya.  Keadaan seperti ini menggambarkan al-Quran dan sunah nabi tidak memberi garis panduan yang jelas dan membiarkan orang-orang Islam memihak berdasarkan kepentingan masing-masing.

Orang hadir awal ke masjid pada hari Jumaat adalah untuk beriktikaf atau melakukan ibadah khusus secara sendirian.  Maka ada yang berzikir, membaca al-Quran dan bersolat.  Bagaimana jika ada yang berzikir  dan membaca al-Quran dengan suara yang kuat, sedangkan mereka sedang melakukan ibadah khusus kepada Allah.

Maksud sabda Rasulullah:  Ketahuilah bahawa semua kamu sedang bermunajat kepada Rabnya (Tuhannya). Kerananya, janganlah sebagian antara kamu mengganggu sebagian yang lain.  Dan janganlah sebagian antara kamu menguatkan bacaannya dari sebagian yang lain.  (Riwayat Abu Dawud dan dinyatakan sahih oleh al-AlBani.)

Daripada hadis itu jelas, sekalipun seseorang sedang membaca al-Quran (membaca al-Quran merupakan ibadah yang mulia), namun apabila dia menguatkan bacaannya dikira sudah menganggu orang lain yang sedang beribadah kepada Allah.  Masih tidak jelaskah peraturan daripada Rasulullah yang melarang kebisingan dalam masjid sekalipun daripada suara zikirullah atau membaca wahyu Allah?

Sekarang ada pula tindakan beberapa pihak yang berceramah atau memgadakan majlis ilmu (istilah lain ialah tazkirah) dengan menggunakan pembesar suara.  Penuh suara si penceramah dalam masjid sedangkan pada waktu yang sama orang masuk ke masjid dan melakukan solat tahiyatul masjid.  Ada yang berzikir dan berdoa.  Suara yang lantang itu jelas satu gangguan kepada jemaah Jumaat yang hadir  dan seakan ada satu paksaan pula untuk mendengar ceramah sebelum khutbah.

Diriwayatkan daripada ‘Amr bin syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya iaitu Abdullah bin ‘Amr:  Bahawa Rasulullah melarang berniaga, mencari barang yang hilang dan bersyair dalam masjid.  Baginda juga melarang membuat halaqah sebelum solat (Jumaat) pada hari Jumaat. (hadis hasan riwayat Abu Dawud, At Tirmizi dan an-Nasa’i.)

Begitulah pendirian as-Sunah mengenai larangan menganggu hamba-hamba Allah yang sedang bermunajat kepada Tuhannya.

Allahuaklam.

2 ulasan: