Pengikut

Jumaat, Julai 15, 2011

BIARKAN Ng Suee Lim membaca ayat-ayat kebenaran

KALI ini kes orang bukan Islam membaca hadis, dulu baca ayat quran.  Jadi isu lagi kerana ada orang menganggap mereka tidak boleh sama sekali membaca alquran dan hadis nabi.  Oh ya ya, sebelum ini sudah diketahui  umum bahawa mantan Perdana Menteri Britain Tony Blair membaca alquran.  Kalau YB bukan Islam membaca hadis hendak dijadikan isu, sepatutnya Tony Blair membaca alquran juga jadi isu!

Jangan apabila Tony Blair membaca alquran, kita suka dan berharap dia akan masuk Islam setelah faham kandungannya, tetapi apabila orang bukan Islam di Malaysia baca quran atau hadis, kita memarahinya.  OK....

SHAH ALAM, 14 JULAI – Perlakuan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman yang menghalang seorang Adun DAP daripada memetik petikan hadis dalam sidang Dewan Negeri, mencerminkan mentaliti cetek UMNO terhadap Islam.

Adun Sekinchan Ng Suee Lim berkata, tindakan Satim menyekat beliau menyebut petikan hadis adalah untuk menunjukkan kononnya agama Islam itu adalah hak milik UMNO sahaja. “Islam merupakan agama yang bersifat global, iaitu untuk semua, dan sesiapa pun boleh mempelajari ajaran Islam.  Saya tak pernah berniat hendak memperlekehkan atau mempersendakan agama Islam kerana bagi saya Islam adalah agama yang murni,” katanya.

Jelas Ng lagi, tindakan Satim itu ternyata salah dan berdasarkan pemikiran yang sempit.  “Bila dia sekat saya dari memahami Islam, itu jelas bercanggah dengan budaya Islam sendiri,” katanya.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2011 pada Selasa lalu, Ng menyatakan bahawa beliau mahu membacakan sebuah hadis sebagai hujah untuk menyokong perbahasannya.

Hujah Ng adalah untuk menjelaskan mengenai Skim Mesra Usia Emas yang mencapai perkembangan memberangsangkan tanpa sebarang rungutan oleh para peserta dan penerima skim tersebut.

Namun, belum pun beliau sempat memetik hadis tersebut, Satim telah mempertikaikan tentang kesahihan hadis yang belum dibacakan Ng itu.

Satim ketika ditemui wartawan dipetik sebagai berkata: “Kenapa Ng mahu membicarakan mengenai hadis agama Islam sedangkan beliau tidak beriman kepada agama itu sendiri.”

Bagaimana pun, Ng berkata sebagai seorang yang bukan beragama Islam, jika disekat untuk memahami Islam, sampai bila-bila pun orang bukan Islam tidak akan memahami Islam.

“Kalau orang ramai tidak memahami Islam, bagaimana mereka hendak mendapat hidayah?” soalnya.
Apabila Satim dan Adun BN Kuang Shukur Idris menimbulkan kekecauan dalam Dewan dengan tidak mahu membenarkan sesi diteruskan, Speaker Teng Chang Khim tidak ada pilihan kecuali mengarahkan mereka keluar Dewan.

(berita seterusnya berkaitan dengan sikap berpolitik, saya sengaja memotongnya. Maafkan saya.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan