Pengikut

Selasa, Jun 14, 2011

MENCARI jaminan syurga Allah


KESENANGAN hidup dengan mengakui sudah beriman kepada Allah dan rasul-Nya sering menyebabkan kita lupa bahawa hidup ini masih ujian daripada Allah.  Ucapan-ucapan mudah juga kerap didengar ‘menjadi muslim, kelak satu jaminan akan mendapat syurga Allah’.  Ada lagi pemahaman iaitu ‘sekalipun muslim berdosa, dan dimasukkan ke dalam neraka…akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga’ sudah lama didengar.  Ayat-ayat indah ini seperti memberi jaminan bahawa syurga itu sudah sedia menanti manusia muslim di akhirat sana.


Tidak dinafikan kerna alam akhirat itu merupakan perkara ghaib yang tidak terjangkau oleh akal kita sekarang menyebabkan tidak banyak huraian mengenainya.  Kerna menganggap ada jaminan syurga kepada yang melafazkan ‘laa ila ha illallah’ menyebabkan satu pemahaman mudah dalam kalangan masyarakat muslim mengenai kedudukan mereka di akhirat kelak.

Adakah sudah melafazkan syahadah ‘tiada Tuhan selain Allah’ juga bererti sudah terselamat daripada disesatkan oleh syaitan?  Tidak dinafikan bahawa pemahaman yang mudah bahawa cukup mengakui sebagai muslim atau telah melafazkan  ‘tiada Tuhan selain Allah’ bakal dihadiahkan keindahan syurga merupakan satu angan-angan indah yang diberikan oleh syaitan.

Allah bertanya dalam al-Quran (al-Baqarah: 214) “Adakah kamu mengira akan dimasukkan ke dalam syurga, padalah belum datang percubaan kepadamu seperti (yang dialami) oleh orang-orang terdahulu.  Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai cubaan) sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata ‘bilakah pertolongan Allah akan datang?’.  Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” 

Ayat berkenaan cukup menggambarkan bahawa syurga Allah itu bukan suatu yang bisa didapat dengan jalan santai-santai sekalipun sudah mengucapkan kesaksian tiada Tuhan selain Allah.  Kalaulah cukup dengan melafazkan ‘laa ila ha illallah’ menyebabkan Allah akan memasukkan manusia ke dalam syurga, tidaklah orang yang terdahulu itu sanggup menempuh penderitaan semata-mata mengharap keredaan Allah.  Bayangkan saja pergantungan mereka terhadap Allah sehingga seolah-olah bertanya ‘bila Allah mahu tolong kita, sudah tidak tahan lagi!’

Dalam perang Khandak kaum muslimin mendapat cubaan yang dahsyat daripada Allah sehingga dirakam keresahan hati mereka dalam al-Quran. Al-Ahzab:10 “….dan kamu berprasangka yang bukan-bukan terhadap Allah.”

Surah ali-Imran: 142 “Adakah kamu mengira akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.”

Tidak syak lagi bahawa kehidupan ini merupakan penapisan untuk ditentukan siapa yang akan dimasukkan ke dalam syurga.  Eloklah direnung kembali bagaimana kita menjalani kehidupan sebagai muslim yang sangat berharap hadiah syurga Allah itu.  Orang zaman dahulu juga sangat berharap hadiah syurga Allah itu.

Kalau kita tidak diuji dengan peperangan yang menjadi garis pemisah antara beriman atau kufur terhadap Allah, tidak malukah dengan kekalahan diri apabila mendengar azan tetapi masih berdiam diri tidak ke masjid?

Itu belum dihitung betapa bakhil atau kedekutnya hendak membelanjakan harta ke jalan kebajikan seperti membayar zakat, sedekah atau menyumbangkan seringgit dua untuk dana orang ramai.

Yang lain, betapa kita malas dan sangat berkira-kira untuk menyumbang tenaga secara percuma dalam kerja kebajikan, bergotong-royong atau bekerja sehingga bercucuran keringat sedangkan tidak mendapat habuan apa-apa kecuali sedikit air daripada orang.  Kehidupan mewah menyebabkan diri akan cepat melarikan diri daripada menyumbang khidmat bakti atas alasan penat, ada sedikit penyakit kaki, hendak menghantar anak ke sekolah dan pelbagai sebab, akhirnya tidak ada tenaga yang disumbangkan untuk awam secara percuma.  Tidak ada setitik peluh menitik ke bumi sedangkan kita bercita-cita untuk menjadi penghuni syurga itu.

Di balik itu, kita begitu sanggup berpenat-penat untuk mencari kekayaan keluarga, atau beraktiviti untuk kepentingan diri dan lingkungan kerjaya besarnya.

Eloklah kita malu apabila membaca kisah hidup orang zaman dahulu yang sanggup menjual kehidupan semata-mata mahu mencari jaminan Allah.  Patut banget Allah memberi hadiah syurga kepada orang dahulu yang diuji dengan berat, dan agaknya patut banget Allah tidak memandang doa kita sekarang ini.  Betapa malunya diri.

wallahuaklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan