Pengikut

Rabu, Jun 15, 2011

JIKA Tony Blair belajar Islam di kampung

LAPORAN dari kota London mengatakan mantan Perdana Menteri Britain kini membaca al-Quran saban hari.  Blair seorang penganut Kristian Katolik, tetapi bersikap terbuka dalam agama.  Selain (mungkin) pengaruh adik iparnya yang sudah menjadi muslim, dia membaca al-Quran kerana kehendaknya sendiri.  Hasilnya, Blair mengatakan Islam merupakan agama yang indah.  Tanggapan Blair bahawa Islam agama yang indah memang hasil pembacaan al-Quran. 

Orang Melayu di Malaysia sangat pelik dan curiga dengan Blair yang membaca al-Quran.  Dalam kepala orang melayu (yang berfikiran ortodok), orang Islam di Britain tidak betul kerana membenarkan orang kafir memegang naskhah al-quran dan membacanya.  Atau orang-orang Melayu tidak percaya berita Blair membaca al-Quran sebab diyakini Blair bukan tahu bahasa Arab atau tahu membaca tulisan Arab.  Majoriti orang Melayu yakin orang kafir tidak boleh memegang al-Quran.  Kalau itu berlaku kesalahan diletak di bahu orang Islam yang membenarkan orang kafir seperti Blair memegang al-Quran.  Orang Melayu juga percaya apa yang dinamakan membaca al-Quran ialah seperti mereka yang membaca dalam bahasa Arab sekalipun tidak tahu maknanya.  Mereka berfikir, karutlah Blair boleh membaca al-Quran.

Semasa saya remaja-muda telah dibawa ke majlis usrah yang di dalamnya ada pembacaan al-quran dan terjemahannya dalam bahasa Melayu. Kumpulan saya semua orang Melayu yang buta bahasa Arab, sebab itulah terpaksa membaca terjemahan dalam Bahasa Melayu.  Rakan senior mengatakan orang Islam mesti memahami al-Quran supaya boleh mengamalkan ajarannya.  Itulah titik tolak proses pemahaman saya mengenai al-Quran.  Pada saya, membaca al-Quran mestilah untuk mengetahui kandungannya, bukan untuk menikmati melodi atau keindahan laras bahasanya.

Saya yakin Tony Blair itu membaca terjemahan al-Quran dalam bahasa yang dia sangat faham mungkin Bahasa Inggeris.  Kerna Blair faham kandungan al-Quran, maka dia faham Islam agama yang indah.  Islam itu mesti didasarkan pada al-Quran, bukan pendapat akal orang yang diberi gelar ulama atau ustaz.  Saya tinggal di kampung, kalau rajin duduk dalam majlis ilmu agama di masjid semua guru agama yang mengajar agara tidak meletakkan al-Quran di hadapan.  Terus terang, dengan mudah mereka mengeluarkan pendapat yang dikatakan agama Islam walhal bukan daripada al-Quran.  Lihat saja kalau belajar fikah, babi yang haram dimakan berdasarkan al-Quran sudah merebak kepada banyak hukum. Proses samak yang hadis nabi ajarkan hanya untuk jilatan anjing pada bejana yang basah sudah menimbulkan hukum samak kepada kesan tapak kaki anjing, kesan daging babi pada kuali, garpu dan macam-macam.  


Istilah bersih tidak cukup untuk mengesahkan pakaian yang dibawa solat, mesti ada istilah suci. Maka dihukum tidak suci pula jika mencampur pakaian dalam dengan pakaian harian dalam mesin basuh.  Ustaz mengatakan, kena basuh atau jirus dengan air dahulu baru masukkan dalam mesin basuh.  Rendam saja tidak boleh, mesti dijirus atau dilalui air yang mengalir.  Kalau berwuduk dalam air bertakung mesti pasti dua kolah, kalau tak sampai dua kolah percikan air wuduk tidak boleh masuk semula dalam takungan air itu.  Kalau diguna juga air itu untuk berwuduk, wuduknya tidak sah, solatnya jadi tidak sah, jadi berdosa, jadi masuk neraka!  Adakah Tony Blair merasakan indahnya Islam yang saya kena terima di kampung?

Kalau belajar akidah Islam di kampung saya mesti berdasarkan Sifat 20.  Mujur tidak ada ustaz di kampung yang berfatwa: Siapa tidak belajar  tauhid menggunakan Sifat 20, maka dia kafir!  Mujur, mujur!  Kini saya bayangkan Tony Blair duduk bersama saya belajar akidah di kampung.  Saya pasti Blair akan pening apabila guru membuka kitab kuning Sifat 20, dimulakan dengan sifat Allah ada lawan tiada.  Mendengar lawan tuli.  Di London Blair memahami tauhid dalam al-Quran sangat mudah bahawa Allah adalah Tuhan yang berkuasa segala-salanya. Nak menjadi muslim kena beriman dan menunaikan kerja-kerja ibadah sebagai pembuktian keimanan. Cukup begitu dan dia rasa Islam itu mudah dan Indah.

Apabila Blair belajar di kampung saya, dia bukan saja pelik cara ustaz membaca kitab kuning abad ke-17dan 18, malah dia pening apabila orang-orang Islam hanya duduk buat-buat faham walhal mereka tidak faham satu benda pun.  Tapi kerna hormat sangat terhadap guru agama, macam haram nak tanya atau meminta diubah kitab yang sesesuai dengan zaman IT, zaman generasi X dan Y.

Jika Blair faham Islam yang indah sebabnya kerana dia polos, tidak dipengaruhi benda-benda pelik dalam adat yang difahami sebagai agama pula.  Malangnya di kampung-kampung, jika kita membaca terjemahan al-Quran, akan ditegur supaya menghadap ustaz, tidak boleh membaca al-Quran begitu-begitu saja.  Begitulah keramat dan sucinya al-Quran di kampung-kampung yang sudah beratus-ratus tahun menerima Islam.  Di London, sesiapa saja boleh membuka dan membaca al-Quran.  Jika ada orang kampung bersikap seperti orang London yang terbuka terhadap al-Quran, orang kampung akan menjadi pelik sebab pemahaman agamanya tidak sama dengan pemahaman nenek-moyangnya.  Eloklah Blair dan rakan-rakannya jangan belajar agama di kampung saya.

1 ulasan:

  1. ihave follow ur blog..this mine http://arifhelmi.blogspot.com/

    BalasPadam