APABILA sudah dewasa begini, saya mengingat semula mengenai zaman remaja atau anak muda. Orang berkata, zaman muda adalah zaman penuh idealism. Saya tanya kepada sekumpulan pelajar-pelajar baru prauniversiti: Apa itu idealisme? Tidak ada sesiapa yang menjawabnya, cuba menjawab pun tidak ada. Ilmiah sangat agaknya, tak sesuai dengan kebiasaan minda yang santai dan suka yang ciput-ciput. Perkataan ‘ciput' tahu pula…
Dahulu surau di kampung saya ditambah sebuah lagi, dijejerkan. Maka surau yang lama dialih ke sebelah kanan dan diguna untuk kaum wanita, surau baru untuk lelaki. Beberapa lama kemudian seseorang ahli berkata yang sepatutnya orang lelaki berada di surau lama supaya solatnya di sebelah kanan pihak perempuan. Menurutnya, itulah yang sepatutnya. Otak saya pun segera mengiakan sebab pernah melihat kedudukan itu di beberapa buah masjid. Maka saya pun terus mencadangkan agar pihak lelaki segera berpindah ke surau lama! Bagi saya, kalau itu yang betul kita buat.
Cadangan saya tidak mahu dilaksanakan oleh pihak lelaki dewasa walaupun mengakui sepatutnya begitulah. Sekarang saya berfikir: Masa saya remaja itu saya ada idealisme. Saya hannya mahu yang terbaik, tidak perdulikan hal-hal lain. Bagi orang dewasa, walau tahu yang saya sebutkan itu betul, ideal atau unggul, namun mereka ada perkiraan lain untuk tidak setuju dengan idealisme saya.
Bab idealisme ini juga banyak kenangan saya terutama dalam bab membentuk pemikiran dan tindakan. Kata orang darah muda dan panas, hanya mahu cepat dan terbaik. Orang muda katanya hanya mahu orang lain juga berfikir pantas dan berubah dengan cepat tanpa memikirkan faktor-faktor lain yang menjadi penghalang. Misalnya dulu, kesan budaya membaca dan pentingnya ilmu, saya pernah terus mencadangkan kepada pentadbir surau supaya orang kampung membaca. Baca apa? Baca buku macam saya baca buku. Baca buku pun jenis buku yang saya baca sebagai orang muda yang sedang berada di universiti. Pada fikiran saya waktu itu, hanya dengan membaca dan kerap berdiskusi barulah orang kampung akan mempunyai perubahan paradigma! Itulah namanya pemikiran idealisme. Hari ini di kampung yang sama, setelah 30 tahun fahamlah saya mengapa idealism saya gagal dijayakan.
Saya tidak menyesal mempunyai idealisme pemikiran sebegitu sebab perkara itu adalah lumrah sebagai anak muda. Kalau masa muda pun tidak ada idealisme, bila masanya lagi?
Idealisme dalam pemikiran boleh diasuh dan dikembangkan. Modalnya ialah berani berfikir di luar kotak, yang tidak biasa difikirkan oleh kebanyakan orang. Misalnya masalah remaja yang tidak suka ke masjid. Kalau remaja diseru dengan hadis-hadis mengenai fadilat bersolat di masjid, tidak sesuai dengan pemikiran remaja. Sejak dulu lagi yang namanya remaja lebih pentingkan keseronokan, maka layanlah emosi mereka ini. Bagus kalau kita, termasuk AJK masjid berfikir cara remaja untuk membawa mereka ke masjid. Cuba sediakan set permainan ping-pong di anjung masjid, ajak mereka bermain di sana. Uruslah dengan baik dan bersangka baik dengan mereka walaupun wataknya bukan seperti budak-budak sekolah tahfiz, insya Allah mereka akan solat berjemaah pabila tiba waktunya. Siapa yang hendak lakukan ini? Kita ketawa dahulu, hahahaha….
Untuk mencanai idealisme, kita canai pemikiran dengan debat isu-isu. Kita biarkan orang bercakap mewakili mana-mana pemikiran. Biarlah ada yang berfikiran seperti sosialis atau fasis. Kalau kita sedang berucap, berkuliah atau berceramah, sila galakkan orang lain memintas pengucapan kita sama ada dengan memberi soalan, menyampaikan pendapatnya yang pro atau kontra. Ha, kan seronok majlis ilmu seperti ini. Hahahaha…, tapi kebanyakan penceramah letakkan masa suntuk di hujung ceramahnya untuk soal jawab. Hmmm, kebanyakan yang hadir sudah hilang mood. Balik sajalah…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan