Pengikut

Khamis, Julai 08, 2010

SEPANYOL vs Belanda: Apa sejarah Islamnya?

PERLAWANAN akhir sepak bola Piala Dunia akan tiba. Sepanyol akan berlawan dengan Belanda.  Saya belum menggila mengenai kedua-dua pasukan, dan entah siapa-siapa nama para pemain serta bagaimana skil mereka.  Pemikiran saya sedang menerobos berkaitan sejarah negara-negara itu terhadap Nusantara yang saya kasihi.  Tidak kurang saya meneliti perihal Islam di kedua-dua negara Eropah itu. 


Yang membaca sejarah tahu, Sepanyol pernah menjadi kuasa politik dunia sebelum kemunculan Britain dan kuasa Eropah lain. Sepanyol muncul sebagai peneroka laut bangsa Eropah kerana mewarisi ilmu daripada pakar-pakar Islam yang memerintah negara itu sejak tahun 711M hingga 1031M.  Negara-negara Amerika Latin seperti Brazil, Argentina, Paraguay, Uruguay, Chile dan Amerika Tengah seperti Mexcico dan Honduras sangat terkesan dengan kebudayaan Sepanyol. Perhatikan nama-nama kota  dan penduduk di sana yang mirip nama-nama di Sepanyol atau Portugal. 

Di Nusantara, kepulauan Filipina merupakan wilayah jajahan Sepanyol sejak kurun ke-16.  Nama Philipinnes itu sendiri diambil daripada nama Raja Sepanyol: King Phillips!  Filipina dibaptiskan, dan hari ini 90 persen penduduknya Kristian Khatolik, manakala di Mindanao tetap muslim tetapi ada pemberontakan Melayu di pulau itu sampai hari ini.  Istilah Melayu di Mindanao sudah digantikan sebagai Moro. Nama Moro sebenarnya diberi oleh Sepanyol kerana persamaan pemberontakan di Afrika Utara oleh bangsa Moors (yang muslim).

Sekalipun dahulu Sepanyol pernah menjadi pusat tamadun Islam dunia, hari ini penduduk muslim di Sepanyol belum sampai sejuta jiwa daripada 40 juta penduduk.  Dua tahun lepas kerajaan Arab Saudi membina sebuah masjid di Sepanyol.  Jumlah orang yang menjadi muslim di Sepanyol tinggi setiap tahun, sama seperti di negara-negara Eropah lain.

Belanda sebuah negara di bawah aras laut, negara kecil dengan penduduk hanya 16 juta. Ada sejuta muslim di Belanda hari ini.  Kepada umat Islam, kontroversi filem FITNA yang dibikin ahli politik Belanda  tidak dilupa. Saat warga muslim luar marah-marah, muslim Belanda tenang dan tidak membalas dengan dendam dan amarah!  Ada seorang ahli politik Belanda yang berasal dari Somalia Hirsi Ali (perempuan) yang telah murtad dan menjadi musuh Islam pula. Dia ini sama seperti Salman Rushdi di Britain!

Wilayah Indonesia hari ini betul-betul warisan jajahan Belanda.  Indonesia merdeka daripada Belanda secara rasmi pada tahun 1949, walaupun tanggal 17 Ogos 1945 adalah tarikh prolakmasi kemerdekaannya. Tak sempurna mengkaji peranan Belanda merosakkan Islam di Indonesia jika tidak menemui nama Snouck Hurondje yang menyamar sebagai muslim bernama Abdus Salam. Dia berangkat juga ke Makkah mahu melihat aktiviti muslim Indonesia ketika berhaji.  Hari ini Indonesia dengan 230 jiwa yang 90 persen adalah muslim. Indonesia sebuah negara paling banyak penduduk muslim di dunia, tetapi tidak pun mencatat Islam sebagai agama rasmi atau agama paling utama!

Belanda juga mengusung banyak penduduk Jawa ke Surinam di Amerika Selatan pada zaman penjajahannya.  Sampai sekarang umat Islam di Surinam ini sinonim dengan orang Melayu dan nama-nama Melayu-Jawa dicatat untuk tempat dan penduduknya.

OK, yang mahu nonton bola antara Belanda dan Sepanyol, ya silakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan